KONSEP IBADAH DALAM ISLAM
Mukaddimah
Hidup manusia dibumi ini bukanlah suatu kehidupan yang tidak
mempunyai tujuan dan matlamat dan bukanlah mereka boleh melakukan
sesuatu mengikut kehendak perasaan dan keinginan tanpa ada batas dan
tanggungjawab. Tetapi penciptaan makhluk manusia di bumi ini adalah mempunyai suatu
tujuan dan tugas risalah yang telah ditentu dan ditetapkan oleh Allah
Tuhan yang menciptanya. Tugas dan tanggungjawab manusia sebenarnya telah nyata dan begitu
jelas sebagaimana terkandung di dalam al-Quran iaitu tugas melaksanakan
ibadah mengabdikan diri kepada Allah dan tugas sebagai khalifah-Nya
dalam makna mentadbir dan mengurus bumi ini mengikut undang-undang Allah
dan peraturan- Nya.
Firman Allah swt. maksudnya:
“Dan Aku Tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah (menyembah) kepada Ku”. (Az-Zaariyaat: 56)
Firman Allah swt. bermaksud:
“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah (penguasa-penguasa) di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebaha-gian (yang lain) beberapa darjat untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu”. (al-An’aam: 165)
Tugas sebagai khalifah Allah ialah memakmurkan bumi ini dengan
mentadbir serta mengurusnya dengan peraturan dan undang-undang Allah.
Tugas beribadah dan mengabdi diri kepada Allah dalam rangka melaksanakan
segala aktiviti pengurusan bumi ini yang tidak terkeluar dari garis
panduan yang datang dari Allah swt. dan dikerjakan segala kegiatan
pengurusan itu dengan perasaan ikhlas kerana mencari kebahagian dunia
dan akhirat serta keredaan Allah.
Allah swt. telah menyediakan garis panduan yang lurus dan tepat
kepada manusia dalam rangka pengurusan ini. Allah dengan rasa kasih
sayang yang bersangatan kepada manusia diturunkannya para rasul dan
bersamanya garis panduan yang diwahyukan dengan tujuan supaya manusia
itu boleh mengurus diri mereka dengan pengurusan yang lebih sempurna dan
bertujuan supaya manusia itu dapat hidup sejahtera dunia dan akhirat.
Pengertian Ibadah
Kalimat ibadah berasal daripada kalimat `abdun’. Ibadah dari segi bahasa bererti patuh, taat, setia, tunduk, menyembah dan memperhambakan diri kepada sesuatu. Dari segi istilah agama Islam pula ialah tindakan, menurut, mengikut dan mengikat diri dengan sepenuhnya kepada segala perkara yang disyariatkan oleh Allah dan diserukan oleh para Rasul-Nya, sama ada ia berbentuk suruhan atau larangan. Ibnu Taimiah pula memberi takrif Ibadah, iaitu nama bagi sesuatu yang disukai dan kasihi oleh Allah swt. Perintah Allah dan Rasul-Nya ini hendaklah ditunaikan dengan perasaan penuh sedar, kasih dan cinta kepada Allah, bukan kerana terpaksa atau kerana yang lain dari cintakan kepada-Nya. Para Nabi dan Rasul merupakan hamba Allah yang terbaik dan sentiasa melaksanakan ibadah dengan penuh kesempurnaan di mana setiap arahan Tuhannya, mereka patuhi dengan penuh perasaan cinta dan kasih serta mengharap keredaan dari Tuhannya. Mereka menjadi contoh teladan yang paling baik kepada kita semua dalam setiap pekerjaan dan amalan sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran itu sendiri.
