Nasihatku Untukmu
Firman Allah Ta’ala :
Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran. (QS. al’asr 103:1-3)
Dari Tamim ad-Dari radiyallahu anhu : Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam bersabda ;
“Agama
itu adalah nasihat”, kami bertanya, : “kepada siapa”? Beliau menjawab :
“untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat islam dan bagi
seluruh kaum muslimin”. (Shahih : HR Imam Muslim no. 55)
Dua
dalil di atas merupakan antara banyak dalil yang menunjukkan kepentingan
memberi nasihat. Nasihat merupakan tunjang dalam islam, sehinggakan
Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam menjelaskan bahawa agama itu adalah
nasihat. Beliau juga menjelaskan dengan terperinci kepada siapa nasihat
itu perlu disampaikan. Bermula dari Allah, Kitab dan seterusnya
sebagimana hadits di atas. Dengan itu, maka orang-orang yang menganut
agama islam akan merasakan kenikmatan dan rahmat kerana memeluk islam.
Dengan
nasihat, segala yang buruk bertukar menjadi baik. Segala yang tercela
dirubah menjadi mulia, segala yang haram dirubah menjadi halal, dan
begitulah seterusnya, segala hal-hal yang berunsur negatif dirubah
dengan nasihat menjadi positif. Tidakkah ini dinamakan rahmat?
Dinukil dari kitab Syarah Arba’in an-Nawawiyah oleh Ibnu Daqiqil ‘Ied. Beliau berkata :
“Nasihat
itu adalah segala hal yang baik (bermakna segala hal yang mewujudkan
kebaikan). Kalimat ; Agama adalah nasihat maksudnya adalah tiang dan
tunjang agama sebagaimana sabdanya “haji adalah arafah ” yang bermaksud
wukuf di arafah adalah tiang dan bagian terpenting haji.” (Syarah
Arba’in hadits yang ke-7 oleh Ibnu Daqiqil ‘Ied)
Begitulah
keterangan mengenai, nasihat itu merupakan tujang dan perkara penting di
dalam agama. Itulah syariat dari Allah jalla Wa ‘ala kepada hamba-Nya,
betapa Bijakasana dan Mulia nya Allah, Tuhan yang maha Adil.
Firman
Allah “nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat
menasehati supaya menetapi kesabaran”, Allah menetapkan bahawa manusia
tidak akan berada di dalam kerugian selagi mana dia melaksanakan 4
perkara di dalam surah al-‘asr ini dan di antaranya berpesan-pesan,
nasehat menasehati. Maka apabila dia melaksanakan hal tersebut, dia
tidak akan merugi.
Dan nasihat merupakan salah satu dari syarat
kesempurnaan Iman seseorang hamba. Adakah kita mahu memiliki sesuatu
barang yang tidak sempurna sifat dan dztanya, pasti tidak! Begitulah
juga dengan keimanan, pastinya kita tidak mahu iman yang tidak sempurna,
dengan itu nasihat-menasihati merupakan salah-satu syarat kesempurnaan
iman. Dengan nasihat menasihati, maka manusia akan sentiasa berkasih
sayang.
Orang yang menasihati memiliki sifat belas kasihan kepada
orang yang dinasihati, kerana orang yang dinasihati mungkin melakukan
kesalahan dan kesilapan. Dan orang yang dinasihati sedar akan
kesalahannya dan berterima kasih orang yang menasihati kerana kejujuran
dan sifatnya yang mulia. Maka di sini wujudlah kasih sayang antara
mereka.
Ini berdasarkan hadits dari Anas bin Malik radiyallahu anhu, sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam :
“Tidak
beriman seseorang di antara kamu sehingga dia mencintai milik
saudaranya seperti mana dia mencintai miliknya sendiri”. (Shahih : HR
Imam Bukhari no. 13 dan Imam Muslim no. 45)
Untuk menyatakan
bahawa seorang muslim menyintai kebaikan pada dirinya dan dia
menginginkan kebaikan kepada saudaranya, pastinya dengan jalan memberi
nasihat.
