Keajaiban Besar Sujud Dalam Sholat
Pernahkah kita terfikir
setelah saban usia kita mendirikan solat berserta syarat rukunnya,
apakah rukun solat yang paling disukai oleh Allah SWT. Dengan menyelami,
memahami, menjiwai serta menghayati setiap detik ibadah atau solat yang
dikerjakan barulah kita akan mendapat kemanisan dan faedah darinya.
Barulah ibadah kita itu dapat mendinding dan mencegah diri kita dari
dosa dan noda. Firman Allah SWT yang bermaksud:
” Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar” (Surah Al-Ankabut ayat:45)
Segala rukun di dalam
solat yang melibatkan qalbi (naluri), qauli (lisan) dan fi’li
(perbuatan) mempunyai pengertian dan maksud yang amat mendalam sekali di
sisi Allah SWT. Segala pergerakan di dalam solat sebenarnya sarat
dengan hikmah dan pendidikan dari Allah SWT dan amalan atau rukun yang
paling disukai oleh Allah ialah rukun sujud.
Sujud adalah waktu di
mana seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Pergerakan
sujud itu secara lahirnya telah menunjukkan “rasa menghina dirinya”
seseorang hamba itu di depan Tuhannya di dalam keadaan menyerah diri,
pasrah, berikrar dan mengaku bahawa
“Ya Allah hanya
Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan hanya
pada-Mu sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan”.
Seorang sahabat Nabi SAW iaitu Huzaifah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:-
“Tiadalah keadaan
seorang hamba yang paling disukai oleh Allah daripada Dia melihat
hamba-Nya itu di dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di
tanah ( sebagai tamsilan tunduk, pasrah dan rasa hina seorang hamba
kepada Allah)”. (Hadis Riwayat Imam Tabrani).
Cerita Sujud:
Semasa malaikat-malaikat
disuruh sujud kepada Nabi Allah Adam semua malaikat sujud apabila
mereka bangun mengangkat kepala didapati malaikat yang bernama Azazil
tidak sujud maka Allah SWT menjadi murka dan melaknat ke atasnya jadilah
ia Iblis dengan bertukar rupa. Rupanya seperti kera dan badannya
seperti babi justeru para malaikat merasa kecut dan takut lantas mereka
sujud sekali lagi kerana syukur tidak kena laknat oleh Allah SWT.
1. SUJUD PERTAMA TAAT (PERINTAH ALLAH)
2. SUJUD KEDUA SYUKUR (HAMBA KEPADA ALLAH)
Tatkala Nabi Muhammad
SAW Israk dan Mikraj ketika sampai di langit yang ketiga para
malaikat-malaikat di sana sememangnya sujud selama- lamanya tetapi
dikehendaki waktu Nabi SAW sampai mestilah mengangkat kepala tanda
hormat.
Apabila Nabi SAW memberi
salam kepada para malaikat, semua malaikat itu bangun dari sujud kerana
menjawab salam dan berkenalan dengan melihat wajah Nabi Muhammad SAW
kemudian mereka sujud semula.
Telah bersabda Rasulullah SAW, Bumi keseluruhannya adalah masjid melainkan tempat perkuburan dan tempat mandi.
“Telah dijadikan untuk
kita bumi seluruhnya adalah masjid. Maka jangan anda sapu pasir pada
tempat sujud kerana rahmat Allah berada di hadapan. Dan berdebu muka ku
untuk Allah yang maha Mulia lagi maha Tinggi sebab pasir kerana itulah
puncak ibadah kepada Allah Taala. Tidak dikira bersolat bagi mereka yang
tidak sampai atau kena hidungnya ke bumi (tanah) seperti juga dahinya”.
Oleh kerana banyak hadis
menyebut tentang bumi dan kaitannya dengan sujud maka para ulama
bersepakat mengatakan sekurang-kurangnya mesti sekali seumur hidup solat
dan sujud di atas bumi dengan tidak berlapik dan jika banyak kali
adalah lebih baik. Maka dengan sebab itulah orang-orang yang bermazhab
Syiah bersolat di atas bumi atau dengan membawa kemana-mana sapu tangan
yang khas ada di atasnya tanah untuk lapik sujud.
Firman Allah SWT yang
bermaksud:- ” Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat Kami
ialah orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami mereka
menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan dan mereka tidak
menyombongkan diri” (Surah As-Sajadah ayat 15).
