Tauhid Dalam Fahaman
Tauhid berdasarkan kepada “la ilaha illa’ Llah,
Muhammadur-Rasulullah”: “Tidak ada tuhan yang wajib disembah dengan
sebenarnya melainkan Allah, dan Muhammad adalah Rasulullah”. Atau
“asyhadu an la ilaha illa’Llah, wa asyhadu anna Muhammadar-Rasulullah”:
“Aku menyaksikan bahawa tiada
tuhan yang wajib disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan aku
menyaksikan bahawa Muhammad adalah Rasulullah”.
Ianya diwajibkan dalam ayat, antaranya, yang bermaksud:
"Ketahuilah bahawa tiada tuhan melainkan Allah …". (Surah Muhammad: Ayat 19).
Penyaksian itu adalah hasil daripada keyakinan iman
tanpa syak dan ragu tentang hakikat keTuhanan yang Maha Esa, yang
merupakan paksi bagi segalanya. Keyakinan ini datang daripada ilmu dan
juga kesedaran batin orang yang berkenaan yang disebutkan sebagai
ilmul-yakin, atau ‘ainul-yaqin atau haqqul-yaqin. Ilmul-yaqin datang
daripada tahap keyakinan yang timbul daripada ilmu berkenaan dengan
kebenaran tauhid hasil daripada pengetahuannya, dengan berdasarkan
bukti-bukti, samaada yang berifat nakli atau akli atau intelektual.
‘Ainul-yaqin timbul daripada tahap tertentu dalam kesedaran batin
berkenaan dengan hakikat tauhid. Haqqul-yaqin merujuk kepada pengenalan
hakikat tauhid berdasarkan kepada “penyaksian batin” - musyahadah -
tentang kebenaran itu yang tidak meninggalkan apa-apa keraguan lagi.
Keimanan tentang ketauhidan ini berkembang menjadi
keimanan terhadap “rukun-rukun iman” yang lain- keimanan tentang para
malaikat dengan tugas-tugasnya, para rasul a.s.s. dengan tugas-tugas
mereka, kitab samawi dengan ajaran-ajarannya, terakhir ialah
al-Qur’anul-Karim, tentang akhirat dan akhirnya qadha’ dan
qadar.Semuanya dihuraikan oleh para ulama Ahlis-Sunnah dalam teks-teks
usulud-din mereka, Allah memberi rahmat kepada mereka.
Keimanan terhadap Allah dan mentauhidkannya dengan
huraian-huraian tentang sifat-sifatNya yang tidak terkira, dan
kemudian dibicarakan sebagai kunci kepada pengenalanNya dua puluh sifat
atau tiga belas, itu berdasarkan dalil-dalil akal atau dalil nakal,
yang kita tidak bicarakan secara terperinci di sini. Bagaimanapun
memadailah kalau kita sebutkan sifat-sifat itu - untuk memperbaharukan
ingatan kita tentangnya - sebagai wujud, qidam atau sediakala, baqa’
atau kekal, menyalahi sekelian makhluk, berdiri sendiri, esa, hayat
atau hidup, ilmu, qudrat atau kuasa, kehendak, mendengar, melihat, dan
berkata-kata yang semuanya dirumuskan ulama berdasarkan Qur’an dan
Sunnah, bukan sebagaimana dituduh oleh setengah pihak,daripada falsafah
Yunani Purba; kemudian ditambah dengan perbincangan tentang
sifat-sifat hal keadaanNya hidup, berilmu, berkuasa, berkehendak,
mendengar, melihat dan berkata-kata.
Perbincangan tentang mentauhidkan Allah juga
dilakukan dengan membicarakan nama-namaNya yang sembilan puluh sembilan
itu dengan menyebut nama-namaNya: Allah, ar-Rahman, ar-Rahim, al-Malik,
al-Quddus, as-Salam, al-Mu’min, al-Muhaimin, al-‘Aziz, al-Jabbar,
al-Mutakabbir, dan seterusnya dengan huraian-huraian maknanya
sebagaimana yang ada misalnya dalam “Tafsir al-Jamal” dalam huraiannya
berkenaan dengan maksud ayat yang bererti: "Dan bagi Allah Sifat-Sifat
Yang Paling Indah, maka kamu serulah Ia dengan menyebutnya …".
Mentauhidkan Allah dan beriman kepada rukun-rukun
iman yang lainnya sebagai natijah daripada beriman kepada ketauhidan
Allah itu menimbulkan kesan dalam kehidupan manusia yang disebut dalam
setengah hadith sebagai “cawangan-cawangan iman” (‘shu’ab
al-iman’).Sebagai contoh dalam “Fathul-Bari” dihuraikan hadith:
الايمان بضع وستون شعبة والحياء شعبة من الايمان
Yang bermaksud: “Iman ada enam puluh lebih cawangannya, dan malu bertempat adalah satu cawangan daripada keimanan”.
Dalam hadith sahih riwayat Bukhari yang lain
dinyatakan keimanan itu lebih daripada tujuh puluh cawangan, dan yang
tertingginya ialah mengucap “tiada tuhan melainkan Allah”, yang paling
rendah sekali ialah membuang duri atau sesuatu yang menyakitkan dari
jalan.
