Syurga di kaki Mertua, neraka di hati….
Hubungan kurang mesra antara menantu dan mertua seolah-olah menjadi
rempah ratus yang menyedapkan adat berkeluarga. Selagimana tidak sampai
memutuskan silaturahim, konflik-konflik kecil dianggap sebagai lumrah
hidup yang mesti dilalui dengan tenang, banyak bersabar dan tak perlu
merungut untuk hal-hal remeh-temeh yang tak penting.
Tetapi, wanita sekarang pantang dikongkong. Jangan sekali masuk
campur hal rumahtangganya walau ibu bapa mertua sendiri. Apakah hal ini
sesuai dengan ajaran agama?
Islam meletakkan ‘kuasa mengurus rumahtangga’ di tangan isteri, bukan
ibu atau ibu mertua. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan diminta
pertanggungjawaban atas kepemimpinannya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan
Muslim)
Akan tetapi, tidaklah dia boleh berbuat sesuka hati hingga memutuskan
hubungan silaturahim. Ramai yang menyangka kewajipan terhadap mertua
tidak sama dengan kewajipan terhadap ibu bapa sendiri. Pandangan
sebegini nyata tidak tepat. Hakikatnya kedudukan ibu bapa kandung dengan
ibu bapa mertua adalah sama di sisi Islam. Hal ini ditegaskan dalam
hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Antara dosa-dosa besar adalah
seorang anak yang menghina kedua orang tuanya.” Para sahabat bertanya:
Apakah ada orang yang mencela ibu bapanya sendiri? Baginda bersabda: Ya,
apabila seseorang menghina ayah orang lain maka sama seperti dia
menghina ayahnya sendiri. Dan seseorang yang menghina ibu orang lain
sama seperti dia menghina ibunya sendiri.” (Hadis riwayat Imam
Al-Bukhari dan Muslim)
Islam meletakkan keadilan bagi semua, bukan untuk menantu saja tetapi
juga kepada mertua dan ibu bapa kandung mereka. Masing-masing mempunyai
tugas dan peranan, tidak boleh menceroboh wilayah yang bukan
wilayahnya. Ibu bapa dan mertua hanya berperanan menjadi penasihat, jika
memang tercetus konflik tanpa memihak dengan berat sebelah. Apa-apa
keputusan berada di tangan suami dan isteri tanpa campur tangan pihak
lain yang tidak sejalan dengan mereka.
Ibu bapa yang beriman, tidak akan membebankan anak-anaknya dengan
kerenah yang menguji kesabaran mereka. Jika ada seorang ibu yang suka
membakar api permusuhan, selalu bertegang leher dengan anak dan
menantunya, maka seolah-olah dia telah membuka pintu neraka untuk
mereka. Hal ini pernah terjadi kepada diri seorang sahabat Rasulullah
SAW. Dia bertanya kepada NAbi SAW: “Wahai Rasulullah, saya memiliki
hubungan kekerabatan, saya selalu berusaha menyambungkannya namun mereka
selalu memutuskannya. Saya selalu berusaha berbuat baik kepada mereka,
mereka pula membalas dengan berbuat jahat kepada saya. Saya sentiasa
santun kepada mereka, tetapi mereka tidak mempedulikan saya. Nabi SAW
bersabda: Seandainya benar apa yang kamu ucapkan itu, maka seolah-olah
kamu menyuapkan abu panas kepada mereka (mereka berdosa). Allah SWT
sentiasa berada di belakangmu, sepanjang mereka melakukan perbuatan itu
kepadamu” (Hadis riwayat Muslim)
Boleh jadi yang mau memutuskan silaturrahim itu ibu bapa atau mertua
ataupun anak menantu sendiri, terpulanglah kepada niat mereka
masing-masing. Yang penting ialah belajar bersabar dan reda menerima
satu sama lain dengan harapan mendapat pertolongan Allah SWT.
Kadang-kadang setelah bertahun-tahun pintu hati ibu bapa mertua tidak
juga terbuka kepada menantu. Atau pun sebaliknya kedegilan menantu tidak
juga berubah walaupun mertua berusaha meluruskan salah faham di antara
mereka.
Mengapa hati mereka tidak boleh bersatu? Adakah resepi yang mujarab untuk memperbaiki hubungan ini?
1. Menziarahi kerana Allah SWT.
Rasululah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ada seorang
lelaki yang mahu menziarahi saudaranya di desa lain. Maka Allah SWT
mengutus malaikat untuk mengujinya. Ketika malaikat berjumpa dengannya,
malaikat itu bertanya: Hendak ke manakah kamu? Dia menjawab: Aku akan
menziarahi saudaraku.yang berada di desa itu. Malaikat bertanya lagi:
Apakah engkau menziarahinya kerana berasa berhutang budi kepadanya? Dia
menjawab: Sesungguhnya aku tidak menziarahinya kecuali kerana cinta
kepadanya semata-mata kerana Allah SWT. Malaikat berkata: Sesungguhnya
aku adalah utusan Allah kepadamu. Dan sesungguhnya Allah SWT telah
mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu.” (Hadis riwayat Imam
Muslim)
Walaupun ada unsur-unsur penolakan yang ketara ketika menjejakkan
kaki di rumah mertua, sebaiknya menantu tetap mengikhlaskan niat kerana
mahukan keredaan Allah SWT. Walaupun cinta dan kasih sayang tidak
bersambut tetapi anda mesti yakin Allah SWT menyambut cinta orang yang
ikhlas.
2. Selesaikan konflik dengan musyawarah
Suatu hari terjadi perselisihan di antara Nabi SAW dengan Aisyah RA
sehingga Abu Bakar (bapa mertua NAbi SAW) turut campur tangan mahu
memulihkannya. Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepada Aisyah: Kamu yang
bercakap atau aku dahulu? Kemudian Aisyah berkata: Kamu yang bercakap
dan jangan kamu bercakap kecuali yang benar.! Mendengar jawapan itu, Abu
Bakar lalu menampar muka Aisyah (sehingga mulutnya berdarah) kemudian
berkata kepada Aisyah: Apakah Rasulullah SAW bercakap selain kebenaran,
wahai musuh dirinya sendiri? Kemudian Aisyah berlindung di belakang
Rasulullah. Kemudian Nabi SAW bersabda: Kami tidak memanggilmu untuk
melakukan ini atau mengharapkanmu melakukan seperti ini.” (Hadis riwayat
Imam Al-Bukhari)
Rasulullah SAW mempercayai mertuanya dan mahu berbincang untuk
menyelesaikan masalah rumahtangganya, mertuanya pula tidak mengambil
kesempatan unuk menyusahkan menantu semata-mata mahu membela anak
sendiri. Teladan yang semakin susah untuk dipraktikkan. Tetapi inilah
bentuk kasih sayang dan keindahan Islam.
0 komentar:
Posting Komentar