HUBUNGAN
SESAMA ISLAM
Maksud
Hadis Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.w.t. bersabda yang bermaksud:
"Janganlah
kamu berdengki-dengkian, dan janganlah kamu bertipu-tipuan, dan
janganlah kamu berbenci-bencian, dan janganlah kamu berbelakang-belakangan,
dan janganlah setengah kamu menjual di atas penjualan setengah
kamu dan jadilah kamu hai hamba Allah bersaudara."
Orang
Islam bersaudara orang Islam,tiada boleh ia menganiayanya, dan
tiada boleh membiarkannya (dalam kehinaan) dan tiada boleh mendustainya
dan tiada boleh menghinakannya.
Taqwa
itu di sini kata nabi , sambil menunjuk dadanya tiga kali. Sudah
cukup banyak kejahatan seseorang itu, bahawa ia merendahkan saudaranya
orang Islam. Sekalian orang Islam ke atas orang Islam haram darahnya
dan hartanya dan kehormatannya. Diriwayatkan oleh Muslim.
SYARAHANNYA
:
Hadis
ini diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah. Selain Muslim
lagi hadis-hadis riwayat yang lain daripadanya yang di antara
kandungannya ada sebagaimana yang diterangkan dalam hadis tersebut.
NILAINYA
:
Hadis
ini mengandungi nilai utama dalam soal persaudaraan Islam, di
mana ditegaskan secara perintah akan larangan-larangannya yang
tiada boleh dilanggar demi untuk pemeliharaan suasana persaudraan
itu.
Perkara
yang mengenal hubungan di antara orang Islam :
1.
Beberapa Perintah Larangan
Pada hadis tersebut Rasullah ada menerangkan perkara yang mengenai
hubungan di antara orang Islam. Untuk memelihara hubungan ini
ditegaskan beberapa perintah yang merupakan larangan yang wajib
dipatuhi ; iaitu janganlah kamu berdengki-dengkian di antara sama
sendiri. Kerana dengan dengki atau hasad menyebabkan terputusnya
hubungan.
Dengki ialah satu perasaan jiwa yang timbulnya perasaan itu pada
seseorang oleh kegelisahannya memandang kelebihan yang ada pada
orang lain atau oleh kebenciannya melihat ada orang yang melebihinya
dalam sesuatu perkara atau keadaan.
Orang yang dengki atau hasad selamanya gelisah, jiwanya tidak
tenteram , kerana ini dia berusaha untuk menghilangkan suatu kelebihan
yang ada pada orang lain dengan perkataannya atau dengan perbuatannya
dan berikhtiar untuk memindah sesuatu kelebihan yang ada pada
orang lain itu kepada dirinya sendiri. Dan ada pula orang yang
dengki itu berusaha untuk menghilang atau mencedera suatu kelebihan
dari orang yang mempunyai semata-mata kebencian yang melulu, kerana
dia sendiri tidak berhajat kelebihan itu untuk dirinya. Kedua
macam kedengkian tersebut adalah tercela dan inilah perasaan kedengkian
yang sejahat-jahatnya yang pernah digunakan oleh Iblis terhadap
nabi Allah Adam a.s sehingga baginda dikeluarkan dari tempat kediamannya
dalam syurga.
Sementara itu ada pula sejenis perasaan dengki atau hasad yang
terbunuh dalam jiwa seseorang, tetapi dia berdiam diri, tidak
ada usahanya yang jahat sama ada dengan perkataannya mahupun dengan
perbuatannya untuk menumpas suatu kelebihan orang lain. Hasad
seperti ini diharap tiada menyebabkan dosa, sebagaimana sabda
Rasul yang bermaksud :
"Tiap-tiap anak Adam ada hasadnya, dan tiada mendatangkan kemudaratan
kepada orang hasad oleh hasadnya selama ia tiada pernah bercakap
lidah atau berbuat dengan tangan."
Seterusnya ada lagi sejenis perasaan hasad yang terbunuh dalam
jiwa tetapi segera dilenyapkan serta ditumbuhkan perasaan cinta
kepada orang yang mendapat kelebihan dan didoa supaya ia dalam
selamat dan sejahtera. Inilah satu-satunya perasaan yang membuktikan
kesuburabn iman yang dipuji.
