Bila Ujian Di Turunkan ALLAH
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Memang Rasa lemah itu kadangkala menyapa diri Ujian-ujian yang datang bertimpa-timpa, kadang kala membuatkan kita rebah dan tersungkur.
Terkadang, cukup satu ujian yang menerpa. Namun, beratnya sudah cukup membuat kita hilang arah Jika kita berjaya bangun, dan kembali menyusun langkah, alhamdulillah.
Namun, kadang-kadang kejatuhan yang kita alami itu seakan-akan merenggut segala daya dan upaya kita. Tenaga yang masih bersisa hilang entah ke mana, lantaran harapan buat hari esok yang semacam tiada.
Lalu, masihkah ada sinar harapan buat kita bangkit kembali?
Bagaimana kita menyingkapinya?
Saya percaya, menyuruh orang bersabar tatkala diuji itu jauh lebih mudah, berbanding diri sendiri yang menghadapinya.
Benar.
Memang tidak dapat dinafikan. Saya pun pernah berada dalam kondisi itu.
Di kala, kata-kata motivasi yang kita sering laung-laungkan kepada
orang lain juga ada masanya seakan tidak punya kesan terhadap diri.
Keyakinan yang selama kita ini kita pegang pun mampu tergoyah kembali.
Maka di sini, kita dapat melihat kepentingan saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran, yang ditekankanNya melalui surah al-Asr.
Seringkali, kata-kata tulus mereka itu jualah yang menyembuhkan semangat diri.
Namun
bukan itu yang saya mahu sentuh di sini. Dalam konteks diri kita
sendiri, bagaimana seharusnya kita berdepan dengan ujian itu.
Bagaimanakah caranya untuk kita memotivasikan diri sendiri?
Ok. Perkara
ini kita perlu faham dengan jelas, supaya tatkala kita diuji nanti
mudah-mudahan perkongsian ini turut mampu membangkitkan kita kembali.
Mulakanlah dengan bersangka baik kepada Allah dalam apa jua perkara.
Bersangka baiklah.
Yakinlah, Dia tidak menciptakan sesuatu ujian atau bencana itu, hanya dengan sia-sia. Pasti punya hikmah di sebalik peristiwa yang menimpa.
"Diwajibkan
atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu
benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu,
dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk
bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." - [Surah
Al-Baqarah, 2: 216]
Kemudian, sertai kepositifan tadi (bersangka baik) dengan bersabar. Inallaha ma'as sobirin.Kerana sesungguhnya, Allah itu berserta dengan mereka yang sabar.
Sabar.
Dan
kelak, kesabaranmu itu pasti akan membuahkan hasil yang bermanfaat.
Agar kemudiannya kau dapat merenung kembali hikmah yang Dia susunkan
itu, sambil dirimu tersenyum.
Kesilapan kita.
Ada masa kita silap.
Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat, bagaikan kita ini telah kebal dari sebarang titik-titik kelemahan.
Terkadang,
kita rasakan bahawa kita mampu berdiri sendiri sehinggakan kita fikir
semua ujian yang datang kepada kita itu, mampu untuk kita selesaikan
seorang diri.
Tidak. Saya tidak salahkan kemahuan kita untuk hidup berdikari.
Namun,
kita sering lupa bahawa hakikatnya,kita ini hanyalah makhlukNya yang
serba lemah dan kekurangan. Mampukah kita menanggung semua ujian itu
dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan?
"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah." - [Surah An-Nisa', 4: 32]
Ya. Manusia itu sifatnya tidak akan mampu berdiri dengan sendirinya; jika tidak dia memperoleh kekuatan itu dari Allah.
Bukankah ujian itu datangnya dari Allah? Maka, kepada siapa lagi harus kita kembalikan jika tidak kepada Dia Yang Maha Kuasa?
Namun, silapnya pada kita.
Kita sering menyombongkan diri untuk bersimpuh memohon pertolonganNya.
Kita merasakan diri kita sudah lengkap sempurna. Kuat, berkuasa.
Sedangkan hakikatnya, kita sedikit tidak punya daya jika Dia tidak mengizinkannya.
Wujudnya saat muhasabah.
Manusia
jarang sekali mahu bermuhasabah diri. Tatkala disentap dengan ujian
yang berat barulah wujud saat mereka kembali berfikir apakah salah silap
mereka selama ini. Itupun jikalau mereka sedar.
Maka, salah satu hikmah dari ujian adalah wujudnya masa kita untuk bermuhasabah.
Masa untuk kita merenung kembali sejauh mana kehidupan ini telah dibawa.
Adakah kita masih berada pada landasan yang benar?
Hikmah dari muhasabah ini akan membawa kita melihat dan memikirkan pula hikmah-hikmah yang lain dari ujian tadi.
Baik.
Apakah hikmah yang ingin Dia tunjukkan kepada kita melaluinya?