Terdetik di hati kecilku untuk menegur dan menasihati
saudaraku seagama dalam beberapa hal yang terlihat padaku kesalahan yang
boleh mengakibatkan keburukan yang lebih besar. Risalah kecil ini, aku
titipkan untuk kalian (aku tulis dan tinggalkan untuk antum) dengan
penuh rendah diri dan aku mengharapkan pertolongan Allah agar antum
mengenal kebenaran dan memperbaiki kesalahan dari diri-diri antum.
Bukanlah bermakna ana menghakimi antum, akan tetapi jika perbuatan di
antara antum jelas-jelas menyelisihi al-Quran dan Sunnah, adakah antum
ingin katakan antum benar dan ana salah kerana menasihati antum? Hanya
orang yang sempurna kebodohan dan hilang aqalnya saja yang berani
mengucapkan hal tersebut.
Beberapa hal yang ana ingin sampaikan ialah :
Nasihat pertama : Perbetulkan aqidahmu
Majoriti
ikhwah yang ana tanyakan, “sebutkan 5 nama ulama ahlu sunnah wal
jamaah”, kebanyakan dari mereka gagal memberikan jawapan. Tidak kurang
juga yang ragu dengan jawapan mereka berikan. Lalu ana tanyakan “jadi
bagaimana antum boleh mengatakan antum ahlu sunnah wal jamaah, sedangkan
antum tidak mengenal ulama ahlu sunnah?”.
Ana juga pernah
bertanya, “berapa banyak kitab aqidah yang antum pernah pelajari?”.
Rata-rata tidak menjawap, boleh jadi mereka tidak tahu apa itu kitab
aqidah. Ada juga ana bertanya, “kitab aqidah apa yang telah antum
telaah?”. Ada yang mengembalikan jawapan ini kepada ana lalu ana
sebutkan sebahagian yang telah ana pelajari melalui pembacaan dan
talaqqi.
Dan pertanyaan sering ana tanyakan, yang menunjukkan sah
atau tidak iman seseorang itu, atau adakah dia layak dikatakan mukmin
atau mukminah. Pertanyaan asas iaitu “selama antum hidup 10 dan 20 tahun
ni, dan antum pelajari mengenai Allah, di mana Allah?”. Berbagai
jawapan ana terima, ada yang menjawap Allah tidak bertempat, Allah di
mana-mana, Allahu a’lam (aku tidak tahu).
Lihatlah wahai
saudaraku, betapa banyak kaum muslimin yang tidak mengenal aqidah yang
sahih. Masakan ingin mengenal aqidah yang sahih, ulama yang sepatutnya
dia mengambil ilmu pun tidak dia kenal, karangan-karangan dan
peninggalan mereka, iman yang benar atau tidak, pun ini tidak diketahui
bagaimana ingin dikatakan mereka mengenal aqidah yang sahih? Lalu
bagaimana keadaan mereka sehari-hari dalam meniti kehidupan dan ingin
menjadi orang yang soleh, namun tidak memulai dengan aqidah yang sahih
dan usaha untuk memahaminya serta, apa yang mereka lakukan untuk
mewujudkan kesolehan dalam diri mereka?