Kalimat ibadah berasal daripada kalimat `abdun’. Ibadah dari segi bahasa bererti patuh, taat, setia, tunduk, menyembah dan memperhambakan diri kepada sesuatu. Dari segi istilah agama Islam pula ialah tindakan, menurut, mengikut dan mengikat diri dengan sepenuhnya kepada segala perkara yang disyariatkan oleh Allah dan diserukan oleh para Rasul-Nya, sama ada ia berbentuk suruhan atau larangan. Ibnu Taimiah pula memberi takrif Ibadah, iaitu nama bagi sesuatu yang disukai dan kasihi oleh Allah swt. Perintah Allah dan Rasul-Nya ini hendaklah ditunaikan dengan perasaan penuh sedar, kasih dan cinta kepada Allah, bukan kerana terpaksa atau kerana yang lain dari cintakan kepada-Nya. Para Nabi dan Rasul merupakan hamba Allah yang terbaik dan sentiasa melaksanakan ibadah dengan penuh kesempurnaan di mana setiap arahan Tuhannya, mereka patuhi dengan penuh perasaan cinta dan kasih serta mengharap keredaan dari Tuhannya. Mereka menjadi contoh teladan yang paling baik kepada kita semua dalam setiap pekerjaan dan amalan sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran itu sendiri.
Firman Allah swt. maksudnya:
“Sesungghnya bagi mu, apa yang ada pada diri Rasulullah itu contoh yang paling baik”. (al-Ahzab: 21)
Sesetengah ulama mengatakan bahawa perhambaan (ibadah) kepada Allah
hendaklah disertai dengan perasaan cinta serta takut kepada Allah swt.
dan hati yang sihat dan sejahtera tidak merasa sesuatu yang lebih manis,
lebih lazat, lebih seronok dari kemanisan iman yang lahir dari
pengabdian (ibadah) kepada Allah swt. Dengan ini maka akan bertautlah
hatinya kepada Allah dalam keadaan gemar dan reda terhadap setiap
perintah serta mengharapkan supaya Allah menerima amalan yang dikerjakan
dan merasa bimbang serta takut kalau-kalau amalan tidak sempurna dan
tidak diterima oleh Allah seperti yang ditegaskan dalam firman-Nya yang
bermaksud:
“(Ia itu) Oran yang takut kepada Tuhan yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat”. (Qaf: 33)
Orang yang memperhambakan dirinya (beribadah) kepada Allah mereka
akan sentiasa patuh dan tunduk kepada kehendak dan arahan Tuhannya, sama
ada dalam perkara yang ia suka atau yang ia tidak suka dan mereka
mencintai dan mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih dari yang
lain-lainnya. Mereka mengasihi makhluk yang lain hanyalah kerana Allah
semata-mata, tidak kerana yang lain Kasihkan kepada Rasulullah saw. pula
kerana ia membawa Risalah Islam, cintakan kepada Rasulullah saw.
hendaklah mengikuti sunahnya sebagaimana firman Allah swt. maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad) sekiranya kamu kasihkan Allah maka ikutilah aku (pengajaranku) nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan dosa- dosa kamu”. (Al-Imran: 31)
Dan andainya kecintaan kamu kepada selain Allah dan Rasul-Nya itu
mengatasi dan melebihi dari kencintaan dan kasih kepada yang lain; Allah
akan turunkan keseksaan-Nya kepada manusia yang telah meyimpang dari
ketentuan-Nya. Firman Allah swt. maksudnya:
“Katakanlah (Muhammad) jika ibu bapa kamu, anak-anak kamu, saudara mara kamu, suami isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbangkan kerugiannya, dan rumahtangga yang kamu sukai itu lebih kamu kasihi daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad untuk agama Allah, maka tunggulah (kesiksaan yang akan didatangkan) oleh Allah. Dan Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang fasik”. (At-Taubah: 24)
Ruang lingkup Ibadah dan Hubunganya dengan kehidupan
Sebgaimana yang dijelaskan di atas nyatalah ibadah itu itu bukanlah
sesempit apa yang difahami oleh sebahagian dari kalangan manusia yang
tidak dapat memahami kesempurnaan Islam itu sendiri di mana pada
anggapan mereka Islam itu hanya suatu perbicaraan pasal akhirat (mati)
dan melakukan beberapa jenis ibadah persendirian tidak lebih dari itu.
