23 Kesilapan Yang Selalu Dilakukan Di Bulan Ramadhan
Terdapat sekurang-kurangnya 23 kesilapan 
yang selalu dilakukan di sepanjang bulan Ramadhan. Sedarkah antum bahawa
 terdapat banyak kesilapan yang mungkin tidak disedari, terlepas pandang
 atau mungkin telah diketahui di sepanjang bulan Ramadhan ini. Antara 
kesilapannya ialah:
 .
1) Memasuki Ramadhan Dengan Hati Kotor
Memasuki bulan Ramadhan, bergelumang 
dengan maksiat dan keadaan hati yang penuh kotor, hasad dengki dan 
bermusuhan. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat besar kepada 
kualiti ibadah Ramadhan kerana status orang yang terlibat dengan 
kemungkaran adalah seolah-olah berperang dengan Allah سبحانه وتعالى dan 
RasulNya..
Dari Abu Darda’ Radliyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah murka kepada orang yang berperangai jahat dan berkata keji.” dan dari Ibnu Mas’ud Radliyallaahu ‘anhu pula, Rasulullah ﷺ bersabda, “Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).
.
.
2) Tidak Membersihkan Harta
Memasuki Ramadhan dengan harta yang tidak bersih seperti menyimpan barangan curi, megekalkan harta riba dan tidak mengeluarkan zakat pendapatan dan harta serta tidak pula berazam untuk mensucikannya.
Firman Allah سبحانه وتعالى: “Ambillah
 sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), dengan itu 
kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada
 segala akhlak yang buruk)…”  (Surah at-Taubah, Ayat 103)
Rasulullah ﷺ bersabda : “Islam
 diasaskan atas lima perkara, kesaksian bahawa tiada tuhan selain 
daripada Allah dan Muhammad Pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan fardu haji dan berpuasa pada Ramadhan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Firman Allah سبحانه وتعالى:
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan dirinya.” (Surah Al-Syams: Ayat 9).
.
.
3) Tidur Berlebihan 
Banyak tidur terutama di siang hari dengan alasan, ‘daripada melakukan maksiat lebih baik tidur saja’
 atau konon ianya adalah satu ibadah. Imam As-Suyuti menegasakan bahawa 
hadis yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadah adalah 
amat lemah. Sedangkan Rasulullah ﷺ mengurangkan waktu tidurnya yang 
memang sangat sedikit itu untuk memperbanyak ibadah.
Khalifah Umar bin Khattab pernah mengingatkan  “Sekiranya
 kamu tidur (banyak) siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat 
(masyarakat); jika kamu tidur (banyak) malam, kamu melalaikan hak 
Allah.” Oleh kerana itu haruslah mengimbangi dan menggunakan waktu tidur siang yang hanya seketika (Qailullah) bukan sepanjang hari.
.
.
وَإِذَا 
سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ 
إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لِى وَلْيُؤْمِنُوا۟ بِى لَعَلَّهُمْ 
يَرْشُدُونَ
“Dan 
apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, maka (jawablah), 
bahwasanya Daku adalah dekat. Daku mengabulkan permohonan orang yang 
berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi 
(segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka
 selalu berada dalam kebenaran.” (Surah Al-Baqarah; Ayat 186)
Ramai umat Islam kerap mengabaikan dan tidak memperbanyakkan selawat, istighfar dan doa ketika berpuasa. Rasulullah ﷺ telah bersabda : “Tiga
 golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu 
berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
.
5) Bebas Makan Minum
Ramai yang makan dan minum
 secara terang-terangan di hadapan orang lain tanpa menjaga adab sebagai
 orang yang tidak puasa. Atau makan dan minum tanpa rasa malu selepas 
sengaja batalkan puasa seperti mengeluarkan mani, merokok, makan dan minum tanpa uzur yang dibenarkan Islam. Hakikatnya mereka ini dikenakan denda
 dengan dilarang melakukan segala perkara yang membatalkan puasa 
termasuk makan dan minum di sepanjang hari itu.
Sabda Rasulullah ﷺ: “Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki harinya itu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
.
.
6)  Berbelanja Berbuka Secara Berlebihan
Ramai yang menjadikan bulan puasa sebagai pesta makanan
 dengan membeli pelbagai jenis makanan sehingga penuh meja atau 
berbelanja mewah dengan berbuka di restoran-restoran ekslusif dan 
hotel-hotel sehingga mencecah ratusan ringgit. Lebih malang jika mereka 
tidak mengambil berat kehalalan makanan tersebut. Kebiasaan inilah yang 
melanda kebanyakan umat Islam yang tidak kunjung padam ketika menghadapi
 puasa Ramadhan.