Dalam “Fahul-Bari” dalam memberi huraian berkenaan
dengan “cawangan-cawangan” iman hasil daripada tauhid dan keyakikan
iman, pengarangnya membahagikan kesan-kesan itu kepada beberapa
bahagian seperti “amalan-amalan hati”. Dinyatakannya bahawa
amalan-amalan hati terdiri daripada: keimanan terhadap Allah, para
malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, QadarNya, Hari Akhirat.
Alam Kubur, Bangkit sesudah mati, Berhimpun di Akhirat, Hitungan amal,
Neraca Timbangan Amal, Titian Sirat, Syurga, Neraka; kasih dan benci
kerana Allah, kasihkan rasul, iktikad tentang keagungan Rasul dan
kemuliannya, berselawat terhadapnya, mengikut sunnahnya, mengamallkan
sifat ikhlas dalam amalan, tidak bersikap riya dalam amalan,
meninggalkan kemunafikan, bertaubat, takut kepada Allah, berharap
kepadaNya, bersyukur kepadaNya, menunaikan janji dan amanah semuanya,
sabar, redha dengan ketetapan dan hukumNya, bertawakkal kepadaNya,
bersikap dengan sifat kasih sayang (rahmah), tawadhu’, memuliakan orang
tua, kasihkan orang muda,tidak takabur, tidak ‘ujub, tidak hasad
dengki, tidak berdendam, tidak marah bukan pada tempatnya.
“Amalan lidah” terdiri daripada: berlafaz dengan
kalimah tauhid, membaca Qur’an, mempelajari ilmu, mengajarkan ilmu,
berdo’a, berzikir mengingat dan menyebut nama-nama Allah,
beristighfar,dan menjauhi perbuatan dan percakapan yang sia-sia
(ijtinab al-laghw).
“Amalan badan” disebutkan:berada dalam keadaan
suci bersih dari segi lahir dan pada hukumnya, menjauhi najis-najis,
menutup aurat, melakukan sembahyang yang wajib dan sunat, juga
menunaikan zakat, membebaskan hamba abdi (boleh dikiaskan dengan
keadaan moden dengan “hamba-hamba abdi ekonomi” dan sebagainya),
mengamalkan sifat pemurah (al-jud), memberi makan kepada mereka yang
memerlukannya, memuliakan para dhif, melakukan puasa yang wajib dan
sunatnya, demikian pula menunaikan haji, dan umrahnya, melakukan tawaf,
dan beriktikaf, berusaha untuk menghayati malam lailatul-qadar,
berpindah untuk menyelamatkan agama bila itu dituntut oleh agama,
berhijrah dari negeri syirik (dengan syarat-syaratnya), menunaikan
nazar, bersungguh-sunguh menjaga iman dengan teguhnya, menunaikan
kaffarah, mengawal diri daripada kejahatan dengan berkahwin,
melaksanakan hak-hak keluarga, mentaati para ketua dan bersikap lemah
lembut kepada para hamba (termasuk orang-orang bawahan).
Berkenaan dengan kehidupan dan pergaulan dengan
orang ramai: mengikut jama’ah Muslimin, mentaati waliyul-amri,
mendamaikan mereka yang berkelahi, berperang melawan mereka yang
memberontak dan golongan Khawarij (yang menentang waliyul-amri),
bertolong-bantu dalam melakukan kebaikan, menyuruh perkara-perkara yang
baik dan melarang perkara-perkara yang mungkar, mengamalkan
aturan-aturan jenayah berat mengikut Islam, melakukan jihad, termasuk
ke dalamnya menjaga sempadan untuk menyelamatkannya daripada para
seteru, menunaikan amanah-amanah, termasuk menunaikan “khumus” (dari
rampasan perang), memberi orang berhutang, dan membayar hutang,
memuliakan tamu, bergaul dengan akhlak yang baik (‘husn al-mu’amalah’),
termasuk ke dalamnya menghimpunkan harta dari punca-punca yang halal,
membelanjakan harta pada tempatnya yang hak, tidak bersikap membazir,
dan tidak melampau-lampau dalam perbelanjaan (termasuk kalau sekarang
“conspicuous consumerism”: berbelanja kerana menunjuk-nunjuk bukan
kerana keperluan yang menasabah), menjawab orang memberi salam,
mendoakan orang yang bersin, menahan diri daripada menyakiti orang
lain, menjauhkan diri daripada kesia-siaan, membuang duri (atau apa-apa
yang memudaratkan) dari jalan.
Beliau menyatakan mungkin cawangannya itu tujuh
puluh sembilan sifat dengan mengambil kira menceraikan setengah
daripada apa yang digandingkan dan tidak diasingkan.
Amalan-amalan, sifat-sifat serta sikap yang timbul
itu semuanya daripada ketauhidan kepada Allah yang ada dalam diri
manusia. Kesannya jelas kelihatan dalam kehidupan keluarga dan
masyarakat serta negara dan umat bila ketauhidan itu mantap.