Begitu juga bila disebut ibadah apa yang tergambar hanyalah masjid,
tikar sembahyang, puasa, surau, tahlil, membaca al-Quran, doa, zikir dan
sebagainya iaitu kefahaman sempit disekitar ibadah-ibadah khusus dan
ritual sahaja tidak lebih dari itu. Kefahaman seperti ini adalah akibat
dari serangan fahaman Sekular yang telah berakar umbi ke dalam jiwa
sebahagian dari kalangan orang-orang Islam. Islam adalah suatu cara hidup yang lengkap dan sempurna, yang
merangkumi semua bidang kehidupan dunia dan akhirat, di mana dunia
merupakan tanaman atau ladang yang hasil serta keuntungannya akan dituai
dan dinikmati pada hari akhirat kelak. Ibadah dalam Islam meliputi semua urusan kehidupan yang mempunyai
paduan yang erat dalam semua lapangan hidup dunia dan akhirat, tidak ada
pemisahan antara kerja-kerja mencari kehidupan di muka bumi ini dan
hubungannya dengan balasan akhirat. Islam mengajarkan kepada kita setiap
apa juga amalan yang dilakukan oleh manusia ada nilai dan balasan sama
ada pahala atau siksa. Inilah keindahan Islam yang disebut sebagai
ad-Deen yang lengkap sebagai suatu sistem hidup yang boleh memberi
kesejahteraan hidup penganutnya di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain setiap amalan atau pekerjaan yang membawa manfaat
kepada individu dan masyarakat selama ia tidak bercanggah dengan syarak
jika sekiranya ia memenuhi syarat-syaratnya, seperti dikerjakan dengan
ikhlas kerana Allah semata-mata bukan kerana mencari kepentingan dan
mencari nama serta ada niat mengharapkan balasan dari manusia atau ingin
mendapat pujian dan sanjungan dari manusia; maka amalan-amalan yang
demikian akan mejadi ibadah yang diberi pahala di sisi Allah swt di
akhirat kelak, insya’-Allah. Berdasarkan kepada konsep ibadah tersebut maka setiap perbuatan
pertolongan baik kepada orang lain seperti membantu orang sakit, tolong
merengankan beban dan kesukaran hidup orang lain, memenuhi keperluannya,
menolong orang yang teraniaya, mengajar dan membimbing orang yang jahil
adalah ibadah. Termasuk juga dalam makna ibadah ialah setiap perbuatan, perkataan
manusia zahir dan batin yang disukai dan diredai oleh Allah swt.
Bercakap benar, taat kepada ibu bapa, amanah, menepati janji, berakata
benar, memenuhi hajat keperluan orang lain adalah iabadah. Menuntut ilmu, menyuruh perkara kebaikan dan mencegah segala
kejahatan, berjihad, memberi pertolongan kepada sesama manusia, dan
kepada binatang, berdoa, puasa, sembahyang, membaca al-Quran semuanya
itu juga adalah sebahagian dari ibadah. Begitu juga termasuk dalam pengertian ibadah cinta kepada Allah dan
Rasul-Nya, melaksanakan hukum-hukum Allah, sabar menerima ujian,
bersyukur menerima nikmat, reda terhadap qadha’ dan qadar-Nya dan banyak
lagi kegiatan dan tindakan manusia yang termasuk dalam bidang ibadah. Kesimpulannya ruanglingkup ibadah dalam Islam adalah terlalu terlalu
luas yang merangkumi semua jenis amalan dan syiar Islam dari perkara
yang sekecil-kecilnya seperti cara makan, minum dan masuk ketandas
hinggalah kerja-kerja menguruskan kewangan dan pentadbiran negara
semuanya adalah dalam makna dan pengertian ibadah dalam ertikata yang
luas apabila semuanya itu dikerjakan dengan sebaik-baiknya dengan
menurut adab dan peraturan serta memenuhi syarat-syaratnya.