Setelah Rasullullah menerangkan larangan dengki atau hasad,
maka diterangkan pula larangan bertipu-tipuan dan berbencian dengan
sabdanya yang bermaksud : " Janganlah kamu bertipu-tipuan dan
janganlah kamu berbenci-bencian di antara kamu."
Larangan bertipu-tipuan ialah melarang seseorang menaikkan harga
barang-barang padahal dia sendiri tidak mahu membelinya untuk
menyusahkan orang lain. Perbuatan ini adalah haram. Masuk juga
kepada larangan ini segala perbuatan tipu atau kecoh dalam jual
beli.
Larangan benci-bencian ialah melarang seseorang membenci dengan
menghina orang lain semata-mata menurut dorongan hawa nafsu yang
angkuh dan sombong. Perbuatan ini melenyapkan perasaan kasih sayang
di antara seorang dengan saudaranya padahal perasaan ini wajib
dipelihara dan dipupuk dengan semangat cinta sebagai orang yang
percaya kepada Allah. Rasullullah S.A.W bersabda yang bermaksud
; " Tidak akan kamu masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan tidak
(dikata) buat akan dia nescaya kamu berkasih-kasih ? Iaitu syiarkanlah
Islam di antara kamu."
Kemudian Rasullullah menerangkan larangannya dengan sabdanya ;
"Janganlah kamu berbelakang-belakangan atau berpaling-palingan
ialah melarang perbuatan ini dilakukan oleh seorang semata-mata
oleh perkara dunia. Pada hadis yang lain sebagaimana yang disebut
dalam hadis Bukhari dan Muslim, Rasullullah S.A.W. menerangkan
:
"Tiada halal bagi seorang Islam bahawa ia meninggal saudaranya
(tiada menegurnya) lebih dari tiga hari, bila keduanya bertemu
maka yang seorang ini berpaling dan yang seorang itu pula membelakangi.
Dan orang yang lebih baik dari keduanya ialah orang yang memulakan
dengan ucapan salam ."
Dan lagi hadis yang lebih keras ancamannya iaitu :
"Barangsiapa meninggalkan saudaranya (tiada menegurnya kerana
musuhinya) selama setahun maka ia seperti menumpah darahnya."
Larangan menjual di atas penjualan ialah melarang perbuatan itu
dilakukan, kerana akibatnya adalah membawa kepada benci-bencian
di antara sesama sendiri. Contohnya : Seperti dua orang yang membeli
itu seraya berkata : "Batalkan pembelian engkau ini, aku sanggup
menjual kepada engkau barang yang lebih baik mutunya dengan harganya
lebih murah dari barang yang engkau beli itu. "
Demikian pula dilarang membeli di atas pembelian orang lain. Contohnya
: seperti seorang datang kepada orang yang menjual lalu berkata
: "Batalkan penjualan engkau ini. Aku dapat membelinya kelak dengan
harga yang lebih tinggi. "
Termasuk
kepada larangan ini orang yang menawarkan barang-barangnya kepada
seorang yang lain, padahal pada waktu itu ada orang yang sedang
menawarnya untuk membelinya. Rasullullah S.A.W. bersabda yang
bermaksud :
"Tiada menjual seorang lelaki di atas penjualan saudaranya dan
tiada meminang di atas pinangan saudaranya kecuali jika ia izin
kepadanya."
Larangan tersebut sebagaimana yang diterangkan oleh hadis adalah
am meliputi kepada orang Islam dan kepada orang kafir, demikian
menurut pendapat kebanyakan fuqaha kecuali Imam Ahmad dan orang
ramai yang mengatakan larangan itu adalah khas kepada orang Islam
tidak kepada orang kafir.
Setelah diterangkan segala larangan ini satu persatunya, maka
Rasullullah dijelaskan pula keadaan orang Islam dalam pergaulan
dengan sabdanya :
Sabdanya
ini memberi suatu petunjuk jiwa. Jika mereka mematuhi sepenuhmya
segala larangan itu, maka terwujudlah kasih mesra sebagai saudara
yang senasib bertanggungjawab untuk kesejahteraan bersama sesuai
dengan pengajaran Islam.