Kesan Tauhid Dalam Fahaman Orang Yang Beriman:
Kalau dilihat dari segi yang berbeza, boleh
disebutkan bahawa implikasi tauhid ke atas manusia dan kehidupannya
boleh dilihat dari beberapa segi, antaranya ialah:
Dari segi fahamannya tauhid memaksudkan bahawa yang
diyakini sebagai kebenaran tanpa tara ialah Keesaan Allah; tidak ada
syak dan ragu lagi padanya. Buktinya samaada yang bersifat akli atau
nakli menjadi dalil tentang kebenarannya; dalil dari pengalaman dan
kesedaran batin itu merupakan bukti yang paling kuat untuk diri
seseorang berpegang kepada kebenarannya. Itulah maksud tertinggi dari
ayat yang bererti:
"Ini adalah jalanku; aku
menyeru manusia kepada Allah berdasarkan kepada 'basirah' (dalil yang
nyata) ataupun pemandangan matahati, aku dan mereka yang mengikutku".(Surah Yusuf: Ayat 108).
Ini memberi paksi kepada manusia, peribadi, dan
hidup serta tamadunnya. Ini boleh dimisalkan sebagai adanya tempat
duduki yang tetap dan teguh, tidak kucar kacir, bukan tidak stabil.
Sebagai contoh kita boleh sebutkan bagaimana kita
ini tetap atas kerusi, kerusi tetap demikian kerana ada lantai
bangunan, bangunan itu tetap atas asasnya, asas bangunan itu tetap
kerana ada bumi yang tetap, bumi tetap kerana ianya berada dalam sistem
solar yang dengan gravitinya dan lain-lainnya menyebabkan ia
tetap.Demikianlah manusia merasa tetap teguh dengan keyakinannya kepada
tauhid; dengannya ia merasa tetap ada tempat berpijak bagi jiwa, hati
dan akalnya.
Tauhid pada fahaman juga memaksudkan bahawa yang
disembah dengan sebenarnya hanyalah Allah Yang Esa sahaja, tidak ada
yang lain lagi. Penyembahan dalam erti pengabdian - ‘ubudiyyah -
hanyalah untuk Allah sebagaimana yangg dinyatakan dalam al-Fatihah,
“Engkaulah sahaja Yang kami sembah, dan kepada Engkalah sahaja kami
meminta pertolongan”. Hakikat ini ternyata dalam ayat yang bermaksud:
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu".
Fahaman tauhid yang mendalam menyebabkan tidak ada
lagi kuasa-kuasa lain yang dinisbahkan Kuasa Tuhan padanya; hilang
takhyul, fahaman syirik, dan sihir, hilang amalan bernujum yang
disalahkan Syara’, dan hilang pemujaan yang dilarang Syara’ terhadap
jin-jin dan lain-lainnya. Termasuk hilang pemujaan kepada
perkara-perkara maknawi seperti akal, kecerdasan manusia, atau
mana-mana aspek kepandaian atau ilmu manusia.Semuanya natijah daripada
keyakinan terhadap KeEsaan Allah.
Tauhid pada fahaman ini memberi kepada insan
matlamat hidup yang terakhir yang memberi makna kepada segala kegiatan.
Manusia yang beriman kepada tauhid bertugas dan berusaha dalam konteks
mencari keredhaan Allah di dunia ini, yang membawa kepada kebahagiaan
yang kekal abadi. Ini jelas dalam pembacaan doa si mukmin selepas
daripada takbir sembahyang, iaitu do’a yang bermaksud: "Sesungguhnya
sembahyangku, pengorbananku, hidupku (termasuk perjuanganku, profesiku,
perlaksanaan tugasku) adalah bagi Allah Tuhan Yang mentadbir sekelian
alam". Dengan ini tidak ada kekosongan atau kehilangan makna - “loss of
meaning” - dalam hidupnya. Semuanya mendapat makna dalam konteks
mencari keredhaan Tuhan. Dalam konteks seperti inilah Nabi s.a.w.
menyatakan keheranannya tentang hidup si mukmin sampaikan bila kakinya
terkena duripun ada mempunyai makna. Penyakit “kehilangan makna” tidak
akan berlaku atas si mukmin yang berkesan keimanannya dalam membentuk
jiwa dan kalbunya.
Keimanan tentang tauhid menjadikan si mukmin tidak
putus asa dalam hidupnya walau bagaimamanapun teruknya cabaran yang
dihadapi dan walau bagaimana negatifnya suasana yang dihadapi,
sehinggakan kalau dilihat dari segi perkiraan duniawi tidak ada apa-apa
yang boleh dilakukan sekalipun, ia tidak berputus asa. Inilah
antaranya yang dimaksudkan oleh ayat Qur’an yang bermaksud
“Jangan kamu berputus asa
daripada pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada
rahmat (atau pertolongan) Allah melainkan orang-orang kafir” (Surah Yusuf: Ayat 87).
Di sinilah tauhid memberi asas kepada aksiologi si mukmin, sehingga sistem nilainya lengkap dan tinggi.
Aksiologi Daripada al-Asma’-al-Husna:
Tauhid pada fahaman menjadikan insan yang yakin
kepada tauhid itu mendapat "peta" pembangungan peribadinya pada “Diri
Tuhan Sendiri Dengan Sifat-SifatNya Yang Maha Sempurna dan Nama-NamaNya
Yang Maha Indah” (al-Kamalat wa’l-Asma’ al-Husna). Maksudnya,
sebagaimana yang dihuraikan antaranya dalam “Tafsir al-Jamal” dalam
hubungan dengan hadith Tirmidi yang bermaksud: “Tuhanmu mempunyai
sembilan puluh sembilan Nama, maka sesiapa yang membilangnya ia masyuk
ke dalam Syurga”. Maksudnya, antaranya, dihuraikan bahawa hendaklah
insan yang beriman itu menjadikan peribadinya terbentuk mengikut
pengajaran yang boleh didapati daripada maksud nama-nama Tuhannya.