Hubungan Iman dan Amal
Iman bukanlah sekadar suatu keyakinan dan pembenaran dalam hati
terhadap apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. tetapi iman yang hakiki
dan sebenar ialah merangkumi pembenaran dan keyakinan di dalam hati,
pengucapan di lidah serta melaksanakan amalan dengan anggota badan iaitu
melakukan amalan soleh, maka dengan ini dapatlah difahami iman itu
bukanlah sekadar ucapan lidah dan keyakinan dalam hati sahaja tetapi
amalan merupakan sebagai bukti kesempurnaan, keteguhan dan kemantapan
iman seseorang.
Imam al-Ghazali menjelaskan dalam hubungan ini dengan katanya:
“Iman itu ialah akidah, perkataan dan perbuatan”.
Dengan makna akidah itu sebagai membenarkan dan mepercayai dengan
hati kepada segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. (perkara yang
mudah (dharuri) dari agama). Perkataan adalah sebagai ikrar dan
pengakuan dengan lisan dan perbuatan adalah sebagai beramal melaksanakan
segala perintah Allah dengan anggota (badan yang lahir). Hadis Rasulullah saw. menguatkan adanya hubungan yang sangat erat di
antara iman dan amal. dengan sabdanya sebagai berikut: Sabda Rasulullah
saw. maksudnya:
“Iman itu lebih dari enam puluh cabang; yang paling tingginya La-Ilaaha-Illallaah dan dan yang paling rendahnya membuang sampah dari tengah jalan”. (H.R.Bukhari)
Hadis ini menyatakan dengan jelas perbuatan membuang sampah sebagai
sebahagian dari iman. Ini bermkna iman itu jelas bukan sekadar keyakinan
dan kepercayaan dalam hati tetapi ia juga merangkumi amal atau
perbuatan manusia.
Pembahagian Ibadah
Untuk memudahkan bahasan dan perbincangan kita berhubung dengan
ibadah ini, ulamak-ulamak Islam membahagikan ibadah kepada dua bahagian
sebagai berikut:
1. Ibadah khusus
2. Ibadah Umum
Ibadah khusus ialah semua amalan yang tercantum dalam bab al-Ibadaat yang utamanya ialah sembahyang, puasa, zakat dan haji. Ibadah Umum pula ialah segala amalan dan segala perbuatan manusia
serta gerak-geri dalam kegiatan hidup mereka yang memenuhi syarat-syarat
berikut:
1) Amalan yang dikerjakan itu di akui oleh syarak dan sesuai dengan Islam.
2) Amalan tersebut tidak bercanggah dengan syariat, tidak zalim, khianat dan sebagainya
3) Amalan tersebut dikerjakan dengan niat ikhlas semata-mata keranaAllah swt. tidak riak, ujub dan um’ah.
4) Amalan itu hendaklah dikerjakan dengan sebaik-baiknya
5) Ketika mengerjakan amalan tersebut tidak lalai atau mengabaikan kewajipan ibadah khusus seperti sembahyang dan sebagainya.
Firman Allah swt. maksudnya:
“Lelaki yang tidak dilalaikan mereka oleh perniagaan atau jual beli dari mengingati Allah, mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang”. (An-Nur: 37)
Amalan-Amalan yang Tidak Menjadi Ibadah
Dilihat dari syarat-syarat di atas, nampaklah kepada kita bahawa
sesuatu amalan yang dikerjakan oleh seseorang begitu sukar sekali untuk
mencapai kesempurnaan dalam makna ibadah dengan ertikata yang
sebenar-benarnya mengikut syarat-syarat dan ketentuan tersebut di atas,
oleh itu kita hendaklah bersungguh-sungguh dalam mengusahakan amalan
kita supaya dapat mencapai matlamat ibadah yang sempurna dengan
menyempurnakan segala syarat-syaratnya. Dan kita hendaklah sentiasa meneliti dan memperhatikan dengan
