HILANG KASIH SAYANG TIMBUL BENCI
ISLAM sebagai ajaran lengkap dan menyeluruh dalam setiap aspek
kehidupan manusia sejagat memiliki panduan yang ditetapkan Tuhan bagi
menjamin kesejahteraan hidup umatnya di dunia dan akhirat.
Salah satu teras ajaran Islam dalam mengecapi kesejahteraan dan
kebahagiaan hidup adalah dengan menanamkan sifat pengasih dan penyayang
di dalam diri kita. Dalam Islam, kasih sayang amat tinggi nilainya. Malah banyak masalah
yang berlaku dalam dunia ini akan selesai jika setiap orang
memartabatkan nilai kasih sayang yang sedia ada di dalam diri
masing-masing.
Dalam dunia kita hari ini, kefanatikan dan kebencian sudah dikenal
pasti sebagai sesuatu yang dapat menimbulkan permusuhan dan menjurus
kepada keganasan. Terdapat segelintir masyarakat yang terdiri dari golongan pelampau
dan kumpulan tegar sentiasa cuba menanamkan bibit-bibit kebencian dan
permusuhan dalam diri umat Islam. Inilah fenomena dan salah satu cabaran
utama umat Islam hari ini.
Dengan menanamkan sifat kebencian yang buruk ini, mereka tidak
berupaya hidup harmoni dan kasih sayang antara manusia. Di dalam keadaan
masakini di mana ramai umat Islam yang hidup sebagai kaum minoriti di
merata dunia, perasaan benci semakin mendalam terhadap mereka yang bukan
seagama dan juga dalam sistem yang bukan kese luruhannya berpaksikan
kepada sistem Islam.
Kenapa kebencian? Apakah yang membuat seseorang itu membenci?
Menurut kamus Oxford, benci sering terhasil daripada perasaan takut
dan keinginan untuk melenyapkan mereka yang dianggap tidak sehaluan atau
yang dilihat sebagai ancaman kepada kesejahteraan dan kebahagiaan kita.
Perasaan benci dalam diri manusia boleh dibahagikan kepada dua jenis, menurut Erich Fromm, seorang psikologis Jerman.
Jenis pertama merupakan kebencian yang bersebab atau rasional. Ia
tercetus apabila seseorang itu merasakan dirinya, kebebasannya atau
idea-ideanya terancam. Kebencian jenis ini bertindak untuk melindungi
diri kita. Ia akan reda sebaik saja ancaman tadi ditiadakan.
Jenis kedua merupakan kebencian yang tidak rasional. Ia bukan
merupakan tindak balas kepada sesuatu ancaman khusus tetapi lahir
daripada perwatakan seseorang itu yang bersifat sentiasa sedia memusuhi
orang lain. Mereka yang tergolong di dalam kumpulan ini sering
menganggap bahawa hanya diri mereka serta buah fikiran mereka yang
betul.
Dalam hal ini, ketua yang mendalangi doktrin kebencian memainkan
peranan penting untuk menyemarakkan perasaan benci yang berapi-api di
kalangan pengikutnya sehinggakan mereka gagal untuk melihat daripada
perspektif kemanusiaan dan tegar melakukan keganasan yang melampaui
batas. Ini dapat dilakukan dengan lebih berkesan lagi ke atas golongan belia
kerana lazimnya kumpulan ini belum cukup matang dan sering bertindak
secara spontan dan beremosi.
PENGGANASAN DAN KEBENCIAN
Pengganasan adalah jenayah yang dilakukan atas dasar perasaan benci.
Persekitaran yang memupuk sifat benci, pelampauan dan tiada toleransi
akan membuahkan generasi mendatang yang berpotensi menjurus kepada
keganasan.
Apakah yang membuat hati seorang pengganas terdorong untuk membenci?