Misalnya kalau Allah bersifat dengan sifat Kasihan
Belas - dengan NamaNya al-Rahim - maka si mukmin sebagai hamba Tuhannya
hendaklah bersifat dengan sifat kasihan belas pada paras manusiawinya.
Dengan itu maka ia “hampir” kepada Tuhannya melalui sifat itu. Dengan
itu ianya lebih hampir kepada kesempurnaannya sebagai manusia yang
beriman. Kalau Tuhan bernama al-Malik - Raja dengan sifat-sifatNya
sesuai dengan Nama “al-Malik” itu, maka hendaklah si hamba membentuk
peribadi sesuai dengan kedudukan sebagai ”raja” yang menguasai dirinya
supaya taat kepada Tuhan dan menjalankan KehendakNya, jangan membiarkan
dirinya menjadi rendah dan berkhidmat kepada Setan. Kalau Allah
bernama al-‘Alim - Yang Maha Mengetahui - maka manusia yang beriman
hendaklah membentuk dirinya menjadi orang yang berilmu, yang mengenal
Tuhannya, ajaran Tuhannya, dan mengetahui ilmu-ilmu lain dalam konteks
ketauhidan Tuhannya serta mengetahui ilmu-ilmu untuk menjadikan dirinya
dan hidupnya bermaruah dalam dunia ini. Dengan itu jadilah ianya
hampir kepada Tuhannya melalui sifatnya berilmu itu.Kalau dikiaskan
kepada bangsa, maka bangsa itu bangsa yang berilmu yang martabatnya
mulia kerana ilmunya. Di sini keimanan kepada Tauhid membawa implikasi
dalam bidang epistemologi atau faham ilmu dan aksiologi atau faham
nilai yang sangat diperlukan kejelasannya.
Di sini kita lihat bagaimana kepentingan ilmu
diberikan perhatian yang sangat pokok oleh para ulama Islam, seperti
Imam al-Ghazali rd dan Ibn Khaldun rh antara yang sekian ramai itu. Dan
Ibn Khaldun rh menghendaki supaya ahli ilmu itu mencapai kemahiran
yang memuncak dalam bidang ilmunya sampai menjadi sebagai sepertri
tabiat yang kedua bagi dirinya, seolah-olah seperti terbang burung di
angkasa dan bernang ikan dalam air. Kata-kata bandingan itu bukan dari
Ibn Khaldun tetapi dari penulis ini. Beliau menggunakan istilah
“malakah” untuk mengungkapkan kemahiran tertinggi dalam ilmu itu.
Sebab sedemikian pentingnya ilmu ini maka Imam
al-Ghazali rd menghuraikan bagaimana ahli ilmu yang berkhidmat dengan
baik dalam pengembangan ilmunya berdamping diri dengan Tuhan -
bertaqarrub- melalui kegiatannya itu; demikian pula pelajar yang
mempalajari ilmu yang berguna - ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu umum
kerana Tuhan dan kerana berkhidmat kepada umat dalam fardhu kifayah -
bertaqarrub kepada Tuhan dalam kegiatan pembelajarannya.
Selain dari itu beliau menghuraikan bagaimana dalam
konteks tauhid semuanya berkhidmat kepada Tuhan, mulai daripada ahli
ibadat semata (‘abid), sampai kepada pengajar ilmu, penuntut ilmu,
petugas menjaga keluarga (muhtarif), peribadi yang berkhidmat untuk
masyarakat (walin), dan ahli tauhid taraf tertinggi yang tenggelam
dalam pengalaman tauhidnya yang memuncak (muwahhid) semuanya berfungsi
dalam menjayakan tauhid dalam hidupnya masing-masing - mulai dari orang
biasa sampai kepada petugas masyarakat dan penjaga keluarga juga ahli
rohaniah yang tertinmggi sekali dalam umat.Dalam konteks masyarakat
moden kitra boleh kiaskan mereka yang terlibat di dalamnya dengan
tugas-tugas mereka masing-masing.
Kalau Tuhan bernama dengan nama as-Sattar - Yang
menutup aib hambanya, kemudian di akhirat bila ia beruntung Ia ampunkan
aib itu- maka hendaklah si mukmin itu menutup aib jirannya dan
kenalannya supaya dengan itu aib dirinya tidak di"buka" oleh Tuhan di
hadapan sekalian makhluk di Akhirat nanti. Allahumma salimna.
Kalau Tuhan bernama al-Mutakabbir - Yang membesarkan
DiriNya, Yang Takburr, kerana Ia berhak dengan perbuatan demikian -
maka hendaklah si mukmin berendah diri kepada Tuhannya dan kepada
sekelian mukminin, tetapi bertakabur dengan Setan supaya dengan itu ia
tidak membiarkan dirinya menjadi “khadam” kepada Setan, yang
meruntuhkan kemuliaan dirinya, sampai dirinya akan menjadi “yang
sehina-hinanya”.
Dengan ini si hamba mempunyai sifat kemuliaan diri atau harga diri yang sebaiknya sebagai khalifah Tuhan di bumi dan hambaNya.