sungguh-sungguh agar kita tidak tertipu dengan amalan kita sendiri;
dengan menyangka kita telah banyak melaksanakan amal ibadah dengan
sempurna tetapi pada hakikatnya tidak demikian, kita takut akan
tergolong ke dalam golongan manusia yang tertipu dan sia-sia amalan kita
dan apa yang kita dapat hanyalah penat dan lelah. Ini kerana kita
melakukan amalan dan kerja-kerja kebajikan itu tidak menepati dan tidak
selari dengan ketentuan dan syarat-syarat ibadah dan amal soleh yang
dikehandkki itu. Dari itu disamping kita melaksanakan segala amalan zahir dengan
sempurna mengikut petunjuk dari Rasulullah saw. apa yang lebih penting
lagi ialah kita membetulkan amalan batin iaitu amalan hati supaya betul
iaitu niat dengan ikhlas, amalan itu semata-mata kerana Allah tidak
kerana yang lain dari-Nya. Dan kita juga hendaklah sentiasa menjaga
keikhlasan hati kita ini dari penyakit-penyakit yang boleh merusakannya
seperti riak, ujub, sum’ah, takabur dan sebagainya. Kesimpulan secara mudah ialah seorang lelaki yang memakai pakaian
untuk menutup aurat dari kain sutra, dan perempuan yang berpakaian
meliputi badannya tetapi masih menampakan susuk badannya masih lagi
tidak dinamakan ibadah, atau seorang menderma dengan tujuan supaya
dipuji dan digelar sebagai dermawan atau seorang yang rajin
bersembahyang dengan niat tujuan supaya digelar sebagai ahli ibadah oleh
manusia; itu semua tidak termasuk dalam makna ibadah yang diterima oleh
Allah swt. Dengan demikian jelaslah kepada kita segala amalan yang tidak
memenuhi syarat-syarat di atas itu tidak dikira sebagai ibadah. Niat dan
tujuan serta matlamat adalah sangat penting dalam sesuatu amalan di
samping amalan tersebut tidak bercanggah serta diakui sah oleh syariat
Islam.
Matalamat dan Tujuan Ibadah
Sebagaimana kita ketahui dan maklum bahawa pengutusan manusia ke
dunia ini tidak lain melainkan untuk beribadah (memperhambakan diri)
kepada al-Khaliq, Allah Yang Maha Pencipta dan juga kita telah
mengetahui bahawa pengertian ibadah dalam Islam merangkumi semua bidang
amalan dalam kehidupan manusia. Dan di sini timbul pertanyaan kenapa kita mengabdi menyembah Allah
dan apakah matlamat ibadah itu ? Apakah ada faedah untuk-Nya atau apa
faedah yang boleh didapati oleh seseorang hamba yang menyembah-Nya ? Jawapannya ialah bahawa Allah swt. Yang Maha Suci dan Maha Tinggi
tidak mendapat sebarang faedah dari ketaatan orang yang menyembah-Nya
dan tidak memberi mudarat sedikitpun dari keengganan orang yang
menentang dan engkar kepada perintah-Nya. Begitu juga tidak menambahkan kuasa keagungan pemerintahan-Nya oleh
puji-pujian orang yang memuji-Nya dan tidak mengurangi keagungan
kekuasaan-Nya oleh keengkaran orang-orang yang mengengkari perintah-Nya. Ini kerana Allah Maha Kaya dan mempunyai segala-galanya kerana semua
yang ada di alam ini menjadi milik-Nya belaka sedangkan kita manusia
adalah satu dari makhluk Allah yang banyak itu, makhluk manusia ini
terlalu kecil, hina dan miskin, serba kekurangan dan sentiasa berhajat
dan memerlukan kepada-Nya. Allah, Dialah Tuhan Maha Pemurah, Maha Mulia, Maha Penyayang serta
bersifat Maha Memberi kepada semua makhuk-Nya dan Dia tidak menyuruh
kita mengerjakan sesuatu melainkan perkara itu mendatangkan kebaikan
bagi makhluk itu sendiri.
