Siapa layak dapat kelebihan Lailatul Qadar?
UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana
kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan
malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam
al-Qadr dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa
kepada Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya bulan
ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang
amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar
ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan
malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak
akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan
(tidak mendapat petunjuk) daripada Allah”. (riwayat Ibnu Majah).
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
Sesiapa
yang beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan
mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang
lalu. (riwayat Muslim).
Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan
Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam
terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke
berapa.
Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku
pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya:
“Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27 (riwayat Ahmad).”
Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku
pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada
malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan
kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan
dan mengharapkan keredaan Allah.
Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada
sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya
hanya pada malam-malam tertentu sahaja.
Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar
ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh
berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.
Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya
usia umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu
pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih
oleh umat terdahulu yang usianya lebih panjang.
Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut
maksud satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam
al-Qadr yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan
umatnya.
Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada
Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang
menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah
lebih baik daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga
bulan.
Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya
agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal
ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji
dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.
Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga
agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak
mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid
seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir
dan seumpamanya.
Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya:
“Wahai
Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga
kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api
neraka yang pedih.”
Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan
untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan
langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan
Allah.
Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang
penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha
melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.
Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon
ampun kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia
tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan
yang dilarang Allah.
Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya:
“Setiap anak Adam
tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang
daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah
(riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”
Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala
amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana
kesalahan itu.
Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan
yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak
menyesal kemudian hari.
0 komentar:
Posting Komentar