Bila Tuhan bernama dengan Nama an-Nafi’ - Yang
Memberi Menfaat kepada sekalian akhlukNya - maka si mukmin hendaklah
membentuk peribadi sebagai orang yang mendatangkan kemanafaatan kepada
orang lain, bukan sebaliknya. Ini jelas pula daripada hadith Nabi
s.a.w. yang bermaksud: "Manusia yang sebaik-baiknya ialah orang yang
paling mendatangkan faedah kepada manusia".
Kalau Allah bernama dengan Nama al-Muhaimin - Yang
Menjaga - maka para hamba hendaklah pada paras manusawinya menjadi
penjaga sekalian yang mesti dijaga dirinya, keluarganya, bangsanya,
umatnya, agamanya, demikian seterusnya dan janganlah ia menjadi
perosak. Demikianlah apa yang disebut sebagai “bahagian hamba” - hazz
al-‘abd - oleh pengarang “Tafsir al-Jamal” dalam hubungan dengan
Nama-Nama Allah yang menjadi penentu dalam hidupnya dari segi
metafisikanya, faham alamnya, aksiologi atau faham nilainya,
epistemologi atau faham ilmunya.
Tauhid Dalam Amalan:
Bila kita menjurus kepada amalan, maka tauhid
menjadikan manusia itu menunaikan ibadatnya, seperti sembahyangnya -
sebab itu pengabdian kemuncak, terlambang dengan hakikat ianya
dikurniakan waktu mi’raj Rasul s.a.w. - puasanya, zakatnya, hajinya,
nazarnya, kafarahnya, membaca Qur’an, wirid dan zikirnya, do’anya,
bahkan, sebagaimana yang diajarkan oleh Imam al-Ghazali rd dalam
"Ihya’"nya, “Hendaklah semua gerak-geri hidup kamu dan diam kamu
menjadi ibadat atau penolong kepada ibadat kepada Tuhan,” sampaikan
Imam utama ini rd menyatakan bahawa bermainpun biarlah berlaku dalam
konteks pengabdian atau ibadat kepada Tuhan!
Tauhid pada amalan menyebabkan manusia berakhlak
dengan akhlak yang mulia seperti bersifat benar, amanah, ikhlas,
kasihan belas, bertimbang rasa, bersaudara, berkasih sayang dalam
keluarga dan masyarakat, bermaaf-maafan bukan berdendam, pemurah bukan
bakhil dalam kebajikan, bukan membazir, bukan melampau dalam
berbelanja,berhemat dan cermat, bukan hanya waktu ekonomi gawat sahaja,
menjaga perpaduan bukan mengusahakan perpecahan, apa lagi dalam umat
menghadapi ancaman, berkerjasama dalam kebajikan, iaitu berkerjasama
dalam keluarga, dalam masyarakat, bangsa dan umat, antara rakyat dengan
rakyat, antara rakyat dengan pihak penganjur, berkerjasama antara
ulama, cendekiawan, para pemimpin, hartawan dan orang awam. Bersifat
gigih dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kebaikan dan jasa kepada
manusia semuanya.
Tauhid menyebabkan berlaku perpaduan dalam keluarga
dan timbulnya keluarga bahagia dan perkasa yang membantu dalam membina
masyarakat yang beradab, berilmu, dan perkasa dengan amalan-amalan
“budaya perkasa” atau “strong culture”. Ini boleh dikaitkan dengan
kata-kata terkenal “Hidup bersendikan adat, adat bersendikan Syara’ dan
Syara’ bersendikan Kitab” yang melambangkan kesepaduan hidup
ketamadunan yang terbimbing oleh wahyu dan ajaran agama dengan dibantu
oleh keupayaan dan akal manusiawi.
Tauhid dalam amalan ditimbulkan dalam hidup manusia
dengan penuh ketaatan kepada Kehendak Tuhan yang terjelma dalam
ketaatan kepada Hukum Syara’Nya dalam ibadatnya, hidup keluarganya,
mu’amalahnya, hidup kenegaraannya, budayanya, ilmu pengetahuan dan
sainsnya, teknologi dan penyelidikan serta maklumatnya. Ketaatan kepada
Tuhan dalam semua perkara inilah merupakan manifestasi tauhid dalam
tamadun manusia selain daripada tauhid yang nyata dalam hidup peribadi
dan keluarga serta masyarakatnya. Adanya kederhakaan dalam masyarakat
manusia - kerana dunia bukan akhirat- adalah kerana kelemahan-kelemahan
manusiawi - “human failings” - bukan kerana agamaa bukan praktikal
atau “above human”. Sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Qur’an dalam
ayat yang bermaksud “Tuhan tidak membebankan diri manusia melainkan
setakat apa yang termampu olehnya”, dan dalam konteks yang lain Allah
berfirman, maksudnya “Allah tidak membebankan sesuatu diri manusia
melainkan daripada apa yang dikurniakan kepadanya (daripada
Ni’matNya)”.
Tauhid pada amalan membawa manusia membina hidup
ketamadunan mengikut apa yang diajarkan oleh Tuhan dalam budaya
ilmunya, siasahnya, ekonominya, hidup kemasyarakatannya, keseniannya
dan budayanya, perang dan damainya. Penyelewengan-penyelewengan yang
berlaku adalah kerana kelemahan-kelemahan manusiawi dari segi individu
dan kelompoknya. Agama datang untuk menyembuhkan manusia dan tamadun
daripada “kelemahan-kelemahan manusiawinya” bukannya untuk mengazabkan
manusia atau menghalangnya bersuka-suka secara rasional dan menasabah
serta sejahtera dalam dunia ini.
