Senin, 15 Juni 2015

Pintu Istimewa Orang Berpuasa

AR RAYYAN  Pintu Istimewa Untuk Orang Berpuasa

Dalam sebuah hadis, Rasulullah ﷺ menerangkan Keutamaan puasa dan kedudukan orang-orang yang berpuasa di sisi Allah سبحانه وتعالى. Atas keikhlasan dan kesabaran dalam menjalankan puasa, menahan lapar, dahaga, dan mengawal hawa nafsu, Allah سبحانه وتعالى memberi keistimewaan kepada mereka dengan memasukkan mereka ke dalam syurga melalui pintu khusus yang bernama ‘Ar-Rayyan’.


Sabda Rasulullah ﷺ, “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan pintu ‘Ar-Rayyan’ yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Ditanya (oleh pintu tersebut): “Di manakah orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka pun masuk dari pintu tersebut. Setelah semua orang yang berpuasa memasukinya, pintu itu pun ditutup dan tak ada lagi yang masuk melaluinya.” (Hadis Riwayat Muslim, dari Sahl Ibn Sa’ad).

Ar-Rayyan ini berasal dari perkataan “al-ray” yang bererti pengairan, menyegarkan dan pemandangan indah. Nama ini sesuai dengan keadaan orang-orang berpuasa terutama di bulan Ramadhan yang menahan diri dari makan, minum dan hawa nafsu. Rasa dahagalah yang lebih dirasakan oleh orang yang berpuasa berbanding lapar.
 .
Zain Ibnu al-Munir berkata: “Rasulullah mengatakan pintu ar-Rayyan ada ‘di dalam syurga’ bukan mengatakan ‘bagi syurga / pintu syurga’. Sehinggakan orang-orang yang melalui pintu ini akan merasa kenikmatan dan keselesaan syurgawi (kenikmatan di dalam kenikmatan). Sehingga akan menambah keinginan dan kerinduan kepadanya,” (Hadis Riwayat al-Nasa’I dan Ibnu Khuzaimah dari Sa’id Ibn ‘Abdurrahman, dan lainnya).
.
Dalam riwayat ini terdapat tambahan, “Sesiapa yang memasukinya (memasuki pintu ar-Rayyan), maka akan meminum darinya. Dan sesiapa meminum darinya, maka tidak akan dahaga selamanya.”

Ini merupakan penghormatan dari Allah سبحانه وتعالى, yang Maha Memelihara Alam pada orang yang berpuasa. Sekaligus merupakan balasan bagi mereka atas keikhlasan menjalankan ibadah. Allah سبحانه وتعالى juga akan menanggung pahala orang-orang yang berpuasa.
 .
Allah سبحانه وتعالى berfirman: Puasa untuk-Ku, dan Dakulah yang akan membalasnya.” Pahala dan balasan Allah سبحانه وتعالى bagi orang-orang yang berpuasa adalah penuh, besar, dan tiada terhitung. Sedangkan kemasukan orang-orang yang berpuasa melalui pintu al-Rayyan ini merupakan tambahan pahala dan penghormatan semata.
.
.
Banyak Pintu Syurga

Syurga memang mempunyai banyak pintu, di antaranya pintu bagi orang-orang yang taat menjalankan solat, pintu bagi orang-orang yang berjihad, pintu bagi orang-orang yang ikhlas berpuasa iaitu Ar-Rayyan, ada juga pintu khusus bagi orang-orang yang suka bersedekah.
 .
Dari Abi Hurairah r.a., Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa memberi nafkah isterinya di jalan Allah سبحانه وتعالى, maka akan dipanggil dari pintu syurga, “Wahai Hamba Allah! Ini adalah pintu kebaikan.” Sesiapa termasuk ahli solat, maka akan dipanggil dari pintu ‘al-Solah’. Sesiapa termasuk ahli jihad, akan dipanggil dari pintu ‘al-Jihad’. Sesiapa termasuk ahli puasa, akan dipanggil dari pintu ‘ar-Rayyan’. Dan sesiapa termasuk ahli sedekah, akan dipanggil dari pintu ‘al-Shadaqah’. Abu Bakar lalu berkata, “Demi engkau dan ibuku (ummul mukminin), ya, Rasulullah! Apakah seseorang harus dipanggil dari pintu-pintu itu, dan adakah seseorang yang dipanggil dari pintu-pintu itu seluruhnya?” Rasulullah ﷺ  menjawab, “Ya. Dan aku berharap semoga engkau termasuk dari mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
(Petikan dari ‘al-Shiyam fi’l-Islam’, karya Dr Ahmad Umar Hasyim).



Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


by Shafi-Q

0 komentar:

Posting Komentar

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Press Release Distribution