2.
Orang Islam Saudara Orang Islam
Kemudian Rasullullah menerangkan selanjutnya keadaan sifat orang
Islam. Orang Islam adalah saudara orang Islam. Yang
demikian, tiadalah boleh dianiayainya, tiada boleh dibiarkannya,
tiada boleh didustainya, juga tiada juga dihinanya. Larangan ini
wajib dihormati untuk memelihara perpaduan di antara orang Islam
yang di akui sebagai saudara.
Orang
Islam tiada boleh menganiaya orang Islam, kerana penganiayan bertentangan
dengan keperibadiaanya sendiri. Tetapi orang Islam wajib membantu
menghindarkan penganiayaan itu serta menolong saudaranya yang
berbuat penganiayaan dan saudaranya yang dianiaya ; dan tiada
boleh ia membiarkan saudaranya dalam kehinaan dilakukan teradapnya
tetapi dikehendaki berikhtiar sekadar yang mungkin bagi melaksanakannya.
Mengenai hal ini Rasullullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
"Tolonglah saudara engkau, yang berbuat zalim atau yang dizalimi.
Ia berkata : Ya Rasullullah ! Aku pernah menolong orang yang dizalimi,
maka bagaimana agaknya aku hendak menolong orang yang zalim ?
Ia bersabda : Engkau tegah ia dari melakukan kezaliman, maka yang
demikian itu bererti engkau menolong akan dia"
Pada hadis yang lain Rasullullah S.A.W pernah menyatakan "Bahawa
barangsiapa yang tiada mahu menolong seseorang mukmin yang dihinakan
orang disisinya padahal dia mampu menolongnya, akan dihinakan
dia oleh Allah di tengah-tengah khalayak ramai pada hari kiamat.
Sebaliknya pula, orang yang menolong saudaranya dengan cara yang
tersembunyi dalam perkara yang ia dapat menolongnya akan ditolongi
Allah akan dia dalam dunia dan akhirat.
Juga orang Islam tiada boleh mendustakan saudaranya orang Islam
kerana pendustaan menyebabkan hilangnya perasaan kepercayaan.
Lebih-lebih lagi pendustaan itu dipercayai oleh saudaranya. Pendustaan
seperti ini adalah suatu perkara pengkhianatan, sebagaimana sabda
Rasullullah : "Besarlah pengkhianatan bahawa engkau menceritakan
kepada saudara engkau suatu cerita yang ia percaya kepada engkau,
padahal yang sebenarnya engkau berdusta kepadanya."
Demikian pula orang Islam tiada boleh menghinakan saudaranya orang
Islam sama ada dengan perkataan atau tingkah lakunya. Sebab penghinaan
bukanlah sikap yang baik dalam persaudaraan, malah sikap inilah
yang menimbulkan perbezaan pandangan seseorang dalam pergaulan,
dan tumbuhnya adalah dari perasaan sombong yang terselit di hati
; iaitu perasaan memandang kepada diri dengan pandangan yang mulia
dan sempurna tidak sebanding dengan orang lain yang dianggap hina
susah menderita.
Setelah itu Rasullullah S.A.W mengatakan "Taqwa itu di sini…..sambil
menunjukkan ke dadanya sebanyak tiga kali. Ini adalah memberi
isyarat atau petunjuk bahawa kemuliaan manusia di sisi Allah bukanlah
dengan cara berlagak, menunjuk diri atau meninggi-ninggi darjat,
peribadi, tetapi adalah dengan sifat taqwa, yang mengeluarkannya
amal utama dan budi mulia, sekalipun orang taqwa itu dipandang
hina dan dikeji."
Akhirnya
oleh Rasullullah S.A.W. dijelaskan pula bahawa sudah cukup banyak
kejahatan seseorang jika ia merendahkan atau menghinakan orang
Islam dengan cara merosakkan keselamatan badannya atau menjatuhkan
maruah atau kehormatan atau dengan apa sahaja yang dipandang tiada
sopan di luar garisan perikemanusiaan. Dan perbuatan seperti ini
adalah haram di atas orang Islam melakukannya, sebagaimana yang
telah dijelaskan dalam hadis tersebut.