Di dalam perlakuan sujud
itu ada simbolik dan hikmah yang harus fahami dan hayati. Iaitu bersama
terancap dan ratanya tujuh anggota badan kita dengan bumi, pergerakan
yang sepenuh jiwa, sepenuh rasa hina dan mengharap kepada Allah SWT dan
penyerahan secara total seorang hamba terhadap Penciptanya dalam
menerima serta mematuhi segala perintah dan larangan dari-Nya. Jangan
sampai berlaku, hanya di dalam solat sahaja kita sujud tetapi di dalam
kehidupan seharian kita bersifat “jauh api dari panggang” didalam erti
kata yang lain kita tidak tunduk, tidak taat dan tidak menyerah secara
total kepada peraturan dan sistem Allah yang Maha Sempurna.
Sayugia dilakukan setiap
melakukan rukun sujud ketika solat sentiasalah membaharui ingatan
kepada Allah SWT (Al-Khaliq). Manakala tunduk meletakkan dahi ketika
sujud hendaklah merasakan bahawa ia sedang menghina diri kepada suatu
Zat Allah Yang Maha Agung dan apabila ia merasa kehebatan Allah Yang
Maha Agung maka ketika itu ia juga harus merasai dirinya itu amat kecil
dan terlalu kerdil di hadapan Zat Yang Maha Agung. Sujud bererti
seseorang itu telah meletakkan wajahnya ditempat yang paling rendah di
atas tanah ini bermakna ia telah meletakkan seluruh dirinya di atas
tanah.
Dengan sujud itu bererti
telah mengingatkan dirinya terhadap punca asal kejadian manusia itu
dari tanah dan mengembalikan dirinya kepada tanah. Apabila ia telah
sanggup menghantar dahinya dan juga dirinya ke tempat yang hina maka
tidak mungkin ia akan bersikap sombong lagi terhadap Allah yang
menciptakan dirinya dari tanah itu.
Sesungguhnya asal
kejadian manusia itu seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran adalah
dijadikan dari tanah maka setiap kali seseorang itu sujud adalah
bertujuan mengasuh hatinya bahawa ia kelak akan dikembalikan kepada
tanah iaitu menemui kematian seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Dengan demikian bererti
sujud itu juga mengasuh hati manusia bukan saja supaya mengingat akan
asal kejadiannya tetapi juga akan dikembalikan ke tanah iaitu menemui
ajal kematian. Maka setiap kali sujud sewajarnya seseorang itu sentiasa
ia mengingati akan mati, apabila ia ingat akan mati maka terasa
seolah-olah bahawa solatnya itu sebagai solat penghabisan kerana ia akan
menghantarkan dirinya ke tanah. Ia merasakan bahawa setiap kali ia
sujud seolah-olah ia tidak akan bangun lagi. Sedangkan kematian itu
merupakan pintu bagi seseorang memasuki gerbang akhirat.
Dalam keadaan demikian
maka hati akan merasa gerun dan merasai kebesaran Allah dan ketika
itulah ia membaharui lagi di dalam hatinya untuk mensucikan Zat Allah
Yang Maha Tinggi disamping lidah tidak bertulang mengucapkan, “Subhana
Rabbial- A’la wa-Bihamdih”.
Sujud bukan sahaja
mendekatkan kita dengan Allah SWT tetapi dari sudut perubatan pun ada
hikmahnya. Antara hikmah sujud menurut keterangan perubatan ialah:-
1. Membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
3. Melegakan sakit hernia.
4. Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
5. Melegakan bahagian paru-paru dari ketegangan.
6. Mengurangkan kesakitan pada apendiks atau limpa.
7. Meringankan bahagian pelvis.
8. Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut, punggung ketika akan sujud.
9. Gerakan otot-otot ini menjadikannya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelancaran darah.
10. Bagi wanita gerakan otot ini menjadikan buah dadanya lebih baik dan mudah berfungsi untuk menyusukan bayi.
11. Gerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal .
12. Mengurangkan kegemukan.
13. Otak manusia (organ terpenting) menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
14. Kedudukan sujud paling baik untuk berehat dan mengimbang lingkungan bahagian belakang tubuh.
15. Memberi dorongan untuk mudah tidur.
Selain itu kesan sujud
yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh
mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan
akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti kita (terutama ketika
sujud waktu solat Subuh).
Sumber dari ntvirus.wordpress.com
0 komentar:
Posting Komentar