Sebab itu dalam sejarah dan realiti kehidupan
mengikut kadar yang berbeza-beza tauhid dan prinsipnya terbayang dalam
hidup mereka yang beriman dalam keyakinannya kepada tauhid, ibadatnya,
hidup akhlaknya, keluarganya, mayarakatnya, dan umatnya. Terbayang
hakikat ini dalam sistem ilmunya - hubungan harmonis antara ilmu-ilmu
agama dan ilmu-ilmu umumnya sebagaimana yang terbayang dalam huraian
Ibn Khaldun rh dalam “al-Muqaddimahnya”, dalam persuratan Islam, seni
benanya, perancangan bandarnya, serta keharmonian antara alam tabi’I
dan alam binaan manusia (“human built environment”).
Al-Marhum Prof Ismail Raji al-Faruqi dalam buku
terkenalnya “Tawhid: Its Implications For Thought and Life” berbicara
dengan meluasnya aspek-aspek dan implikasi tauhid ini dengan menyebut
tentang tauhid sebagai inti pengenalan agama, sebagai intisari Islam,
sebagai prinsip sejarah, prinsip metafisika, prinsip etika, susunan
sosial, prinsip ummah, prinsip keluarga, prinsip susunan siasah,
prinsip susunan ekonomi, prinsip susunan hidup seluruh dunia, serta
prinsip estetika.
Kesyirikan Yang Bercanggah Dengan Tauhid Pada Fahaman
Dilihat dari segi fahamannya, kesyirikan ialah
menisbahkan kuasa atau Sifat-sifat Tuhan kepada makhluk-makhluk atau
kuasa-kuasa selain daripada Allah Tuhan Yang Sebenarnya.
Kesyirikan bermakna menyembah yang selain daripada
Allah atau kuasa-kuasa yang selain daripadanya; atau memuja yang lain
selain daripadanya sebagaimana Ianya disembah dan dipuja, atau
sebagaimana IaNya dimuliakan dan disanjungi. Ini disebutkan sebagai
syirik yang besar dan nyata (syirik akbar atau syirik jaliy). Syirik
ini kalau orang yang berkenaan tidak bertaubat daripadanya, ia akan
menyebabkan azab yang berkekalan. Nau’udhu billahi min dhalik.
Syirik yang satu lagi ialah syirik kecil atau syirik
yang tersembunyi (syirik asghar atau syirik khafy). Syirik kecil ialah
syirik dalam erti misalnya melakukan kebaikan kerana lain daripada
berniat mencari keredhaan Tuhan, seperti seseorang melakukan ibadat
kerana hendak mencari pengaruh; atau memberi sedekah dengan niat supaya
disanjung dan diterima sebagai peribadi yang mempunyai keutamaan;
demikian seterusnya; itu syirik kecil atau syirik tersembunyi yang
membatalkan pahala amalkan dan kebajikan; ianya bukan menyebabkan kekal
dalam azab di Akhirat; bagaimanapun ia menyebabkan amalan menjadi
sia-sia tanpa pahala, bahkan menyebabkan azab sesuai dengan keadaan
berat atau ringannya kesalahan orang yang berkenaan.
Dalam hubungan dengan syirik
yang sedemikian Allah menyoal dalam al-Qur’an dalam ayat yang
bermaksud: "Adakah kamu melihat orang yang menjadikan keinginan
nafsunya sendiri (“hawahu”) sebagai tuhan?" (Surah al-Furqan: Ayat 43).
Adapun amalan duniawi, seperti pertukangan atau
sesuatu kemahiran yang dimiliki, bila seseorang itu melakukan usahanya
dengan baik dan bahkan cemerlang supaya amalannya diberikan nilaian dan
prestasi yang baik, dengan itu ianya menjadi popular, dengan itu ia
mendapat rezeki yang halal, itu tidak termasuk ke dalam perkara keji
yang disebut di atas. Bahkan orang yang berkenaan, kalau ia orang yang
beriman, boleh memasang niat bahawa ia sedang melakukan kerja untuk
menguatkan ekonomi umat, untuk memberi kekuatan kepadanya, sebagaimana
yang dianjurkan oleh Ibn al-Hajj rh dalam kitabnya yang terkenal
“al-Madkhal” itu. Bahkan ini boleh termasuk ke dalam maksud hadith nabi
yang bererti: "Sesiapa yang menuntut dunia yang halal kerana hendak
mengelak dirinya daripada meminta-minta dari orang lain, kerana
memenuhkan keperluan keluarganya, dan kerana kasihan belas kepada
jirannya (dan ia membantu mereka dengan hartanya itu), maka ia datang
ke Ahirat pada Hari Kiamat dengan wajahnya gemilang seperti bulan
pernama empat belas hari bulan".
