Bahaya Pemimpin Gila Dunia
الحَمْدُ
للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ
لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا
عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ
بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai
hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan
sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan
Islam.
Saya
menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita
sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan
melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Renungilah firman Allah dalam ayat 166 dan167 surah al-Baqarah :
إذ
تبرأ الذين اتبعوا من الذين اتبعوا ورأو العذاب وتقطعت بهم الأسباب وقال
الذين اتبعوا لو أن لنا كرة فنتبرأ منهم كما تبرءوا منا كذلك يريهم الله
أعمــلهم حسرت عليهم وماهم بخـــرجين من النار
Maksudnya
: Ketika orang-orang yang diikuti (pemimpin) itu berlepas diri
daripada mereka yang mengikutinya dan mereka melihat siksa dan (ketika)
segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah para
pengikut : ” Sekiranya kami dapat kembali (ke dunia) sudah pasti kami
akan berlepas diri daripada mereka (pemimpin) sebagaimana mereka
(pemimpin) berlepas diri daripada kami”. Demikianlah Allah
memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka yang menjadi
kesesalan bagi mereka dan mereka tidak sekali-kali akan dikeluarkan
daripada api neraka.
Inilah
gambaran yang dinyatakan oleh Allah kepada kita semua mengenai keadaan
pemimpin dan para pengikut mereka di hari akhirat nanti. Para pemimpin
akan melarikan diri daripada tanggungjawab yang pernah dipikul di
dunia apabila melihat melihat siksa neraka yang bakal diterima akibat
daripada kecuaian dan kelalaian mereka yang mengajak pengikut mereka di
dunia ini ke arah kesesatan dengan mengamalkan sistem ciptaan manusia
dalam pemerintahan yang menyebabkan pemimpin itu sendiri dan para
pengikut mereka makin hari semakin jauh daripada Allah dan ajaran Islam.
Itulah dia pemimpin dunia yang menganggap bahawa pemerintahan yang
dijalankan tidak terlibat langsung dengan agama sehingga mereka tidak
melaksanakan Islam dalam perundangan, ekonomi, kebudayaan, sosial dan
lain-lain. Para pengikut yang mengikut pemimpin yang sesat dan
menyesatkan mereka pula merasa sesal dengan apa yang berlaku kerana
pemimpin itu bukan sahaja tidak mampu mermbantu mereka untuk melepaskan
diri daripada siksaan Allah malah pemimpin mereka itu tidak mengaku
bahawa mereka semua adalah pengikutnya di dunia dulu. Sesalan mereka
hanya sia-sia kerana pemimpin itu dan juga pengikut yang sesat itu
tidak akan dikembalikan semula ke dunia malah akan disiksa dalam neraka
Allah.
Kita
semua yang yakin dengan janji dan peringatan Allah dan rasulNya
mestilah memilih pemimpin yang memimpin urusan negara daripada kalangan
ulama’ akhirat yang mana mereka sentiasa taat kepada Allah dan rasulNya
serta berusaha sedaya upaya yang termampu untuk membawa kita kepada
ajaran Islam yang sebenar bukannya Islam palsu dan juga mereka ini
berusaha menyelamatkan kita agar tidak terjerumus ke lembah kesyirikan
dan kesesatan iaitu dengan mengamalkan sistem yang telah ditetapkan oleh
Allah dalam setiap aspek kehidupan bukannya setakat pada ibadat khusus
sahaja. Pemimpin daripada kalangan ulama’ akhirat ini sentiasa takut
kepada Allah dan memang tersemat di hati mereka bagaimana kepimpinan
ini merupakan suatu amanah yang akan dipetrtanggungjawabkan oleh Allah
di akhirat nanti bukannya ia sebagai suatu tempat untuk mengaut
kemewahan dan pengaruh.
Oleh
itu sebagai rakyat mestilah sentiasa peka dan mengambil berat mengenai
siapa yang memerintah kita kerana ia merupakan amanah kepada kita agar
amanah kepimpinan ini tidak diberi kepada mereka oleh mereka yang
tidak layak dan jahil tentang hukum agama. Ingatlah kita kepada hadis
yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dalam sohihnya yang bermaksud :
Maka apabila telah dirosakkan amanah maka tunggulah qiamat. Dia bertanya
lagi : Bagaimanakah mengkhianati amanah itu? Sabda baginda : Apabila
diserahkan urusan (pemerintahan) kepada yang bukan ahlinya maka
tunggulah qiamat.
