Sifat Pemaaf Bersih Hati, Tenangkan Jiwa
KETIKA manusia diciptakan, Allah
mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia
yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu
sama lain. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah
pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam. Pemaaf adalah
sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat
al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga
disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.
Allah berfirman bermaksud:
“Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132).
Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi
seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah
sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang.
Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin
menguasai diri seseorang.
Iman dan takwa menjadi pengemudi
melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat
mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan
kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat
haiwaniah dalam diri manusia.
Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud:
“Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura, ayat 43).
Sifat pemaaf memang sukar dilakukan
memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak
atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.
Contohnya, bayangkan apakah tindakan
spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara
lain yang tidak disenangi. Sudah tentu perasaan marah akan menguasai
diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.
Kadangkala, perasaan marah juga
disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu,
pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara
sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan
fizikal secara kekerasan.
Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah
melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang
sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri.
Di sinilah pentingnya kita memupuk
sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang logik tidak semestinya betul.
Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti
diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.
Tindakan marah melampau dan diikuti
pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau
untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat
melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang
mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan.
Sesiapa berupaya menahan kemarahan,
bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan
kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah
adalah golongan yang lemah.
Nabi Muhammad bersabda:
“Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam
pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat
menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).
Pentingnya sifat menahan marah
mendorong Nabi Muhammad apabila diminta oleh seorang lelaki agar
berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, menjawab ringkas
iaitu ‘jangan marah’.
Lelaki itu seperti tidak berpuas hati
dengan jawapan itu. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan
menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan agar
Rasulullah memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi
Rasulullah tetap mengulangi perkataan ‘jangan marah’.
Untuk mendidik sifat baik dalam diri
perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib
dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan
menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah.
Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati
yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalu
memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah
hilang sifat marah.
Jika ada sesuatu yang menimbulkan
perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau
muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri
adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini
kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada
berlaku? Jika kita mampu berfikir sedemikian,
cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah
tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak
berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah
keinsafan dan sifat memaafkan.
Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar
kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat
pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka,
mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk
melakukan kebaikan.
Bagi orang yang bersifat pemaaf,
padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab
itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi
yang menekan dirinya.
Banyak masalah berkaitan hubungan
sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun
perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan
perasaan dendam masih bertapak di hati.
Sikap berdendam hanya merugikan
kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak
berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk
sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan,
sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini selesai.
Jika sifat memaafkan diamalkan, insya
Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain.
Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.
0 komentar:
Posting Komentar