Seorang ahli sains yang membuat penyelidikan membina
senjata yang ampuh yang boleh mempertahankan bangsanya daripada
diceroboh oleh pihak musuh, dengan itu ia menjaga agamanya dan
bangsanya serta negaranya, atau ia boleh memberi kekuatan kepada
saudaranya Muslimin dalam negeri lain supaya tidak dianiayai oleh pihak
lain, maka itu adalah perbuatan yang paling bermakna dalam khidmat
kepada umat. Boleh diingatkan pada zaman klasik bagaimana al-Baghdadi
rh menyebut bahawa satu daripada golongan Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah yang
berjasa kepada umat yang menentukan kedudukan umat ialah orang-orang
yang menjaga sempadan negeri umat Islam supaya tidak diceroboh oleh
musuh (“al-murabitun”). Maka maksudnya termasuklah golongan yang
menjayakan fungsi demikian dengan mengadakan senjata yang berkesan
untuk tujuan itu. Dengan itu maka terlaksanalah juga suruhan dalam
al-Qur’an yang bermaksud:
"Bersiap sedialah kamu bagi menghadapi para musuh dengan pelbagai jenis kekuatan" (Surah al-Anfal: Ayat 61)
sesuai dengan keadaan dan zaman berkenaan; kalau
pada zaman kita ini ianya merujuk kepada kekuatan senjata yang sesuai
dengannya.
Dan tidaklah boleh dikatakan syirik orang yang
mempertahankan negara itu, kecualilah ia menganggap negera itu seperti
Tuhan baginya! Dijauhkan Allah dari yang demikian itu!
Syirik Dalam Perbuatan:
Ringkasnya syirik besar dan nyata dalam perbuatan
merujuk kepada perbuatan memuja apa-apa selain dari Allah sebagaimana
memuja Allah; termasuk ke dalamnya memuja makhluk-makhluk halus atau
manusia melebihi batasan; adapun sifat kasihkan seseorang kerana ia
melakukan kebaikan kepada orang ramai, itu adalah perkara yang baik
yang termasuk ke dalam maksud hadith Nabi saw yang bererti: "Sesiapa
yang tidak mengenang budi kepada manusia (yang melakukan kebaikan
kepadanya), maka orang itu tidak sempurna dalam perbuatannya bersyukur
kepada Allah".
Termasuk amalan yang mesti dielakkan ialah sihir
sebab ia memusnahkan keimanan manusia dan boleh memnbawa kepada
kesyirikan. Dalam media amalan sihir dilaporkan membawa kepada
pembunuhan selain daripada akibat-akibat lain yang membahayakan serta
memusnahkan hubungan baik ahli masyarakat.
Syirik kecil dan tersembunyi ialah sifat ria, iaitu
melakukan kebaikan dalam agama kerana mengharapkan perhatian dan
sanjungan manusia; itu membatalkan amalan dan kebajikan seseorang;
adapun perbuatan yang bersifat duniawi, seperti pertukangan dan
kemahiran maka itu tidak mengapa, walaupun yang lebih baiknya ialah
seseorang itu menjalankan profesinya dan kemahirannya dengan niat
menguatkan umat dalam rangka menjalankan fardhu kifayahnya, seperti
yang tersebut dalam kitab Imam al-Ghazali rd atau kitab Ibn al-Hajj rh.
Dalam ajaran Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah bertawassul
adalah harus, samaada pada orang yang hidup atau orang yang sudah
meninggal dunia. Tidak perlu dijadikan masalah bila ada setengah
kalangan yang menganggap itu kesyirikan; sebab yang diminta ialah dari
Allah; orang yang mulia itu disebut kedudukannya yang mulia di sisi
Allah. Dengan itu maka permohonan itu cepat makbulnya.
Perbuatan melawat makam mereka yang utama dan
menghadiahkan pahala amalan juga perbuatan yang mulia di sisi
Ahlis-Sunnah, dan berdo’a di makam orang itu, dengan barakahnya, maka
do’a itu boleh dikabulkan dengan segera. Itupun amalan yang bukan
dilarang dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, walaupun ada pihak-pihak yang
melarangnya seperti Muhammad bin ‘Abdul Wahhab dan Ibn Taimiyyah. Itu
adalah pandangan mereka, yang berlawanan dengan pandangan jumhur.
Allahumma sallimna wal-Muslimin. Mereka yang mahu menganggap pandangan
mereka berdua itu lebih utama dari jumhur, itu adalah pilihan
masing-masing. Hendaklah diamalkan adab dalam berbeza pendapat dalkam
perkara-perkara seperti ini dan jangan dijadikan isu sampai sesuatu
puak melemparkan tuduhan bid’ah dan sesat kepada pihak lain. Apa lagi
kalau sampai timbul sikap menghalalkan darah dan berperang sama Islam,
sebagaimana yang telah dilakukan oleh Muhammad ibn ‘Abdul Wahhab yang
berperang menjatuhkan Turki ‘Uthmaniah yang menyebabkan sampai sekarang
umat tidak mempunyai khilafah seperti anak-anak tanpa bapa. Dan pihak
musuh cenderung untuk membiarkan pemikiran seperti ini supaya Islam
hancur dari dalam, asalkan pihak mereka pula tidak terjejas. Lain
halnya kalau sesuatu perkara itu sudah diijma’kan salahnya, maka
perlulah itu dinyatakan dengan terang.