Jika
kita perhati kepada kebanyakan pemimpin hari ini merupakan mereka yang
tidak layak untuk menanggung amanah malah mereka ini bertujuan untuk
menjadi pemimpin bukan untuk melaksanakan Islam kerana mereka sendiri
jahil tentang Islam dan suka menghina keadilan Islam dan juga
merendah-rendahkan para ulama’ akhirat. Mereka ini diberi amanah oleh
mereka yang masih jahil dengan Islam dan juga mereka yang terpesona
dengan janji keduniaan serta mereka yang terhutang budi apabila melihat
taburan wang yang melimpah di depan mereka sedangkan mereka tidak sedar
mereka sendiri akan dikhianati oleh pemimpin yang mereka serahkan amanah
itu apabila dia berjaya berada di tampuk pemerintahan dan Islam pula
akan dipenjarakan.Kita dapat lihat hari ini ramai pemimpin yang
melaung-laungkan bagaimana mereka mahu laksanakan Islam secara
ansur-ansur sedangkan asas ke arah pelaksaaan Islam itu sendiri
sudahpun menyeleweng iaitu dengan menjadikan sistem sekuler yang
diwarisi daripada penjajah sebagai asas ke arah pelaksanaan Islam
sedangkan sistem tersebut yang memisahkan antara agama dan pemerintahan
merupakan sistem yang bercanggah dengan Islam. Di sini dibawakan misal
mudah iaitu jika seseorang itu ingin makan buah durian maka dia mesti
menanam benih durian bukannya benih rambutan atau sebagainya. Barulah
dia dapat merasa untuk makan buah durian hasil tanamannya itu. Begitulah
juga dengan pelaksanaan Islam yang mesti dimulakan dengan asas Islam
bukan selainnya.
Dalam
pelaksanaan sistem sekuler yang diadunkan dengan pragmatisme iaitu
perubahan cara mengikut perubahan massa seperti mendirikan banyak masjid
atau pun menyediakan bank-bank yang turut menawarkan sistem perbankan
Islam semata-mata mengabui mata rakyat bahawa mereka juga mahu kepada
Islam sedangkan pada hakikatnya perkara ini dibuat kerana ingin
mendapatkan sokongan rakyat bukannya untuk melaksanakan Islam secara
menyeluruh. Kita tidak menafikan usaha mereka tetapi yang dipersoalkan
adakah cukup rakyat sahaja yang menghidupkan masjid sedangkan para
pemimpin berseronok di mahligai yang mewah. Adakah cukup sekadar rakyat
yang beramal dengan sistem perbankan Islam sedangkan para pemimpin terus
bergelumang dengan najis riba dan rasuah. Ingatlah kita kepada suatu
peristiwa yang penting di mana Rasulullah s.a.w meruntuhkan sebuah
masjid yang dibina oleh golongan munafik yang bernama masjid DHIRAR
kerana ia tidak dibina atas dasar taqwa sebaliknya bertujuan untuk
memecahkan kesatuan umat Islam dan juga kerana gilakan jawatan.Tidak
dapat dinafikan ramai mereka yang terpengaruh dan tertarik dengan
tindakan mereka ini yang menyebabkan Islam terus diperintah bukannya
memerintah. Mereka juga mengamalkan sistem Micahavelli iaitu( الغاية تبرر الوسيلة )yang
bererti Matlamat penghalal cara seperti sanggup memerintah agar
al-Quran ditafsirkan semula dan mempertahankan anti hadis untuk bersama
mereka di dalam mengelirukan umat Islam tentang keadaan Islam yang
sebenar di mana dengan cara ini kuasa dan kedudukan mereka terus kukuh
walau pun terpaksa menggadaikan Islam itu sendiri. Mereka menghina
hukum Islam dan menakut-nakutkan orang bukan Islam dengan mengatakan
bahawa Islam ini adalah suatu yang melampau dan boleh menggugatkan
kehidupan orang bukan Islam. Mereka tidak takut kepada Allah ketika
bercakap menghina hukum Allah, mencaci sunnah Rasulullah s.a.w,
mengfitnah para ulama’ akhirat kerana bagi mereka agama hanya ditempat
ibadat bukannya ketika memerintah. Mereka bagaikan menganggap bahawa
Islam ini seperti agama Kristian atau pun Budha yang mana ia hanya layak
berada digereja dan kuil sahaja dengan membiarkan urusan pemerintahan
kepada orang lain sedangkan Rasulullah s.a.w telah menunjukkan kepada
kita bagaimana. Islam yang sebenar iaitu pada diri Rasulullah s.a.w
sendiri terpikul pelbagai amanah yang dijalankan secara serentak iaitu
sebagai suami kepada isteri-isteri, ayah kepada anak-anak, imam dalam
solat, pendakwah dan juga sebagai ketua negara. Inilah dia ciri-ciri
kepimpinan yang mesti ada kepada setiap mereka yang kita berikan amanah
untuk memerintah dan ciri ini ada kepada para ulama’ akhirat.