Sewajarnya setiap mukmin bermujahadah dan
 belajar berbuka secara amat sederhana dan lebihan wang tersebut boleh 
menjamu orang lain dan disedekahkan kepada fakir miskin. “Allah
 akan mengurniakan balasan kepada orang yang memberi walaupun sebiji 
tamar kepada orang yang berpuasa atau seteguk air atau sehirup susu 
untuk dia berbuka puasa.”
.
.
7) Hanya Membaca Doa Berbuka 
Sewaktu iftar hanya membaca doa berbuka sahaja tanpa penambahan doa-doa yang lain. Ini satu lagi jenis kerugian
 yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Sedangkan doa menjadi bertambah 
maqbul tatkala ingin berbuka sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka), adalah waktu doa yang tidak akan ditolak.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
.
.
8)  Makan Berlebihan Ketika Sahur Dan Iftar 
Walaupun telah melakukan berpuluh-puluh kali puasa, kebiasaan berbukapuasa secara berlebihan dan menjadikannya sebagai acara ‘balas dendam’ atau ‘lepas geram’
 tetap sukar diubah. Adalah suatu yang amat dikesali dan merugikan, 
setelah dapat menahan lapar dan dahaga selama lebih kurang 14 jam hikmah
 berpuasa sebenarnya tidak dapat dihayati.
Ikutlah sunnah Rasulullah ﷺ, hanya 
berbuka dengan 3 butir kurma dan segelas air dan boleh ditambah dengan 
makanan lain setelah mendahulukan solat Maghrib. “Rasulullah
 SAW berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya 
tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, Baginda meminum beberapa teguk 
air.” (Riwayat Abu Daud, Ahmad & Al-Tirmidzi)
Cara inilah yang sepatutnya diamalkan 
supaya tidak berlaku kejutan pada organ perut dan seterusnya akan 
terpelihara kesihatan yang berpanjangan.
.
.
9) Makan Sahur Sebelum Tidur
Ramai yang makan sahur sebelum tidur kerana malas untuk bangun di akhir malam. ‘Sahur’ dari sudut bahasanya ialah ‘Aslah’ (waktu terakhir di hujung malam) dan para Ulama juga menyebut waktu afdalnya adalah 1/6 terakhir malam. Manakala Imam Ibnu Hajar menegaskan, “Melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Rasulullah ﷺ.” (Fathul-Bari,4/138)
.
.
10) Bersahur Sahaja Tanpa Melakukan Ibadah
Adalah suatu kesilapan besar melepaskan 
bersahur sahaja tanpa melakukan ibadah yang lain kerana pada waktu sahur
 dan 10 malam terakhir Ramadan inilah di antara waktu terbaik untuk 
beribadah, beristighfar dan menunaikan solat malam serta salah satu 
waktu dimana doa mudah untuk diangkat oleh Allah سبحانه وتعالى.
Firman Allah سبحانه وتعالى ketika memuji orang mukmin:
وَبِٱلْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
“..dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar.”
(Surah Az-Zariyyat : Ayat 18)
.
.
11) Salah Anggap Waktu Imsak Sebagai Penamat Sahur
Menganggap waktu imsak sebagai ‘Lampu Merah’ bagi sahur. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘Amaran Lampu Oren’
 yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu 
sahur sudah hampir tamat. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat 
bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. 
Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus 
masuk ‘Fajar Sadiq’ (Subuh).
.
.
12) Tidak Menunaikan Solat Fardhu Ketika Berpuasa
Diakui atau tidak, inilah penyakit dan 
suatu kesilapan yang amat besar yang diderita umat Islam kini. Walaupun 
solat bukanlah syarat sah untuk seseorang berpuasa tetapi ia adalah 
rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman seseorang.
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya
 amal yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat 
mengenainya, ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya 
beruntung dan berjayalah ia. Dan jika solatnya tidak diterima, maka 
kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang daripada solat fardunya 
sesuatu, Allah berfirman: “Periksalah, adakah hambaKu itu 
mempunyai solat sunat untuk menampungkan solat fardhunya?”Demikianlah 
keadaan amalnya yang lain.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi r.a.)
.
.