Sebenarnya, kebencian dan sifat pelampau ini terbentuk dalam suasana
kehidupan yang terlalu mengongkong dan dipenuhi dengan larangan serta
ancaman, bukan kasih sayang, dorongan dan semangat toleransi dan saling
memahami. Sebagai contoh, Dunia Islam kini bergolak dengan gejala pengganasan
kerana pesanan-pesanan agama, khutbah-khutbah yang sering dipaksikan
atas dasar menakut-na kutkan umat Islam mengenai perkara-perkara yang
haram dalam Islam, penyeksaan di neraka serta menyebarluaskan propaganda
kekejaman dan perancangan musuh yang bekerja keras untuk menjatuhkan
Islam dan melemahkan umat Islam. Golongan pelampau juga sering membenarkan perasaan benci mereka
terhadap orang kafir dengan menggunakan firman-firman Allah swt dalam
Al-Quran. Tanpa memahami maksud ayat yang sebenarnya dan merujuk kepada
tafsiran para ulama, mereka telah salah memahami ayat-ayat dan
menimbulkan permusuhan dan kebencian.
Telah menjadi lumrah dan kehendak Tuhan menciptakan manusia itu
daripada berbagai agama, bangsa dan budaya. Namun, kepelbagaian ciptaan
Tuhan ini tidak bererti manusia itu harus bermusuhan dan saling membenci
kerana perbezaan.
Dalam Surah Al-Mumtahinah ayat 7, Allah swt berfirman:
'Mudah-mudahan
Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu
musuhi di antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah Maha Pe
ngampun lagi Maha Penyayang'. Ayat ini meneguhkan lagi keyakinan kita bahawa bukan setiap dari orang kafir itu adalah musuh kita.
Sifat kasih sayang juga dapat kita taruhkan terhadap mereka yang tidak seagama dan sehaluan dengan kita.
Pada ayat seterusnya dalam surah yang sama, Allah berfirman:
'Allah
tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap
orang-orang yang tiada meme rangimu kerana agama dan tidak (pula)
mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang
yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan
sebagai kawanmu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan
mengusir kamu dari negerimu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu.
Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah
orang-orang yang za lim'.
Dalam mentafsirkan ayat ini, ilmuan Islam seperti Imam Zamakhshari
menegaskan bahawa kekata 'Tuhan tidak melarang kamu' merupakan satu
perintah untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang kafir yang
tidak memusuhi orang Islam.
Ketiga-tiga ayat ini (7-9) daripada Surah Al-Mumtahinah meletakkan
garis pandu dalam perhubungan orang Islam dengan orang bukan Islam.
Secara keseluruhannya, selagi mereka yang bukan Islam tidak berlaku
kejam atau memusuhi kita, selagi itu kita berkewajipan untuk
memperlakukan mereka dengan penuh ihsan dan adil.
Dengan ini jelas bahawa adalah tidak berasas hujah mereka yang
mengatakan bahawa setiap orang bukan Muslim itu harus dimusuhi dan
ditentang. Apa yang jelas ialah mereka sebenarnya telah merosakkan nama agama
sendiri. Mereka telah menyebabkan sesebuah agama itu dipandang negatif
di mata orang dan telah menanam rasa kebencian kepada yang lain.
Akibatnya, setiap serangan keganasan yang dikatakan mewakili 'agama' dan
didasari rasa permusuhan dan kebencian sebenarnya secara tidak langsung
'memerangi' agama mereka sendiri. Sebenarnya kehadiran Islam jelas untuk memerangi nafsu manusia yang
cenderung kepada permusuhan dan kebencian dan mengangkat mereka kepada
darjat ihsan, kasih-sayang serta bersih hati dengan semua manusia, tidak
kira samada yang Muslim atau bukan Muslim.
CABARAN HARI MUKA
Salah satu perkara kritikal yang harus kita ubah adalah cara kita
mendidik, terutama sekali generasi muda, tentang Islam. Islam seharusnya
digambarkan sebagai agama yang memudahkan, bukan membebankan; agama
kasih-sayang bukan agama yang hanya berlandaskan hukum dan perintah.