Firman Allah swt. maksudnya:
“Sesungguhnya Kami telah kurniakan hikmat (ilmu pengetahuan) kepada Luqman supaya dia bersyukur kepada Allah dan sesiapa yang bersyukur, sebenarnya dia bersyukur dagi faedah dirinya sendiri dan sesiapa yang ingkar, sesungghnya Allah Maha Kaya lagi Terpuji”. (Luqman: 12)
Dari itu kita wajiblah mensyukuri segala nikmat dan kurniaan Allah
swt. kepada kita semua yang mana sekiranya kita hendak menghitugnya
sudah tentu kita tidak mampu untuk berbuat demikian, begitulah besar dan
banyaknya pemberian Allah kepada kita semua sebagai makhluk-Nya.
Kelazatan Bermunajat dan Mentaati Allah
Kelazatan beribadah ini dapat digambarkan dari beberapa peristiwa
yang berlaku kepada baginda Rasulullah saw. para sahabat, tabi’in dan
para solihin, kelazatan ini akan timbul apabila adanya hubungan hamba
dengan Tuhannya yang begitu erat dan di mana seorang hamba begitu
gembira dan begitu senang memuji-muji kebesaran Allah swt. ini semua
berlaku dari sebab makrifat-nya (kenalnya) seseorang hamba itu kepada Tuhannya sehingga hamba itu merasa rindu apabila ia tidak dapat
menghadap Tuhannya, dan merasa gelisah kerana tidak dapat bertemu dengan
yang dicintai dan dikasihinya. B begitu juga apabila seorang hamba
mengalami sedikit kesusahan tentulah ia akan mengadu ketempat yang dapat
menerima pengaduan dan boleh menyelesaikan masalah dan kesusahannya.
Tiada tempat yang layak untuk berbuat demikian melainkan kepada Yang
Maha Agung dan Maha Berkuasa.
Firman Allah swt. maksudnya:
“Demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa engkau (Muhammad) bersusah hati dengan apa yang mereka katakan maka hendaklah engkau bertasbih memuji Tuhanmu serta jadilah dari golongan orang-orang yang sujud beribadah dan sembahlah Tuhanmu sehingga tiba kepadmu perkara yang tetap (iaitu mati)”. (al-Hijr: 97-99)
Begitu juga di waktu orang-orang mukmin mendapat kurnia ia bersyukur
seterusnya memuji kepada Allah swt. Firman Allah swt. maksudnya:
“Bila datang pertolongan Allah dan kemenangan (pembukaan Makkah) dan engkau lihat manusia berduyun-duyun masuk agama Allah swt. maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia suka menerima taubat”. (an-Nasr: 1-4)
Ibadah Hanya Untuk Allah
Pada hakikatnya pengabdian terhadap Allah swt. merupakan suatu
kebebasan yang hakiki, jalan bagi mencapai kepada ketuannan yang sejati,
kerana Allahlah yang boleh membebaskan hati nurani manusia dari
perhambaan kepada sebarang makhluk dan memerdekakannya dari perhambaan
dan kehinaan serta tunduk kepada yang lain dari Allah seperti tunduk
kepada Tuhan-Tuhan palsu, berhala, manusia yang selalunya memperhamba
dan mengongkong keyakinan manusia dengan sekuat-kuatnya miskipun pada
lahirnya mereka bertindak seperti tuan yang bebas dan merdeka. Perhambaan diri kepada Allah itu membebaskan manusia daripada
perhambaan sesama makhluk kerana dalam hati manusia ada keperluan sejati
kepada Allah, kepada Tuhan yang disembah yang mana dia bergantung
kepadanya dan berusaha serta bekerja untuk mencapai keredaan-Nya. Jika
yang disembah itu bukan Allah Yang Maha Esa tentulah manusia akan
