Jauhi Tiga Jenis Manusia Yang Akan Mendapat Laknat Allah SWT
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga macam orang yang terkena laknat
Allah SWT iaitu seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang
yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah
isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan
seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan
saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya". (Hadis
Riwayat Ad Dailami daripada Umar r.a)
Berdasarkan hadis di atas terdapat tiga macam manusia yang akan mendapat laknat Allah SWT iaitu :
Pertama : Seorang yang membenci kedua ibu bapanya.
Kedua
: Seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian
setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya.
Ketiga
: Seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan
saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya.
Huraiannya :
Pertama : Seorang yang membenci kedua ibu bapanya.
Menurut
Al Qurthubi, derhaka kepada kedua ibu bapa ialah menyalahi perintah
keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka
berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka
menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu
bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah
(harus), begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat). Jika melanggar
perintah kedua ibu bapa sudah dianggap derhaka apatah lagi membenci
keduanya terutama ketika mereka berdua telah tua dan memerlukan bantuan
dan pembelaan.
Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah
SAW bersabda: Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: seorang lelaki datang
kepada Rasulullah, lalu berkata: "Wahai Rasulullah, aku datang untuk
berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari
akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam
keadaan menangis". Lalu sabda baginda: "Pulanglah kepada mereka.
Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis".
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Jadi perintah ibu atau bapa
yang bukan bersifat maksiat atau mempersekutukan Allah, maka kita wajib
mentaatinya. Namun jika perintah nya bersifat melawan kehendak dan
hukum agama, maka tolaklah dengan cara yang baik.
Di
dalam Islam orang yang derhaka dan membenci kepada kedua ibu bapanya
termasuk ke dalam kategori dosa besar setelah mensyirikkan Allah, dan
akan di masukkan ke dalam neraka. Firman Allah SWT maksudnya: "Dan
Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan
hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.
Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur
lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan
kepada keduanya perkataan ah (uff) dan janganlah kamu membentak mereka
dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia". (Al Isra' 23)
Orang
yang tidak menghormati ibu bapa akan dilaknat oleh Allah SWT.dan
hidupnya di dunia ini tidak akan ada keberkatan kerana reda Allah SWT
bergantung kepada reda kedua ibu bapa kepada anaknya.
Dalam
hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “ Barangsiapa
membuat ibu bapanya gembira (memberi keredan), maka sesungguhnya ia
membuat reda Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka
sesungguhnya ia membuat kebencian Allah” (Hadis riyawat Bukhari )
Anak derhaka tidak akan mencium bau syurga dan haram baginya untuk memasuki syurga Allah SWT.
Nabi
SAW memberi wasiat kepada Sayyidina Ali k.wj : "Wahai Ali ! Saya
melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan
bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua
orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."
Nabi
SAW bersabda, “Aku beritahukan kepadamu tiga macam dosa yang paling
besar, yakni: Mengada-adakan sekutu bagi Allah SWT, tidak patuh kepada
kedua orangtuamu, dan memberikan kesaksian palsu.” (Hadis Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Kedua : Seseorang yang berusaha
menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut
dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya.
Salah satu
sifat orang fasik adalah suka kepada isteri orang dan dia berusaha untuk
menceraikan pasangan suami isteri tersebut. Mungkin bermula apabila
wanita tersebut mengadu kepadanya bahawa dia mempunyai masaalah dengan
suaminya. Sepatutnya sebagai seorang mukmin dia menasihatkan wanita
tersebut supaya kembali mentaati suaminya dan melupakan perbalahan kecil
urusan rumah tangga bukannya menggalakkan wanita tersebut meminta
cerai kepada suaminya dengan itu dia akan berpeluang mengawininya.
Akhlak lelaki seperti ini cukup buruk dan akan mendapat laknat Allah
SWT di dunia ini dan di akhirat akan mendapat azab yang besar.
Perlu
diingatkan kepada para wanita yang sudah berkahwin kalian perlu
berhati-hati apabila meluahkan masaalah rumah tangga kepada lelaki yang
kalian tidak kenal sepenuhnya hanya kenal di alam maya ini kerana ramai
lelaki mempunyai "penyakit hati" dan akan mengambil kesempatan untuk
"meneguk di air keruh" dan dikira berdosa kerana membuka aib suami
kepada orang yang tidak berkenaan. Tetapi jika kalian berhajat
mendapatkan khidmat nasihat maka dapatkanlah daripada ustazah atau ustaz
atau pakar kaunseling maka hubungilah mereka yang berpengalaman dalam
menyelesaikan masaalah rumah tangga.
Bukan sahaja lelaki
yang merosakkan rumah tangga orang lain akan mendapat laknat daripada
Allah SWT tetapi wanita tersebut yang tertarik dengan lelaki yang
menghasutnya juga tidak akan masuk syurga kerana meminta cerai tanpa
alasan yang dibenarkan oleh syarak.
