Terdapat Tiga Tanda-tanda Hamba Kesayangan Allah SWT.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Jika
seorang isteri mengharapkan kasih sayang suami kepada dirinya dan
seorang anak akan mengharapkan kasih sayang ibu bapa maka lebih-lebih
lagi seorang hamba mengharapkan kasih sayang Tuhan Yang Maha Pengasih
dan Maha Penyayang kepada dirinya. Tidak ada kasih sayang yang cukup
mulia dan tinggi kedudukannya melainkan kasih sayang Allah SWT kepada
para hamba-hamba-Nya yang terpilih.
Setiap sesuatu
kebaikan yang dikehendaki oleh Allah SWT ada tanda-tandanya . Terdapat
tiga tanda-tanda seorang hamba itu di kasihi dan disayangi oleh Allah
SWT di dunia ini.
Tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Allah SWT memberikan balasan di dunia supaya di akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah SWT.
Kedua : Allah SWT membukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh.
Ketiga
: Allah SWT akan memberi kefahaman terhadap agama Islam dan mampu pula
menghayatinya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.
Huraiannya :
Pertama : Allah SWT memberikan balasan di dunia supaya di akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah SWT.
Rasulullah
SAW bersabda maksudnya : "Apabila Allah mahukan kebaikan terhadap
seseorang hambaNya,Ia terus mempercepatkan balasan kesalahannya di dunia
ini lagi,dan sebaliknya apabila Allah mahukan keburukan terhadap
seseorang hambaNya, ia tidak membalaskan perbuatannya yang berdosa di
dunia sehingga ia membalaskannya nanti pada hari kiamat." (Hadis Riwayat
Tabrani )
Sebahagian dari tanda kesayangan Allah kepada
hambaNya ialah Ia mempercepatkan balasanNya di dunia lagi agar manusia
itu insaf dan dapat memperbetulkan kesalahannya serta kembali ke jalan
yang benar.Sebaliknya tanda bagi orang yang dibenci oleh Allah, akan
dibiarkan mereka bergelumang dengan dosa dan maksiat dan mereka terus
lalai dan lupa di dunia ini.
Setiap mukmin sepatutnya
menerima segala kesusahan yang berlaku di dunia ini dengan redha yang
mungkin ianya sebagai hukuman yang diturunkan Allah kerana kesalahan
dirinya, atau mungkin sebagai satu dari tanda kesayangan Allah. Adalah
lebih baik jika kita
menerima hukuman atas kesalahan kita
di dunia ini lagi agar kita insaf dan berkesempatan untuk bertaubat
kerana balasan di akhirat adalah lebih dahsyat serta tidak ada ruang
lagi untuk bertaubat.
Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat)
yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada
kebenaran).”
Melihat firman Allah di atas, jelas bahawa
pelbagai penyakit yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada
cobaan ataupun ujian Allah yang diberikan kepada hamba-Nya.
Sesungguhnya cubaan dan ujian itu adalah sunnatullah yang telah
ditetapkan berdasarkan rahmat dan hikmah-Nya, di mana di dalamnya
terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya. Harus kita ingat bahawa
Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan
yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit
kepada hamba-Nya.
Oleh itu banyakkan bersabar dan
elakkanlah dari mengeluh dan berdukacita bila Allah SWT timpakan
kesusahan dan kepayahan di dunia ini.
Kedua : Allah SWT membukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh.
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud :"Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada
seseorang,nescaya ia bukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan
keyakinan dan kepercayaan yang kukuh,Ia jadikan hatinya waspada terhadap
liku-liku hidup yang dijalaninya, ia jadikan hatinya sihat sejahtera
dan lidahnya bercakap benar dan perangainya lurus,dan Ia jadikan
telinganya mendengar dan matanya melihat." (Hadis Riwayat Abu As Sheikh
dari Abu Zarr)
Apabila Allah kasihkan seseorang hambaNya
Ia akan membuka hatinya menjadikan ia cinta kepada Allah, kemudian ia
akan mempunyai keyakinan yang teguh.Dengan itu ia akan berhati-hati
dalam hidupnya agar tidak terjebak dalam dosa dan terhindar dari
penyakir hati seperti hasad,takabbur,riak, ujub, membalas dendam, marah
dan sebagainya. Kesan dari ini ia akan bercakap benar sahaja. Seterusnya
ia akan mempunyai mata yang dapat melihat dan memahami keagungan Allah;
telinga yang cintakan nasihat yang benar.
Adakah ciri-ciri ini kita miliki? Jika ada maka itu adalah tanda-tanda kita disayangi oleh Allah SWT.
Ketiga
: Allah SWT akan memberi kefahaman terhadap agama Islam dan mampu pula
menghayatinya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.
Rasulullah
SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan pada
dirinya, pasti Allah menganugerahinya pemahaman dalam agama.” (Hadis
Riwayat Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir,
Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 39, no. hadis : 71.)
Apabila
Allah SWT hendak memberikan kebaikan kepada seorang hamba-Nya dan
menyayanginya maka Dia akan memberi kefahaman untuk memahami agama Islam
dan mampu pula dihayati agama Islam itu di dalam kehidupannya. Agama
Islam bukan agama teori semata-mata tetapi ianya adalah agama untuk
diamalkan dan dihayati dalam kehidupan.
Orang mukmin yang
diberikan kefahaman agama tidak akan sanggup mengadaikan akidah
semata-mata untuk mendapat habuan dunia, tidak akan mencintai dunia
hingga melupakan kehidupan dihari akhirat. Dia akan sentiasa tunduk dan
patuh kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
Firman
Allah SWT yang bermaksud : "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi
kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku
telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Surah Al-Maidah ayat
3)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita
bermuhasabah diri kita sendiri. Jika tiga tanda-tanda di atas ada kita
miliki ini bermakna Allah SWT sedang menyayangi kita, tetapi jika tidak
ada dikhuatiri kita sedang dimurkai-Nya. Oleh itu bertaubatlah dan terus
berdoa semoga kita di pelihara oleh-Nya dan di sayangi-Nya dan kita
terpelihara daripada rosak dan binasa. Dia senantiasa bersedia menerima
taubat hamba-hamba-Nya.
0 komentar:
Posting Komentar