Demikian pula tidak perlu dikatakan syirik kepada
mereka yang mengadakan aturan-aturan duniawi dalam mana-mana bidang
kegiatan seperti komunikasi, pengangkutan, pertanian, dan yang
sepertinya yang berupa aturan-aturan profesi yang menjayakan bidang
yang berkenaan sesuai dengan tabiat kemahiran demikian itu. Mereka yang
mengadakan aturan-aturan itu demi untuk menjaga kejayaan bidang-bidang
itu – asalkan ianya tidak berlawanan dengan kehendak agama yang mahu
menjaga kemaslahatan nyawa, agama, maruah, harta, keturunan manusia,
keamanan dan apa juga yang diperlukan - bukannya boleh ditafsirkan
sebagai “merampas” Hakimiyyatu’Llah atau Kuasa membentuk Aturan yang
ada pada Allah - oleh itu perbuatan mereka itu berupa kesyirikan. Kita
perlu mengelak diri daripada kecenderungan Khawarij yang sedemikian itu
yang telahpun mengakibatkan kegetiran dalam sejarah da’wah di setengah
negara di Asia Barat. Perkara sedemikian tidak perlu kita
mengulanginya di tempat lain.
Perkara yang seperti ini disentuh dengan baiknya
oleh Hasan al-Hudaibi rh dalam bukunya yang terkenal itu iaitu “Du’atun
la Qudah” (Pendakwah Bukan Penghukum).
Perbincangan tentang kesyirikan tidaklah perlu terlanjur sampai timbul dakwaan-dakwaan dan tuduhan-tuduhan, antaranya seperti:
- syirik kecil itu sebahagian yang tidak terpisah daripada syirik besar, yang membawa kepada menghalalkan darah orang yang terlibat di dalamnya;
- atau tuduhan bahawa kefahaman ulama Ahlis-Sunnah tentang tauhid umumnya salah;
- atau Abu Jahal lebih mengetahui tentang la ilaha illa’Llah daripada ulama Islam;
- atau tuduhan bahawa kesyirikan di muka bumi bermula dengan perbuatan ahli ilmu dan agama, kerana mereka cinta kepada para wali;
- atau tuduhan bahawa para kufar yang mengetahui tentang kekufuran mereka adalah lebih baik terbimbing daripada orang-orang yang beriman -inna’l-kuffara ‘lladhina ya’rifuna kufran ahda sabilan minal-mu’minin<
- atau tuduhan “Keadaan sedemikian merusutnya sehingga sampai, di kalangan kebanyakan manusia, menyembah orang-orang agama adalah amalan yang paling baik, disebutkan sebagai kewalian, manakala menyembah ulama fikah dikatakan sebagai ‘pengetahuan dan ilmu fikah’. Kemudian keadaan menjadi merusut lagi sampai orang-orang yang tidak auliya’ pun disembah selain dari Allah, dan pada darjah kedua pula, mereka yang jahil”
- Juga tuduhan yang menyatakan bahawa sya’ir Burdah oleh al-Busiri sebagai sesuatu yang berupa kesyirikan (kerana memuji nabi s.a.w. -p).
- atau tuduhan bahawa panggilan “qadil-qudah” - kadhi dari sekelian kadhi - sama dengan “Syahin-syah- raja sekelian raja” (yang membawa kepada menghukumkan orang yang berkenaan kafir)
- atau sampai membawa kepada fahaman bahawa Allah s.w.t. mempunyai Dua Tangan, tangan kanan memegang langit dan yang satu lagi memegang bumi.”
Kesimpulan:
Sebagai kesimpulannya kita melihat bahawa tauhid yang berasaskan kenyataan:
لا اله الا الله
atau kenyataan:
شهد ان لا اله الا الله و اشهد ان محمدا رسول الله
“tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan
Allah, dan Muhammad adalah Rasulullah” atau “aku menyaksikan bahawa
tidak ada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, dan
aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah” itu membawa
maksud dan keyakinan bahawa hakikat yang sebenar-benarnya hanya satu
sahaja, iaitu Allah, dan Ia Tuhan Yang Maha Esa, yang kita sembah.
Keredhaan Dia sahaja terakhirnya yang kita cari; KehendakNya sahaja
yang kita ikut; hakikat ini mendatangkan kesan pada faham alam kita,
faham ilmu, dan faham nilai. Ini yang menentukan konsep kita tentang
kehidupan, budaya, tamadun, ilmu, dan nilai. Inilah yang menentukan
ibadat, hidup rohani, akhlak, peraturan hidup, serta perjuangan dalam
kehidupan individu, dan kolektif serta ketamadunan kita. Sepatutnya
inilah hakikat dan prinsip yang memartabatkan dan memuliakan kita dari
dunia sampai ke alam yang kekal abadi. Inilah yang menyatupadukan serta
menguatkan kita dalam percaturan hidup, bukan sebaliknya. Kesyirikan
ialah mempelbagaikan Tuhan yang berupa dosa dan jenayah terbesar,
diikuti oleh syirik kecil memuja nafsu dan keinginan sendiri yang
membawa kepada penyelewengan hidup dengan pelbagai perkara negatif
dalam hidup individu, kolektif serta budaya dan ketamadunan.
Pengembalian semula kepada kefahaman yang tepat dan meluas tentang
tauhid serta penghayatannya yang menyeluruh dengan
implikasi-implikasinya, dengan penolakan syirik dalam fahaman dan
amalan sejauh-jauhnya, dalam rangka fahaman dan amalan hidup Sunni,
inilah yang menjamin kejayaan dan kebahagiaan sesungguhnya; dan inilah
yang menentukan nasib sebenarnya bagi diri dan umat kita.
Wallahu a’lam.
0 komentar:
Posting Komentar