Rasulullah SAW
bersabda maksudnya : “Mana-mana wanita yang meminta suaminya
menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak maka
haramlah baginya bau syurga”. (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Ketiga
: Seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan
saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya.
Menghasut, mengadu domba, atau memprovokasi, dalam Islam disebut namimah.
Nabi
SAW bersabda maksudnya : ''Sesungguhnya, orang-orang yang suka
menghasut tidak akan masuk syurga.'' (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim).
Hakikat
namimah ialah menyebarkan rahsia, mengadu domba dan mengumpat. Tidak
seharusnya setiap keadaan yang tak disukai disampaikan ke orang lain,
kecuali jika ditujukan untuk kemaslahatan kaum muslimin atau menolak
kemaksiatan, seperti kesaksian di pengadilan.
Selain
ancaman tidak masuk syurga, penghasut dikecam sebagai manusia paling
buruk perilakunya. Nabi SAW bersabda maksudnya : ''Maukah aku
beritahukan kepada kalian tentang orang yang paling buruk perilakunya di
antara kalian? Yaitu, orang yang berjalan di atas muka bumi seraya
menghasut, yang merosak di antara orang-orang yang tadinya saling
mencintai, dan hanya ingin memceritakan aib orang-orang yang tidak
bersalah.''
(Hadis Riwayat Ahmad).
Menghasut sangat berbahaya jika dibiarkan berlaku di dalam kehidupan sosial.
Pertama, munculnya benih saling mencurigai di antara sesama muslim.
Kedua, jatuhnya nama baik dan martabat seseorang.
Ketiga, terciptanya kekacauan, ketakstabilan, dan ketidakharmonian dalam hubungan sosial.
Rasulullah
SAW mengecam orang-orang munafik di Madinah kerana perilaku kotornya
yang suka menghasut ketika baginda berhijrah. Kebiasaan menghasut
sepertinya sudah menjalar dan meluas di negeri kita pada masa ini.
Melahirkan banyak bloger-bloger politik yang tidak bermoral dan sanggup
menabur fitnah, maki hamun dan memecahbelahkan perpaduan umat Islam.
Dari
Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
"Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim".
(Hadis Riwayat Muslim)
Nabi
SAW bersabda maksudnya : “Tidak ada dosa yang lebih layak dipercepat
hukumannya di dunia, dan apa yang dipersiapkan Allah baginya di akhirat
daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturrahim”.
(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)
Nabi SAW bersabda
maksudnya : "Sesungguhnya lelaki yang paling dibenci Allah ialah yang
paling gigih dalam permusuhan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari
Abi Hurairah r.a, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam baginda
bersabda : "Seorang muslim adalah seorang yang apabila orang lain
terselamat daripada lidahnya dan tangannya dan seorang mukmin adalah
seorang yang apabila orang lain berasa aman daripadanya terhadap jiwa
dan harta benda mereka". (Hadis Riwayat an-Nasaie)
Oleh
itu jauhilah daripada segala bentuk perbuatan, percakapan, tulisan dan
amalan yang suka memecahbelahkan perpaduan umat Islam dengan memutuskan
silaturahim, mengadu domba, menghasut, memfitnah, mengumpat dan
menimbulkan permusuhan bukan sahaja mendapat dosa besar tetapi akan
mendapat laknat Allah SWT dan tidak akan mencium bau syurga.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah
sama-sama kita menjauhi diri kita daripada tiga jenis manusia yang
akan mendapat laknat Allah SWT di dunia dan akhirat seperti hadis di
atas.
Untuk menjauhi daripada laknat Allah SWT perlulah kalian
melakukan;
pertama, mengasihi kedua ibu bapa kalian jangan
menderhakainya dan berbaktilah kepada mereka jika mereka masih hidup
dan jika mereka sudah meninggal dunia doakan mereka dan buatlah amal
soleh untuk mereka.
Kedua, jauhilah dan jangan cuba untuk mendekati
wanita yang sudah berkahwin dengan tujuan-tujuan yang tidak bermoral,
jika terdapat ruang-ruang fitnah cubalah menutupnya. Jika berhajat
untuk mencari pasangan hidup carilah janda atau gadis yang masih belum
berpunya dan gunakanlah cara-cara yang diizinkan oleh syarak.
Ketiga,
janganlah sekali-sekali memecah belahkan perpaduan umat Islam.
Jadikanlah diri kita sebagai penyelamat umat, pendakwah yang jujur dan
ikhlas dan berjuang semata-mata mencari keredaan Allah SWT bukannya
untuk mendapatkan nama, pujian dan kedudukan dalam masyarakat.
0 komentar:
Posting Komentar