Apabila sifat persefahaman dan saling mencintai itu subur, dengan
sendirinya sifat pelampauan dan tidak bertolak ansur itu tidak akan ada
lagi ruang di kalangan masyarakat umat Islam. Dalam hal ini, kita
semakin melihat kepentingan untuk mengembalikan tradisi keilmuan Islam
yang kaya dengan semangat saling mencintai sesama makhluk di dunia ini,
baik manusia mahupun alam sekitar kita.
Aspek terpenting yang harus kita terapkan di dalam hubungan sesama
manusia adalah kebersihan hati. Dalam perkara ini, ilmu Islam yang
menjurus kepada penyucian rohani seperti ilmu tasawuf harus disuburkan
kembali penjiwaannya di dalam masyarakat yang sekian lama sekian
berjauhan daripada pengamalan ilmu ini dek pencemaran serta pelbagai
tuduhan yang dilemparkan kepada para pengamal tasawuf seperti syirik
atau pengamal ilmu mistik.
Selain memberi penekanan bahawa pengganasan itu adalah satu jenayah
dan salah dari segi moral, kita juga harus berusaha menggagalkan agenda
pengganas dengan memperlihatkan bahwa ia juga sia-sia dari sudut
strategik dan politik. Umpamanya, kita harus menyedari bahawa strategi
seperti operasi serangan nekad bukan sahaja salah dari sisi agama,
tetapi ia sebenarnya merugikan umat Islam kerana ia menyempitkan, bukan
meluaskan, pilihan huraian politik seperti di Palestin.
Di samping itu, umat Islam harus diberi peringatan bahawa dalam apa
sekali keadaan, mereka berkewajipan menjadi contoh umat terbaik termasuk
yang tinggi nilai akhlaknya. Terutama sekali dengan keadaan umat Islam
hari ini yang begitu lemah dari segi kecanggihan peralatan mahupun
sumber lainnya. Kita harus sedar bahawa hanya dengan berpegang kepada nilai-nilai
murni yang menjadi teras pengajaran Islam kita akan beroleh pertolongan
Allah swt dan seterusnya berjaya dalam usaha-usaha kita.
Kesimpulannya, Islam mengaturkan hubungan antara sesama manusia,
bangsa dan negara dengan diasaskan kepada konsep cinta pada kedamaian
dan kesejahteraan, bukan permusuhan dan kebencian. Bahkan agama Islam sendiri telah dikembangkan oleh Nabi Muhammad saw
dengan penuh kesopanan serta membuat hubungan yang baik lagi mesra
dengan semua umat manusia, baik orang-orang Islam mahupun orang-orang
bukan Islam.
Islam menganjurkan kita bersatu dan menjaga keselamatan sesama
manusia, orang Islam dan bukan Islam. Hakikatnya Islam adalah agama yang
penuh dengan nilai-nilai suci, penuh dengan rahmat dan belas kasihan,
kerana itulah Islam tidak akan sekali-kali membenarkan umatnya melakukan
keganasan dan kekejaman.
Tujuannya supaya keselamatan dan kesejahteraan umat manusia akan
sentiasa terpelihara. Malahan barangsiapa yang melakukan tindakan yang
melampau batas akan dikenakan hukuman walaupun ia nya dilakukan terhadap
orang-orang bukan Islam. Inilah ciri-ciri keistimewaan ajaran Islam yang sentiasa memikirkan
keadaan umatnya supaya dapat hidup di muka bumi ini dengan penuh aman
dan kasih sayang.
Benarlah apa yang dikatakan oleh para hukama bahawa kebencian tidak akan pernah berakhir apabila dibalas dengan kebencian. Tetapi kebencian hanya akan berakhir apabila sifat kasih sayang itu kita suburkan walau dalam suasana yang penuh kebencian.
0 komentar:
Posting Komentar