Demikianlah
beberapa larangan Rasullullah S.A.W kepada setiap orang Islam
untuk memelihara kemurnian hidup persaudaraan yang tiada dibatasi
oleh kekeluargaan, oleh warna kulit dan keturunan dan oleh kedudukan.
Mereka adalah sebagai satu kaum keluarga, satu jiwa, satu hati,
satu akidah dan satu ibadat, satu hala dan satu tujuan, satu tempat
datang dan satu pula tempat pergi, sakit sama merasa sakit dari
senang sama merasa syukur. Benarlah apa yang digambarkan Rasullullah
S.A.W dalam sabdanya yang terkenal : "Bandingan orang-orang mukmin
dalam bercinta-cinta mereka dan berkasih sayang mereka dan bertolong
,tolongan mereka seperti bandingan satu badan : Apabila sakit
satu anggota daripadanya tertariklah sekalian anggota (hingga)
tiada dapat tidur dan demam."
Pada
hadis yang lain dijelaskan bahawa "Seorang mukmin bagi seorang
mukmin itu satu binaan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian
dan orang Islam itu seperti satu badan jika sakit matanya sakitlah
sekaliannya dan jika sakit kepalanya sakitlah sekaliannya."
PETUNJUKNYA
:
Bahawa
di antara yang ditunjuk oleh hadis yang ketiga puluh lima ini
ialah :
1.
Hadis ini menunjukkan secara tegas bahawa Rasullullah S.A.W melarang
setiap orang melakukan sebarang perbuatan yang mencederakan atau
merosak kehormatan saudaranya dari orang Islam. Sebab orang Islam
mempunyai kemuliaan dan kehormatan peribadinya, harta miliknya
dan maruahnya atau nilai hidupnya, larangan yang ditegaskannya
itu ada sebanyak sembilan perkara dalam bidang pergaulan umum
dan hubungan perniagaan yang kesemuanya merupakan suatu petunjuk
yang sangat berguna kepada orang Islam di segala tempat dan zaman.
2.
Juga menunjukkan bahawa orang Islam dalam dunia ini adalah bersaudara
kerana ini mana diharamkan ke atas setiap orang Islam mengerjakan
suatu yang bertentangan dengan hak persaudaraan itu. Rasullullah
dalam hadis tersebut menegaskan perintahnya mengenai hal persaudaraan
tersebut iaitu : "Berkata Al-Khurtabi, bahawa erti sabdanya ialah
: "Hendaklah kamu menjadi sebagai orang-orang yang bersaudara
persaudaraan satu darah keturunana yang diikat oleh rasa sayang,
saling cinta menyintai, nasihat-menasihati, bantu membantu serta
bertimbang rasa."
Inilah di antara petunjuk hadis yang sangat patut diambil perhatian
oleh setiap orang Islam untuk memelihara keteguhan dan keutuhan
perpaduan dalam hubungan persaudaraan kerana dengan pemeliharaan
ini wujudlah perasaan muhibbah diselubungi oleh suasana aman damai.
Dan inilah pula dasar persaudaraan Islam yang diasas di atas tuntutan
agama, serta dipelihara dengan semangat pengajarannya dalam mana
perasaan muhibbah yang sejati menjadi terasnya. Maka dengan semangat
ini terdapatlah saling hormat menghormati, bantu-membantu, berusaha
untuk mewujudkan kebaikan, menghindarkan kejahatan dan ini pula
yang menjadi amalan hidup seseorang dalam masyarakatnya. Andaikata,
oleh suatu hal seorang itu tidak dapat melaksanakan amalan ini,
maka hendaklah dia hidup berdiam diri, tak usahlah mengganggu
atau menyusahkan orang lain. Ikutilah pengajaran ini : "Hendaklah
engkau pelihara tiga perkara yang menjadi habuan orang mukmin
iaitu :
Pertama,
jika engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya maka janganlah
engkau menyusahkan dia.
Kedua,
jika engkau tidak mahu menyukakan dia maka janganlah engkau mendukakan
dia dan ;
Ketiga,
jika engkau tidak hendak memuji dia maka janganlah engkau mencela
dia
Wallahhualam.
0 komentar:
Posting Komentar