Jangan Risau, Allah SWT Menjamin Rezeki Pada Semua Makhluk
Saudaraku, mari kita merenung ayat
Qur’an yang menceritakan tentang rezeki semoga keyakinan kita jika semua
rezeki itu adalah datang dari Allah Ar Razaq semakin kuat dan
mendalam.
Firman Allah SWT :
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا
“……dan tiada satu pun makhluk bergerak di bumi melainkan dijamin Allah rezekinya” (Surah Hud, ayat 6).
Jaminan rezeki dari Allah SWT pada mahklukNya adalah jaminan yang
pasti lagi benar bagi menunjukkan betapa Maha Kaya Allah yang memiliki
segala sifat kebesaranNya.
Firman Allah SWT:
Firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۚ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ
“Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada
di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan” (Surah Ali
Imran, ayat 109).
Selain dari Allah SWT siapa lagi yang boleh mencukupkan sumber rezeki
yang tidak pernah putus-putus bagi menyambung kitaran kehidupan di alam
ini. Bukan satu atau dua hari tetapi ribuan malah mungkin jutaan tahun.
Hanya Dia sahaja yang berhak dan layak untuk menurun dan mengeluarkan
segala rezeki dari sumber mana yang dikehendakiNya.
Inilah antara makna “Ilah” yang terkandung di dalam kalimah syahadah
iaitu “la ilah haillallah”. Dalam permasalahan rezeki, kalimah syahadah
ini mengajar kita iktiqad “Tidak ada yang memberi rezeki melainkan
Allah”. Jika seseorang mengakui bahawa ada makhluk yang memberi selain
Allah SWT bererti dia telah beriktikad dengan iktikad yang salah dan
boleh membawa kepada syirik.
Majikan atau tempat kita kerja adalah seperti posmen yang menghantar
surat kepada seseorang. Bukannya surat itu daripadanya sendiri kerana
rezeki yang berada ditangannya itu juga datang dari Allah. Bagaimana
jika Allah menahan rezeki kepadanya?
Firman Allah SWT :
أَمَّنْ هَٰذَا الَّذِي يَرْزُقُكُمْ إِنْ أَمْسَكَ رِزْقَهُ ۚ
“Siapakah yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya” (Surah Al-Mulk, ayat 21).
Pada waktu pagi kita dianjurkan membaca doa ini:
اللَّهُمَّ مَا أَصْبَحَ بِي مِنْ نِعْمَةٍ أَوْ بِأَحَدٍ مِنْ خَلْقِكَ
فَمِنْكَ وَحْدَكَ ، لا شَرِيكَ لَكَ ، فَلَكَ الْحَمْدُ ، وَلَكَ
الشُّكْرُ
“Ya Allah, pada pagi-pagi ini, apa juga nikmat yang ada padaku atau
mana-mana makhlukMu, semuanya dariMu. Tiada sekutu bagiMu. Milikmu
segala pujian dan terima kasih kami” (Zikir al-Ma’surat. Riwayat Imam
an-Nasai dari Abdullah bin Ghannam r.a.).
Ini membawa pengertian supaya akidah tauhid kita dibetulkan sebelum
kita memulakan aktiviti mencari rezeki pada awal-awal pagi. Manusia
hanyalah makhluk yang sangat lemah sehingga tidak mampu menjadikan
sebiji nasi pun di atas bumi ini dan bergantung kepada pohon padi dari
ciptaan Allah SWT
Allah SWT menjamin rezeki pada semua mahluk tetapi kenapa ada yang mati kebuluran. Hal ini diterangkan Allah dalam firmanNya :
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي
النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut
dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya
yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari
balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya
mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Surah ar-Rum, ayat 41).
Kematian dan kebuluran 26 ribu orang di Euthopia bukti sebuah
kebinasaan akibat dari pendurhakaan manusia. Bumi dirosakkan oleh
tangan-tangan manusia seperti tubuh badan yang dirosakkan oleh ubatan
kimia yang bernama drugs. Tubuh yang dibekalkan dengan sistem imuniti
juga hancur akibat dari dadah yang diambilnya pada setiap hari. Inilah
sebabnya Allah menurunkan peraturan hidup yang sempurna untuk
kesinambungan rezeki dan hidup di dunia ini.
Bagi menyelamat dunia yang kian hancur ini hanya satu sahaja iaitu
ugama Allah. Ugama yang perlu ditegakkan sebagai “deenulhayah” untuk
kesejahteraan ummat di muka bumi ini jika tidak terimalah padahnya iaitu
penderitaan dan kemusnahan.
Perkara kedua dari ayat awal di atas difahami bahawa rezeki itu juga
perlu dicari sebagaimana Allah menyatakan dengan kalimah “makhluk
bergerak” bukannya hanya menanti yang bulat datang bergolek dan yang
pipih datang melayang. Lihatlah rezeki seekor burung yang terjamin
apabila ia keluar dari sarangnya. Kemalasan berikhtiar menjadikan periuk
nasi juga kosong bukan kerana tidak ada jaminan dari Allah tetapi
kerana ia yang memilih untuk itu.
Ini terkecuali dengan ujian dari Allah yg berupa kekurangan makanan dan buah-buahan seperti firman Allah:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ
الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut
(kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya)
kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah
khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” (Surah al-Baqarah, ayat
155).
Ujian adalah hak Allah sama seperti rezeki. Hikmah dari ujian akan
menjadikan sesuatu ummat itu bertambah kuat bukannya semakin lemah. Ia
tergantung bagaimana sikap yang diambil terhadap ujian yang menimpanya.
Jika ujian itu mematikan jiwa dan semangatnya, petandanya Allahlah yang
menyempitkan kehidupannya seperti asma’ Allah yang bernama “Al Qobidh”.
وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
“Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan
kepadaNyalah kamu semua dikembalikan” (Surah al-Baqarah, ayat 245).
Bangsa-bangsa yang terus “bergerak” telah menguasai dunia
dibandingkan dengan bangsa yang suka berpeluk tubuh. Mereka menguasai
semua bidang keilmuan di atas pokok perubahan yang dilakukan pada setiap
detik. Rezeki itu kuncinya ilmu kerana itulah ia perlu bergerak bagi
mencarinya.
Berkata Imam Syafi’ie rhm:
من أراد الدنيا فعليه بالعلم ومن أراد الآخرة فعليه بالعلم
“Sesiapa mengingini dunia, ia memerlukan ilmu. Sesiapa menghendaki akhirat, ia juga memerlukan ilmu”.
Nasib itu tidak terletak pada tapak tangan tetapi terletak pada
tangan dan kaki. Keluar dari zon statik kepada zon dinamik untuk
mengubah nasib yang menimpa diri sendiri.
Firman Allah SWT :
إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (Surah
ar-Ra’du, ayat 11).
Soal rezeki terlalu panjang perbahasannya tetapi penutupnya pula adalah pendek lagi ringkas iaitu semuanya rezeki itu adalah datang dari Ar Razaq.
Sumber : Forum carigold.com
0 komentar:
Posting Komentar