Ketenangan ada dimana-mana
Apabila kita melihat pemandangan-pemandangan yang indah dan damai
tentu hati kita berdetik; alangkah bahagianya kalau dapat pergi atau
tinggal di tempat-tempat tersebut. Di situlah ketenangan dapat
diperolehi, di situlah kebahagiaan dapat dikecapi. Paling tidak pun,
itulah yang lazim dirasakan oleh sebahagian besar manusia.
Maka menujulah manusia ke pantai-pantai yang permai mencari apa yang
mereka namakan sebagai ketenangan. Menjelajahlah manusia ke hutan
rimba, ke dataran hijau dan ke bukit serta gunung yang tinggi demi
mendapatkan ketenangan yang mereka cari.
Begitulah hakikat fitrah kemanusiaan yang memerlukan hiburan
ketenangan, setelah hidup mereka dipenuhi dengan seribu macam
kesibukan. Tapi benarkah wujud ketenangan di tempat-tempat yang
dikejarkan oleh mereka ini? Di situkah wujud kebahagiaan yang mereka
dambakan saban waktu?
Kalau benarlah ketenangan itu berada di tempat-tempat yang indah dan
permai, kenapa ada juga manusia yang memiliki ketenangan yang paling
hakiki, walaupun kehidupannya hanya dikelilingi lautan pasir dan
dipayungi terik mentari?
Siapakah manusia yang paling tenang hatinya kalau bukan Nabi
Muhammad s.a.w.? Dan bukankah hayat baginda hanya berlegar di padang
pasir. Tidak pernah baginda menyelam ke dasar lautan Pasifik melihat
keindahan hidupannya. Tidak pernah baginda menjelajah hingga ke Eropah
atau Asia Tengah; bumi yang penuh dengan flora dan fauna yang kita
idam-idamkan peluang untuk ke sana.
Dalam keadaan hidup baginda yang di kelilingi padang pasir itu pun,
ketenangan yang hakiki berjaya baginda dan para sahabat perolehi.
Justeru, di manakah wujud ketenangan itu sebenarnya?
Kalau pun kita diberi peluang untuk ke tempat-tempat yang indah dan
permai itu dan di sana kita merasai ketenangan yang kita harapkan,
adakah berkekalan rasa tenang itu apabila kita meninggalkan tempat
tersebut? Lazimnya tidak. Bahkan kalau memang kita ditakdirkan
bermastautin di tempat itu, pastikah ketenangan itu akan berterusan?
Jawapannya juga tidak. Buktinya?
Coba perhatikan, sejak lahir, kita hidup di bumi Malaysia, yang
akhirnya kita merasa bosan dengan suasana flora dan fauna negara
sendiri, padahal ribuan pelancong dari tempat-tempat yang menjadi
idaman kita itu memuji-muji keindahan negara ini. Mengapa mereka ke
sini pula, padahal tempat merekalah yang kita rasakan lebih indah dan
permai suasananya?
Fikirkan. Kenapa mereka mencari ketenangan di sini, sedangkan kita
pula merasakan ketenangan itu berada di tempat mereka sendiri? Cuba
halusi kembali. Di manakah sebenarnya ketenangan yang dicari-cari?
Ramai yang menyangka bahawa dengan berada di tempat-tempat seperti
itulah ketenangan dapat diperolehi dan kebahagiaan dapat dikecapi.
Namun hakikatnya ketenangan itu tidak wujud di mana-mana pun, tapi ia
sebenarnya berada di dalam hati.
Walau di mana sekalipun kita berada, sebenarnya ketenangan itu
sangat dekat dengan kita. Walau hidup kita di dalam gua yang tertutup
tanpa cahaya atau hidup di kelilingi dengan hiruk pikuk kesibukan
kotaraya, ketenangan itu tetap dapat kita perolehi. Kerana syarat untuk
tenang itu bukannya ke pantai, ke bukit atau ke hutan. Tapi syarat
ketenangan itu ialah mengingati Tuhan. Maksud firman Allah;
“Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itulah hati akan tenang.” (Surah Al-Ra’d 38)
Itulah rahsia ketenangan. Pintunya di hati. Dan kuncinya mengingati.
Dan yang diingat itu ialah Tuhan Yang Maha Suci. Lihatlah apa sahaja di
depan matamu dan kalau yang dilihat itu diperhati dan yang diperhati
itu dihayati dan yang dihayati itu difahami akan hakikatnya, kemudian
segalanya dapat membawa hati mengingati Allah, maka akan lahirlah
ketenangan.
Melihat manusia yang berbagai rupa bangsa, kemudian mengkagumi
kebijaksanaan Tuhan, maka hati akan tenang. Melihat kenderaan
lalu-lalang, kemudian memuji kehebatan Tuhan atas ilmu yang Dia
ilhamkan pada manusia untuk mencipta kenderaan itu, maka hati akan
tenang.
Melihat kemusnahan dan pencemaran kotaraya, kemudian menginsafi
ketentuan Tuhan terhadap kehancuran dunia (kiamat), maka hati akan
tenang. Melihat manusia dengan segala macam ragam; ada yang kuat
ibadatnya dan ada yang hebat maksiatnya, kemudian menangisi dan memohon
keuzuran dari Tuhan atas kesilapan diri sendiri, maka hati akan tenang.
Begitulah yang disuruh oleh Tuhan. AlamNya terbentang luas bukan
untuk dipandang, tapi diperhati. Bukan untuk dilihat, tapi dihayati.
Bukan untuk direbut, tapi dimanfaati. Maksud firman Allah;
“Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan bumi, dan silih pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (Surah Ali Imran 190)
Itulah tujuan alam dicipta. Tuhan lahirkan kita merata di seluruh
dunia. Biarlah di mana pun kita berada. Kalau pun tempat kita
ditakdirkan lahir itu adalah tempat yang dipenuhi dengan kehancuran
akibat peperangan atau malapetaka alam, ketahuilah! Tuhan itu tetap
adil.
DIA tidak menetapkan syarat ketenangan itu mesti berada di tempat
yang indah permai, tapi yang DIA telah tentukan ialah; untuk tenang
itu, hati mesti mengingati DiriNya. Itulah syarat ketenangan yang
menjadi impian setiap insan. Yang pasti, tiada siapa yang hanya mahu
ketenangan yang bersifat sementara. Justeru, ingatlah Tuhan, dan selama
mana ini dilakukan, insyaAllah hati akan tenang.
0 komentar:
Posting Komentar