Sifat Pemaaf Akan Melahirkan Hati Yang Bersih Dan Jiwa Yang Tenang
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Di
dalam jiwa manusia terdapat dua sifat utama iaitu sifat positif dan
negatif. Jika sifat positif mendominasi atau mempengaruhi jiwa manusia
maka akan melahirkan banyak sifat-sifat mahmudah, tetapi sebaliknya jika
sifat negatif banyak menguasai jiwa manusia maka ianya akan melahirkan
pula sifat-sifat mazmumah.
Salah satu sifat mahmudah adalah sifat pemaaf dan lawan daripada sifat ini adalah sifat pemarah dan pendendam. Pemaaf
adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa
ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang
juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah SWT.
Allah
SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan
memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.”
(Surah Ali-Imran ayat 132).
Orang
yang mulia adalah orang yang suka memafkan. Dalam sebuah hadis yang di
riwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahwasannya Rasulullah SAW bersabda:
Musa bin Imran a.s, berkata: "Wahai Tuhanku diantara hamba-hamba-Mu,
siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu ? "Allah Azza
Wajalla menjawab, “ Orang yang memaafkan walaupun ia mampu membalas. “ (
Hadis Riwayat Baihaqi )
Apabila
seseorang itu memiliki sifat pemaaf sebenarnya itu adalah tanda hatinya
bersih dan tenang. Sebenarnya bukanlah mudah untuk menjadi seorang
pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa
berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan
dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri
seseorang.
Iman
dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan
pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan
sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai
penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.
Memang
tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman
Allah yang bermaksud: “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan,
sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura
ayat 43).
Sifat
pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai
fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh
nilai moral sebenar.
Cuba
bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati,
dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi? Sudah tentu perasaan
marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk
lisan dan fizikal.
Kadangkala,
perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu.
Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi
dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan
dan tindakan fizikal secara kekerasan.
Emosi
manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada
pandangan logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika
hasutan syaitan berjaya menguasai diri.
Di
sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang
logik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk
kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia
dan akhirat.
Tindakan
marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan
menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu
jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin
ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pergaduhan.
Sesiapa
berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan,
keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang
tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.
Nabi
SAW bersabda maksudnya : “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan
(kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang
yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).
Sahabat yang dimuliakan,
Orang
yang bertakwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah Allah SWT
dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah SWT mengkategorikan mereka
yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin (orang bertakwa). Allah SWT
mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga.
Sikap
pemaaf adalah akhlak yang mulia dan dituntut syarak. Memaafkan orang
adalah akhlak mulia dan tergolong dalam amalan yang amat digalakkan.
Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi Allah SWT akan mudah mendapat
rahmat dan keampunan-Nya.
Sesungguhnya
Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh ikutan bagi seluruh umat
manusia. Antara contoh keperibadian yang tinggi yang wujud dalam diri
Rasulullah SAW adalah sikap pemaaf baginda. Ini dapat kita perhatikan
dalam banyak peristiwa yang dialami baginda melalui banyak riwayat yang
menceritakan kemuliaan akhlak baginda dengan memaafkan orang kafir yang
menyakiti baginda hingga menyebabkan mereka masuk Islam.
Untuk
mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan
memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat, banyak berzikir dan
membaca al-Quran. Dengan kekuatan iman dan takwa secara langsung akan
menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah.
Sifat
pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah
yang berterusan. Sebab itu, selalu memupuk sifat pemaaf. Bermulalah
dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah.
Jika
ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk
terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu.
Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita
sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk
mengelak perkara itu daripada berlaku?
Jika
kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang
hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan
seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan
perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.
Sifat
pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari
segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang,
hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa
menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.
Bagi
orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya
tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak
mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.
Banyak
masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan
membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat
diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah
kita tanamkan pada hati dan jiwa kita sifat pemaaf, kerana sifat pemaaf
adalah sifat ahli-ahli syurga sedang sifat pemarah dan pendendam adalah
sifat ahli-ahli neraka. Dari sifat pemarah dan pendendam akan
melahirkan sifat hasad dengki, irihati , sombong, bongkak dan takbur.
Sikap
berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak
yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada
perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak.
Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan telah selesai.
Jika
sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita juga tidak akan menanggung
kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah SWT terlebih awal
memberi keampunan dengan rahmat-Nya samaada ketika kita hidup di dunia
maupun kehidupan di hari akhirat. Allah SWT akan memaafkan kesalahan dan
dosa kita di akhirat nanti jika di dunia kita sentiasa memaafkan
kesalahan orang lain.
0 komentar:
Posting Komentar