Saat Berpisah
PASRAH
Tuhan,
Pada Mu aku pasrah
akur, alah dan menyerah
Seluruhnya sudah pudar
cintaku kian tercalar
Pada Mu aku pasrah
akur, alah dan menyerah
Seluruhnya sudah pudar
cintaku kian tercalar
Tuhan,
Senjaku semakin dekat
Di sumur dosa aku melarat
di hujung umur kupasti kembali
sedang hatiku tak suci lagi
Senjaku semakin dekat
Di sumur dosa aku melarat
di hujung umur kupasti kembali
sedang hatiku tak suci lagi
Tuhan,
Langkahku entahkan mati
mendaki kasihMu nan tinggi
namun cintaku bukan palsu
walaupun sering terganggu
Langkahku entahkan mati
mendaki kasihMu nan tinggi
namun cintaku bukan palsu
walaupun sering terganggu
Tuhan,
kekadang terasa sayang-Mu
bersama kurnia hidayah
kekadang terasa murka-Mu
seiring patahnya mujahadah
kekadang terasa sayang-Mu
bersama kurnia hidayah
kekadang terasa murka-Mu
seiring patahnya mujahadah
Tuhan,
terlerai ribuan taubatku
terungkai semua janjiku
kataku sering mungkir
CintaMu sering terpinggir
terlerai ribuan taubatku
terungkai semua janjiku
kataku sering mungkir
CintaMu sering terpinggir
Tuhan,
Aku masih setia
mengemis di jendela usia
terus mencari wajah diri
menadah keampunan Ilahi!
Aku masih setia
mengemis di jendela usia
terus mencari wajah diri
menadah keampunan Ilahi!
(Dipetik dari Nukilan Ustaz Pahrol Mohd Juoi)
Sebaik-baik penasihat ialah kematian. Namun, mana mungkin orang
yang pernah mati datang kepada kita untuk menasihatkan? Mengingatkan
mati, menakutkan. Manusia akan takut pada apa yang tidak diketahuinya.
Semuanya masih misteri. Hanya tinggal Al Quran dan Al Hadis untuk
kita rujuk bagi mengetahui tentang kematian. Namun berapa kerat antara
kita yang berbuat demikian… Cerita tentang kematian akan mematikan rasa
kemanisan menikmati hidup ini. Dan akibatnya, mati terus mati dalam
hidup kita!
Jika seseorang mengingati mati, akan mudah hatinya dilentur
kepada makrufat dan makrifat. Jika mengingati kematian jiwa akan jeran
dan bosan dengan maksiat dan sayyiat (perkara yang buruk). Jika mati itu
hidup di dalam hati kita…kita akan mudah memberi dan meminta maaf. Kita
akan mudah bersabar dan bertenang dengan karenah insan. Nikmat dosa
akan sirna dengan mengingati mati. Azab taat akan kecil bila teringat
saat kembali.
Ketika hatimu jemu dengan ketaatan, mula tergiur dengan kemaksiatan… kenang-kenangkanlah SAAT BERPISAH
Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk
saat itu. Kita datang tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila
sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup
pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan.
Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!
Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini?
Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi.
Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak
memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif
tentang kehidupan:
“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”
Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru,
hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan
dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman.
Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi
berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang
justeru jiwanya sudah di seberang.
Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan
pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu
gembira, jangan terlalu berdukacita.
Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada
kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul
air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan
kita terang… untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.
Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah
berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah
kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi.
Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan.
Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan
mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu
kata hukama:
“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”
Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam.
Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan
menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata
orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh… Tuhan mencipta manusia dengan
kebijaksanaan berbeza.
Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti. Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu.
Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di
belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan.
Nikmat dunia akan kita lupakan sebaik sahaja melihat azab di akhirat.
Dan azab di dunia akan kita lupakan setelah melihat nikmat di akhirat.
Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan
kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya
proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti
kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.
Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya
sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita
bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita
di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!
Pada kita, cuma pasrah…
0 komentar:
Posting Komentar