13) Bermalasan Dan Tidak Aktif
Puasa di bulan Ramadhan kerap dijadikan 
alasan untuk berehat dan malas melakukan aktiviti dan kerja-kerja di 
siang hari sehingga membawa kesan tidak produktif. Sedangkan, kerja yang
 dilakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi 
pahala dan sewajarnya umat Islam kini mempertingkatkan produktiviti 
mereka dan bukan mengurangkannya. Hakikatnya puasa membuat kita mudah 
berfikir, mempunyai daya tahan diri yang kuat dan mendidik kita untuk 
mampu hidup.
Sejarah mencatat bahawa banyak kemenangan besar dalam ‘Futuhaat’ (pembebasan wilayah melalui peperangan) yang diharungi oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat, berlaku di tengah bulan Ramadhan.
.
.
14) Mengabaikan Solat Subuh Berjemaah
Tidak sebagaimana semangat bertarawih, 
ramai umat Islam yang terlupa dan mengabaikan kelebihan besar pada semua
 solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya  Sholat subuh berjamaah yang disebut oleh Rasulullah ﷺ: “Bagi orang yang mendirikan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.”
Rasulullah ﷺ bersabda, ”Solat
 lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan, adalah penghapus 
dosa-dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika dijauhi dosa-dosa 
besar.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
.
.
15)  Meninggalkan Solat Tarawih
Walaupun Solat Tarawih
 adalah suatu sunnah tetapi apabila dikaji secara lebih mendalam, 
nescaya kita akan dapati bahawa berpuasa Ramadhan tanpa Solat Tarawih 
atau meninggalkan solat ini tanpa sebarang keuzuran dan halangan adalah 
suatu kerugian dan amat sayang untuk ditinggalkan, disebabkan amalan 
sunnah di bulan ini ganjarannya sama dengan pahala amalan wajib.
.
.
16)  Terpesong Niat Bertarawih 
Menunaikan Solat Tarawih di masjid dengan niat sekadar inginkan meriah. Malangnya mereka kerana 
setiap amalan adalah dikira berdasarkan niat, jika niat utama seseorang 
hadir ke masjid adalah untuk meriah, dan bukannya atas dasar keimanan 
dan mengharapkan ganjaran redha Allah سبحانه وتعالى sebagaimana yang 
ditetapkan oleh Rasulullah ﷺ di dalam hadis: “Sesungguhnya amalan itu adalah dikira dengan niat.” (Riwayat Bukhari)
.
.
Dalam bulan Ramadhan ini umat Islam 
digalak melakukan ibadah yang mana segala ibadah sunat akan digandakan 
ganjaran pahalanya menjadi ibadah wajib. Maka bagi meraih pahala 
berjemaah adalah suatu yang amat merugikan jika tidak ikut serta imam 
menunaikan Solat  Witir  selepas tarawih di surau atau masjid. Jika antum berkemampuan untuk bangun beribadah dan bersahur bolehlah melakukan Solat  Witir 2 rakaat lagi
 sebagai penutup di akhir malam. Solat ini hendaklah diniatkan sebagai 
sebahagian daripada Solat Witir tadi yang mana jumlahnya menjadi 5 
rakaat dan tidaklah ia dikira sebagai dua solat.
.
.
18)  Tidak Berniat Iktikaf
Ramai yang mengabaikan berniat Iktikaf
 ketika bertarawih di masjid, surau atau mushalla. Iktikaf bermaksud 
berhenti dalam masjid pada suatu masa yang tertentu untuk mengerjakan 
amal ibadah sunat yang dituntut oleh Allah سبحانه وتعالى. Selama kita 
beriktikaf dan menanti ke solat seterusnya, ia dikira sebagai suatu 
ibadat dan didoakan oleh para malaikat. 
Hukum beriktikaf adalah sunat muakkad, 
terutama pada 10 terakhir Ramadhan. Ibadah iktikaf adalah tidak sah 
melainkan dengan niat.
.
19)  Masih Tidak Merasa Malu Membuka Aurat
Malangnya telah ada yang berani menentang
 hukum dan jabatan agama bagi membuka aurat. Sudah jelas diperintahkan 
untuk umat Islam menutup aurat mereka, khusus kaum perempuan. Seharusnya
 semua kembali kepada ketetapan dan kerendahan hati dalam bulan Ramadhan
 al-mubarak ini bagi melaksanakan tanggungjawab yang sebenarnya.
يَٰٓأَيُّهَا
 ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلْمُؤْمِنِينَ 
يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَن 
يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا
“Wahai 
Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan 
isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke 
seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk 
dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha 
Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahzab: Ayat 59)
.
