Senin, 19 Mei 2014

Syaitan Mencuri Harta Zakat

Kisah Syaitan Mencuri Harta Zakat

Dalam kitab-kitab agama ada diterangkan tentang wajah iblis ini boleh bertukar dari pelbagai rupa. Ada diceritakan bahawa iblis atau pun syaitan itu mempunyai tanduk. Ketika melakukan kerja-kerja mencuri ini, syaitan biasanya akan menukar wajahnya kepada manusia. 

Ada cerita syaitan (jin) mencuri buah kurma yang hendak disedekahkan kepada fakir miskin. Tiba-tiba tuan punya buah kurma itu mendapatinya buah kurmanya berkurangan, dan bila disiasat didapati ada seorang budak lelaki ada diatas kenderaan dengan bakulnya berisi buah kurma. 

Apabila ditanya dari manakah dia mengambil buah kurma itu, dia menjawab dia bukan manusia tetapi jin dan mencurinya dari orang yang hendak bersedekah, dan dia (jin) mengambilnya. 

Dalam sebuah kitab lain dijelaskan juga bahawa syaitan ini tidak dapat dilihat. Ada para ulama menyangkal pengakuan dari setengah orang bahawa dia melihat jin dalam bentuk asal. Tidak betul dakwaan itu, kata para ulama yang disebut dalam kitab agama yang membicarakan tentang syaitan atau jin ini. 

Kalau para ulama tersebut, kalau ada orang melihatnya dalam bentuk penjelmaan, maka itu boleh diterima, kerana jin boleh menjelma dalam bentuk jemlaan haiwan atau pun binatang. Ikutilah selanjutnya tentang bentuk-bentuk dan wajah syaitan atau pun sebagaimana yang diterangkan oleh para ulama yang mereka nukilkan dalam buku-buku karya mereka.

Syaitan Bertanduk

Dalam Sahih Bukhari ada diriwayatkan sebuah hadis dari riwayat Amru yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang ertinya: “Sesungguhnya matahari itu menyerlah di antara dua tanduk syaitan dan tenggelam di antara keduanya (tanduk syaitan) juga.” Hadis ini menunjukkan bahawa syaitan mempunyai tanduk. Ada sebahagian riwayat menyebutkan bahawa tanduk syaitan menyerupai tanduk binatang bahkan lebih mengerikan kerana ada sebahagian tanduknya yang mengeluarkan api dan bau busuk.


Syaitan Pencuri Harta Zakat

Abu Hurairah pernah meriwayatkan: Rasulullah s.a.w. penah mewakilkan kepadaku agar menjaga zakat Ramadan, maka suatu ketika aku telah didatangi oleh seseorang. Orang itu kemudiannya cuba mencuri, tapi aku sempat menangkapnya lalu berkata: “Demi Allah! Aku akan laporkan kejadian dan kelakuan engkau ini kepada Rasulullah. ”Tapi orang itu kemudiannya menjawab: “Tolonglah! Sebenarnya aku benar-benar berhajat kepada makanan ini kerana aku mempunyai ahli keluarga yang besar. 

Tolonglah!” Aku kemudiannya berasa kasihan lalu melepaskannya pergi. Keesokan harinya Rasulullah telah bertanya kepadaku: “Wahai Abu Hurairah! Apakah yang telah engkau lakukan terhadap pelanggan engkau kelmarin?” Aku kemudiannya menjawab: “Wahai Rasulullah, dia telah mengadu kepada saya bahawa dia benar-benar berhajat kepada makanan itu untuk keperluan keluarganya. Saya sangat kasihan melihat keadaannya, lalu saya lepaskan dengan kehendaknya itu”.

Kemudian Rasulullah bersabda: “Sebenarnya dia telah membohongi kamu, nanti dia akan datang semula.”

Ucapan Rasulullah itu benar sekali, seperti biasa dia datang lagi melakukan kerja yang sama. Sekali lagi aku dapat menangkapnya dan berkata: “Aku akan laporkan kejadian dan kelakuan engkau ini kepada Rasulullah.”

“Tolonglah! Lepaskanlah aku dengan makanan ini! Aku sebenarnya mempunyai keluarga yang besar! Aku sekali-kali tidak akan pulang tanpa makanan ini! Tolonglah!” Rayunya lagi. Aku sungguh kasihan dengan keadaannya itu dan akhirnya aku lepaskan lagi. Keesokan harinya, seperti biasa Rasulullah bertanyakan keadaan yang sama dan aku pun menjawab seperti sebelum ini, lalu Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya dia itu penipu, nanti dia akan datang lagi”. Untuk kali ketiga, dia datang lagi dengan sikap yang serupa dan kali ini aku menangkapnya sambil berkata: “Kali ini aku betul-betul akan membawa engkau kepada Rasulullah! Ini adalah kali terakhir. 

Sudahlah! Dulu engkau katakan engkau tak mahu datang lagi tapi kau datang juga.”

“Lepaskanlah aku! Nanti aku ajarkan kepada engkau satu ilmu yang Allah akan memberi manfaat kepadamu.”

“Apa dia?” tanyaku. Lalu ia menjawab: “Apabila engkau mula labuhkan badanmu di atas tilam bacalah ayat al Kursi dari awalnya sehingga habis.” Katanya lagi: “Kerana apabila engkau membaca ayat tersebut, engkau akan sentiasa berada di dalam lindungan Allah, dan syaitan tidak akan mendekati engkau sehinggalah menjelang pagi.”

Akhir sekali aku pun melepaskannya pergi. Keesokan harinya, seperti biasa Rasulullah bertanyakan perkara yang sama. Lali aku pun menjawab: “Wahai Rasulullah! Kelmarin dia mendakwa telah mengajarkan kepadaku satu ilmu yang Allah akan memberi manfaat kepadaku, jika sekali lagi aku melepaskannya pergi.”

“Ilmu apa itu?” tanya Rasulullah. Katanya kepada saya: “Sekiranya kamu mula membaringkan tubuhmu di atas tilam bacalah ayat al Kursi dari awalnya sehingga habis, nescaya engkau sentiasa akan berada di dalam lindunganNya dan syaitan tidak akan mendekatimu sehinggalah menjelang pagi. ”Lalu Rasulullah bersabda: “Ia sebenarnya telah bercakap benar terhadapmu padahal ia itu adalah penipu. Tahukah engkau siapa yang bercakap denganmu selama tiga kali berturut-turut?” “Tidak!” jawabku. “Sebenarnya itulah dia syaitan,” ujar Rasulullah s.a.w.




 

0 komentar:

Posting Komentar

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Press Release Distribution