Manusia
itu selalu bersifat lupa diri tatkala diberi nikmat. Namun, tatkala
kita diuji dengan sedemikian rupa, barulah kita bersegara kembali
mencariNya. Sungguh-sungguh kita mohon padaNya agar dipermudahkan
segala kesulitan yang ada. Sedang selama ini, hendak mengingatiNya
sebentar pun terasa berat. Astagfirullah, hamba jenis apakah kita ini?
"Dan
apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdo'a kepada Kami dalam keadaan
berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu
darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah
berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya.
Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas
apa yang mereka kerjakan." - [Surah Yunus, 10: 12]
Maka, di situ punya hikmah untuk sama-sama kita renungkan.
Bersangka baiklah kepada Allah atas ujian yang menimpa kita.
Dia mahu kita kembali kepadaNya.
Dia mahu kita selamat di 'sana'.
Dia mahu kita merenung sebentar dan bermuhasabah kembali.
Sekarang, jawab dengan hati kita. . .
Benarkah selama ini kita telah meletakkan Dia sebagai matlamat hidup kita?
Atau tanpa sedar kita meletakkan perkara-perkara lain (nikmat-nikmat yang Dia tarik itu mungkin) sebagai tujuan hidup yang mesti kita capai?
Atau tanpa sedar kita meletakkan perkara-perkara lain (nikmat-nikmat yang Dia tarik itu mungkin) sebagai tujuan hidup yang mesti kita capai?
Benarkah kita telah meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepadaNya?
Atau mungkin, kita meletakkan pergantungan kita kepada 'tuhan-tuhan' lain (manusia-manusia lain atau diri sendiri) lebih, berbanding Dia Yang Maha Sempurna?
Atau mungkin, kita meletakkan pergantungan kita kepada 'tuhan-tuhan' lain (manusia-manusia lain atau diri sendiri) lebih, berbanding Dia Yang Maha Sempurna?
Moga-moga, hati-hati yang bersih itu mampu memberikan jawapan yang jujur.
Kerana
saya yakin, pasti semua tahu, bahawa apabila kita sudah mengakui Allah
itu sebagai Tuhan kita, seharusnya hanya Dialah yang menjadi matlamat
utama hidup kita. Dan hanya kepadaNya jualah tempat kita bergantung
segala.
Dan
perkara-perkara lain yang 'terkorban' (ketika diuji) itu, tidak lain
hanyalah salah satu kurnia dariNya dan juga sebagai ujian pembuktian
keimanan manusia.
Seharusnya ia tidak mampu menggoyah matlamat hidup serta keyakinan kita.
Selama ini, adakah itu cara kita melihat?
Penutup: Kembali sedar matlamat dan peranan hidup
Kembalilah menapak bersama matlamat dan hala tuju yang jelas.
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepadaKu." - [Surah Ad-Dzariyat, 51: 56]
"Dan
(ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak
menjadikan khalifah di bumi". Mereka berkata, 'Apakah Engkau hendak
menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan
kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?' Dia
berfirman, 'Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.'" -
[Surah Al-Baqarah, 2: 30]
Manusia
itu seharusnya sedar, bahawa tujuan dia tercipta di muka bumi ini
adalah untuk menghambakan diri kepadaNya (melaksanakan tanggungjawab dan
perintahNya, serta meninggalkan laranganNya).
Manusia
itu sewajarnya sedar peranan yang perlu dia mainkan di muka bumi ini
ialah sebagai khalifah; yakni dengan memakmurkan muka bumi, serta
membawa manusia kembali kepada Allah, satu-satunya 'Illah' (Tuhan)
seluruh semesta.
Setelah kesedaran, kefahaman, dan keyakinan tadi mendasar, semua permasalahan tadi pasti akan tampak lebih mudah. InshaAllah.
Wajar
sahaja kita merasa sedih tatkala diuji, kerana itu merupakan lumrah
seorang manusia. Namun, amatlah tidak wajar untuk kita merasa kecewa dan
berputus asa. Sekaligus, kita tidak akan sesekali memanjangkan
kesedihan yang dirasa.
Ya. Ia adalah atas keyakinan kita bahawa Allah itu Tuhan yang menciptakan segala.
Memperhambakan diri kepadaNya merupakan tujuan hidup kita.
Dan pasti, Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia, melainkan ada hikmahnya.
Jika
kita sudah sedar akan perkara ini, maknanya, hikmah dari ujian itu
seharusnya sudah nampak. Kebangkitan yang ditunggukan-tunggukan itu juga
seharusnya sudah dimulakan langkahnya.
Wahai diri,
Kali ini. . .
Letakkan Dia 'bersama' ketika kamu menapak.
Dan pasti, jalan penyelesaian itu akan mula kelihatan.
"
... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan
jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak
disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya
Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan
urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap
sesuatu." - [Surah At-Talaq, 65: 2-3]
by. khalifah-luahanrasa.blogspot
0 komentar:
Posting Komentar