.
20) Wanita Ke Masjid Tanpa Menjaga Aurat 
Walaupun ramai wanita siap bertelekung berterawih
 ke masjid, malangnya aurat dan kaki mereka kerap terdedah dan 
didedahkan ketika berjalan dan naik tangga masjid. Lebih buruk, jika 
mereka masih menggunakan telekng lama atau nipis tanpa disedari telah 
memdedahkan tubuh di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka
 solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki
 ketika di masjid.
.
.
21) Berpuasa Tapi Melakukan Maksiat
“Yang penting kan puasa!” 
Nampaknya ayat ini perlu difahami dengan lebih jelas kerana, seolah-olah
 terhad untuk ibadah lain dan menjadikan ibadah wajib yang lain 
dipinggirkan. Inilah yang menyebabkan ramai melakukan maksiat di bulan 
Ramadhan. Syaitan memang terbelenggu, tapi syaitan dalam hati yang harus
 kita belenggu. Maka dari itu perlu diingat bahawa yang paling penting 
adalah menjaga hawa nafsu dalam diri kita. Masa yang penuh ujian selama 
sebulan inilah akan mendidik, menahan pandangan liar dan menahan lisan 
yang tidak kurang terlepas dari kawalan.
.
.
22) Tidak Mengeluarkan Zakat Fitrah
Ramai yang berada dalam bulan Ramadhan, tidak membersihkan diri dengan mengeluarkan Zakat fitrah.
 Zakat ini diwajibkan ke atas insan yang merasai hidup pada 
sekurang-kurangnya sehari Ramadhan atau sehingga selepas terbit awal 
fajar 1 Syawal.  Zakat fitrah bertujuan menyucikan setiap individu Islam supaya dirinya bersih seperti baru dilahirkan. 
Kadar Zakat fitrah tiap seorang hanyalah kira-kira 2 sen sehari iaitu cuma RM 7 atau 2.67 kg makanan asasi. Ramai yang sanggup berbelanja kepada perkara remeh dan sia-sia seperti ‘top up’ telefon, kerosang dan rokok tetapi sangat kedekut bayaran fitrah sekali setahun itu.
Daripada Jabir, Rasulullah ﷺ bersabda: “Puasa Ramadhan tergantung antara langit dan bumi (tidak diangkat) melainkan selepas mengeluarkan Zakat fitrah.”
.
.
23)  Sibuk Memikirkan Persiapan Hari Raya
Ramadhan belum sampai ke penghujung dan Aidil Fitri masih jauh lagi tetapi kebanyakan umat Islam sibuk melakukan persiapan Aidil Fitri
 dengan menghias rumah, membuat kuih-muih dan pakaian serta 
membeli-belah. Bahkan tidak kurang mempertaruhkan keimanannya dengan 
tidak puasa kerana aktivitinya.  Walaupun Hari Raya Aidil Fitri
 adalah hari kemenangan seluruh umat Islam selepas sebulan menahan 
belenggu nafsu pada dirinya, ia perlu dirayakan tetapi tidaklah secara 
berlebihan.
Penutup
Ini adalah antara beberapa kesalahan atau
 keterlanjuran yang biasa dilakukan umat Islam ketika menjalani ibadat 
puasa yang boleh merendahkan martabat Ramadhan.
Oleh itu, kita perlu menghindarkannya demi menjamin pahala berganda pada bulan ini berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ: “Sesiapa berpuasa pada Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan dosa lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Ganjaran amat besar bagi orang yang 
berpuasa dengan penuh keinsafan, ketakwaan dan ikhlas bagi mendapatkan 
keredaan Allah سبحانه وتعالى.
“Inilah bulan yang Allah fardukan puasa pada siang hari dan menjadikan solat Tarawih
 sebagai sunnah pada malam hari. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada 
Allah سبحانه وتعالى (taqarrub) melalui amalan baik pada bulan itu, akan 
dibalas kepadanya ganjaran seolah-olah dia melakukan amalan fardhu pada 
bulan lain.” 
Selain, diberikan balasan pahala berlipat ganda, Allah سبحانه وتعالى turut menjanjikan balasan syurga untuk mereka.
Rasulullah ﷺ bersabda, ”Sesiapa sempat bertemu bulan Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauhlah dia dengan Allah.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)
Semoga Ramadhan antum tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya!
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar) 
.
.
Wallahu A’lam Bish Shawab
 13.13
13.13
 





 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 komentar:
Posting Komentar