meraba-raba meyembah bermacam-macam Tuhan dari setiap objek benda dan
khayalan yang ada dalam pemikiran dan yang berada di sekeliling mereka. Tidak ada sesuatu pekerjaan yang paling mulia bagi manusia yang
berakal selain dari beribadah menyembah Allah yang menciptanya dan
menjadikan dirinya dengan sebaik-baiknya dan perkerjaan yang
seburuk-buruknya kepada seorang manusia itu pula ialah menafi dan
mendustakan Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka menyembah dan
mengabdikan diri mereka kepada Tuhan yang lain dari Allah swt. Seorang hamba abdi yang taat kepada tuannya tentulah akan merasa
senang dan gembira kerana ia tahu apa yang disukai oleh tuannya lalu
disempurnakannya suruhan itu dengan segala senang hati dan disempurnakan
dengan sebaik-baiknya. Manakala seorang hamba yang dimiliki oleh
beberapa orang tuan selalu bertelingkah antara sesama mereka; yang satu
menyuruh hamba itu melakukan sesuatu yang ditegah oleh yang lain, maka
alangkah susah dan deritanya hamba tersebu itu untuk melakukan
perintah-perintah Tuhan yang saling bertentangan perintahnya antara satu
Tuhan dengan Tuhan yang lain. Kalau orang yang menyembah selain dari Allah menjadi musyrik (kafir
di- sebabkan ia melakukan perbuatan syirik), maka begitulah juga orang
yang takabur menjadi musyrik (orang syirik), sebagaimana Firaun kerana
kesombongan dan takaburnya, sebagaimana firman Allah swt. bermaksudnya:
“Nabi Musa as. berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada Tuhanku dan Tuhan kamu daripada perbuatan orang yang takabur yang tidak percaya hari Perhitungan”, demikianlah Allah meterikan setiap hati orang yang takabur lagi bermaharajalela”. (al-A’raf: 27)
Kajian menunjukan bahawa semakin besar keangkuhan seseorang yang
enggan tunduk dan patuh beribadah (mengabdi diri) kepada Allah, semakin
besar kesyirikannya dengan Allah, Kerana menurut kebiasaannya semakin
banyak takabur tidak mahu menyembah Allah semakin bertambahlah
pergantungan manusia itu terhadap makhluk yang dicintainya yang menjadi
pujaan utama bagi hatinya; yang demikian mereka akan menjadi musyrik
dengan sebab menjadikan dirinya hamba (menyembah) kepada selain dari
Allah swt. Hati atau keyakinan manusia tidak akan terlepas dari perhambaan
kepada makhluk kecuali mereka menjadikan Allah sebagai Tuhannya yang
sebenar dan sejati, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, tiada
tempat bergantung dan meminta pertolongan melainkan dari-Nya, Tidak
merasa gembira melainkan dengan apa yang disukai dan diredai-Nya, Tidak
ia benci melainkan apa yang dibenci oleh Allah, tidak ia memusuhi
kecuali orang yang Allah memusuhinya, tidak ia kasih melainkan kepada
orang yang di kasihi oleh Allah, tidak ia memberi kecuali kerana Allah
dan tidak ia melarang kecuali kerana Allah. Semakin tulus keikhlasan seseorang itu kepada Allah maka semakin
sempurnalah ubudiyahnya (perhambaanya) kepada Allah dan terlepas dari
pergantungannya kepada sesama makhluk, dengan sempurna ubudiyahnya
kepada Allah maka sempurnalah kesuciannya dari sifat syirik.