Penipuan
mereka walau pun terpaksa menggadaikan Islam demi kedudukan dan pangkat
memang menjadi kebiasaan dan amalan kepada pemimpin yang jahil dan
zalim. Di dalam hati mereka bagaikan tidak tercetus kegerunan kepada
amaran Rasulullah s.a.w melalui sebuah hadis riwayat Muslim :
ما من عبد يسترعيه الله رعية يموت يوم يموت وهو غاش لرعيته إلا حرم الله عليه الجنة
Maksudnya:
Bukan daripada hamba yang mati di mana Allah meminta dia menjaga rakyat
dimana pada hari kematiannya sedangkan dia menipu rakyatnya melainkan
Allah mengharamkan ke atasnya syurga.
Kita
sebagai rakyat mestilah mengambil berat tentang masalah kepimpinan
ini di mana jika di sana adanya kezaliman dan juga kesesatan yang
dilakukan maka kita mesti hindarkan dengan menurunkan mereka daripada
tampuk pemerintahan. Ingatlah kita kepada pesanan imam al-Ghazali
sebagaimana kita fahami daripada kitabnya Ihya’ Ulumiddin di mana antara
nasihatnya ketika menghadapi pemimpin yang zalim iaitu.
Janganlah
bergaul dengan para pemimpin yang zalim malah jangan bertemu dengan
mereka dan jika boleh jangan pandang pada mereka. Berjumpa dan bergaul
dengan mereka banyak padah atau keburukannya. Sekiranya kamu terpaksa,
maka jangan sekali-kali memuji mereka kerana Allah amat murka sekiranya
orang fasik dan zalim dipuji. Sesiapa yang mendoakan agar mereka terus
kekal di tampuk pemerintah maka dia sebenarnya redha melihat Allah
diderhakai di muka bumi ini.
Jangan
menerima apa-apa pemberian daripada golongan pemimpin walau pun kamu
tahu pemberian itu adalah daripada sumber yag halal. Sikap tamakkan
pemberian mereka akan merosakkan agama. Dari situ akan timbul rasa
simpati terhadap mereka. Kamu akan mula menjaga kepentingan mereka dan
berdiam diri terhadap kezaliman yang mereka lakukan. Ini semua akan
merosakkan agama.
Oleh
dalam memastikan kezaliman dan kesesatan agar ia mampu di hindari maka
tidak dapat tidak kita semua sebagai mukmin yang sejati mestilah
bersatu ke arah ke arah meninggikan kembali Kalimah Allah di muka bumi
ini. Kita tidak boleh berdiam diri terhadap kezaliman dan kesesatan yang
berlaku di depan mata kita. Kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan
Allah nanti tentang usaha kita dalam memperjuangkan keadilan Islam
dan merobohkan kezaliman sistem yang berdasarkan sistem ciptaan
manusia. Jangan kita ingat perkara ini main-main dan boleh dipandang
sambil lewa sahaja.Ingatlah kita peringatan Rasulullah s.a.w dalam
sebuah hadis yang di riwayatkan oleh imam Muslim dalam sohihnya yang
bermaksud : Akan ada selepas daripadaku pemimpin-pemimpin yang menipu
dan melakukan kezaliman. Maka sesiapa yang membenarkan mereka dengan
penipuan yang mereka lakukan dan sesiapa yang membantu mereka di atas
kezaliman yang dilakukan maka dia bukan daripadaku (umatku) dan aku
bukan daripadanya. Dan dia tidak sama sekali akan dapat merasai HAUDH
(telaga kauthar).
بَارَكَ
اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ
بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي
وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ
اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ
وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا
فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
0 komentar:
Posting Komentar