Tidak Harus Kepentingan Dunia Dijadikan Tujuan Ibadah
Samasekali tidak sesuai dengan tujuan Islam yang suci di mana tujuan atau kepentingan dunia menjadi matlamat dalam amalan atau ibadah seseorang, ataupun kepentingan dunia atau faedah-faedah dunia menjadi pendorong seseorang untuk melakukan printah ibadah kepada Allah swt. Begitu juga kalau tujuan beramal dan beribadah kepada Allah swt. untuk mendapatkan kesucian jiwa dan dengan itu dapat mengembara ke alam arwah dan dapat melihat malaikat serta dapat melakukan sesuatu yang luar biasa, mendapat keramat (kemuliaan) dan ilmu ladunni. Semuanya ini disangkal oleh para ulamak dengan katanya: “Yang demikian adalah terkeluar daripada jalan ibadah, Ia merupakan ramalan kepada ilmu atau perkara ghaib, malah akan menjadi ibadah kepada Allah itu sebagai jalan menuju ke arah demikian yang mana pada akhirnya lebih hampir kepada meninggal ibadah.”Orang-orang yang beribadah dengan maksud yang demikian termasuk di bawah pengertian ayat al-Quran yang maksudnya:
Samasekali tidak sesuai dengan tujuan Islam yang suci di mana tujuan atau kepentingan dunia menjadi matlamat dalam amalan atau ibadah seseorang, ataupun kepentingan dunia atau faedah-faedah dunia menjadi pendorong seseorang untuk melakukan printah ibadah kepada Allah swt. Begitu juga kalau tujuan beramal dan beribadah kepada Allah swt. untuk mendapatkan kesucian jiwa dan dengan itu dapat mengembara ke alam arwah dan dapat melihat malaikat serta dapat melakukan sesuatu yang luar biasa, mendapat keramat (kemuliaan) dan ilmu ladunni. Semuanya ini disangkal oleh para ulamak dengan katanya: “Yang demikian adalah terkeluar daripada jalan ibadah, Ia merupakan ramalan kepada ilmu atau perkara ghaib, malah akan menjadi ibadah kepada Allah itu sebagai jalan menuju ke arah demikian yang mana pada akhirnya lebih hampir kepada meninggal ibadah.”Orang-orang yang beribadah dengan maksud yang demikian termasuk di bawah pengertian ayat al-Quran yang maksudnya:
“Sebahagian daripada manusia yang menyembah Allah secara tidak tetap, bila mendapat kebaikan dia teruskan dan bila terkena kesusahan dia berpaling tadah. Rugilah dia di dunia dan di akhirat. Itulah kerugian yang amat nyata”. (al-Hajj: 11)
Begitulah keadaan orang yang beribadah dengan tujuan mendapatkan
faedah-faedah dunyawi jika sampai dan berhasil tujuan dan kehendaknya
bergembiralah dia dan kuatlah tujuannya tetapi lemahlah ibadahnya jika
tujuannya tidak berhasil dia meninggalkan ibadah itu.
Kesimpulan
Sebagaimana yang telah kita faham sebelum ini runglingkup ibadah itu
adalah terlalu luas sebagaimana yang telah dijelaskan iaitu ibadah
merupakan semua kegiatan hidup manusia itu sendiri yang sesuai dengan
syariat Islam yang suci dan murni itu, oleh itu bolehlah difaham ibadah
dalam Islam bermula sejak dari adab-adab masuk ketandas mengerjakan
qadha’ hajat hinggalah sampai kepada bagaimana cara mengurus kewangan
dan mentadbir negara. Kegiatan hidup manusia ini akan termasuk ke dalam makna ibadah yang
diberi ganjaran dan pembalasan pahala baik di akhirat apabila ia
menepati dengan kehendak syarak, tidak menyeleweng dari kehendak dan
ketentuan Allah swt. dikerjakan mengikut peraturan dan syarat-syaratnya,
disertai pula dengan niat yang betul dan ikhlas semata-mata dilakukan
kerana mencari keredaan Allah swt. tidak kerana yang lain dari-Nya,
menghindarkan diri dari perasaan riak, (menunjuk-nunjuk), ingin dipuji
dan terkenal sebagai orang yang rajin, tekun, orang baik dan ingin
disebut-sebut sebagai ahli ibadah oleh orang ramai dan juga suka
berbangga dengan memberi tahu kepada orang lain akan amal kebajikannya.
Ia juga hendaklah menghindarkan diri dari merasa bangga kerana ia telah
banyak berbuat kebajikan dan berbuat amal ibadah.
Oleh itu ibadah dalam Islam bukanlah terhad kepada amalan-amalan
ibadah yang ritual semata-mata seperti sembahyang, zikir, puasa, haji
dan sebagainya yang disebut sebagai ibadah khusus, tetapi ibadah
merangkumi, kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial, mencari rezki,
sahinggalah kepada mengurus dan mentadbir negara; semuanya itu akan
menjadi ibadah sekiranya ia dilakukan menurut cara dan kehendak Islam
serta niat dari hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah swt.
Wallahu a’lam.
0 komentar:
Posting Komentar