Nasihatku kepadamu wahai
saudaraku, ubahlah keadaan dirimu. Jadilah thulabul ilmi (penuntut
ilmu), seringlah antum mengkaji kitab-kitab aqidah dan manhaj. Carilah
buku-buku para Imam Mujtahid (inilah yang mudah bagi antum), kerana
telah banyak tersebarnya buku-buku ini. Dan yang terpenting, antum
mengenal siapa ulama ahlu sunnah dan kitab-kitab mereka. Kerana telah
tersebar saat ini pembohongan dan penipuan dari tangan-tangan keji dan
kotor para al-Kadzdzab (pendusta) mengenai manhaj Ahlu sunnah. Untuk
memudahkan antum, kajilah dan carilah kitab ini, semuanya telah
diterjemahkan
1) Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafii
2) Ushulus Sunnah oleh Imam Ahmad bin Hanbal
3) Al-Ibanah an-Ushulid diyanah oleh Imam Abul Hasan asy’ari
4) Aqidah Salaf ashabul hadits oleh Imam Abu Ismail as-Shobuni
5) Ahlu Sunnah I’tiqad wa I’tiqad ad-Dien oleh Imam Ibnu Abi Hatim Ar-Razi
6) Aqidah Ath-Thahawiyah oleh Imam Abu Ja’far ath-Thahawi
Ada
yang bertanya, “kenapa perbesarkan hal ini, bukankah mereka beriman
kepada Allah dan rasul serta rukun-rukun yang lain?”. Ana menjawab
“benar”, akan tetapi keimanan yang sah adalah mengimani dan membenarkan
keseluruhan risalah yang diturunkan tanpa mengubah dari yang asalnya.
Perhatikan dalam persoalan Di mana Allah, Allah telah mengkhabarkan di
dalam al-Quran pada enam tempat. Kemudian hadits-hadits yang sahih
menyatakan bahawa Allah berada di atas langit yang ketujuh, istiwa’ di
arsy-Nya.
Namun hakikat orang yang beriman yang dijumpai pada
hari ini, mereka menjawab jawapan selain yang dinyatakan oleh Al-Quran
dan Sunnah, adakah benar imannya itu?
Jawapan yang muncul
membuktikan bahawa mereka itu, tidak kira waimma dia seorang ustaz,
da’ie, orang awam, mereka tidak memberikan jawapan yang bertepatan
dengan manhaj Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Silakan antum menyemak Tafsir Ibnu
Katsir pada ayat ke 54 Surah al-A’raf. (InsyaAllah akan ada risalah
khusus dalam membahaskan masalah ini)
Kemudian perhatikan pula,
mereka-mereka yang tidak mengenal ulama ahlu sunnah. Andai kata datang
satu guru yang berfahaman Murji’ah dan mengatakan kepada mereka bahawa
keimanan manusia itu absolute, tidak bertambah dan berkurang.
Perbuatannya tidak mempengaruhi imannya, waimma dia memaki nabi, mencela
al-Quran dan seterusnya. Adakah benar iman orang yang menuntut darinya?
Jika dia menuntut ilmu dari seorang murji’i, maka jadi murji’ah lah
dia, jika dia menuntut dari seorang syi’i, maka menjadi syiah lah dia.
Jadi adakah kita perlu mendiamkan diri dan membiarkan manusia terjebak
ke dalam kesesatan oleh kerana tidak mengenal ulama sunnah dan manhaj
ahlu sunnah?
Keimanan yang sah adalah mengimani segala keterangan
yang diturunkan oleh Allah dan mengikut ajaran Nabi Shallallahu ‘alaihi
Wa Sallam. Kerana di akhir zaman, banyaknya orang yang mendakwa
mengikut al-Quran dan Sunnah, namun hakikatnya perlakuan mereka bertolak
belakang (bertentangan) dengan al-Quran dan Sunnah. Andai kata dalam
persoalan khilaf, itu tidak perlu dipersoalkan, Cuma saja perlu
difahamkan dahulu bahawa khilaf itu adakah dibenarkan oleh syariat atau
tidak. Apakah khilaf itu berkaitan dengan aqidah atau tidak. Apakah ia
seputar (berhubung) perbezaan memahami nash atau tidak. Apakah ia khilaf
kerana fanatik dan ta’shub dalam hal ketiadaan dalil, dan begitulah
seterusnya.
Nabi telah mengkhabarkan bahawa di akhir zaman, akan
terjadi perubahan kepada ajaran-ajaran beliau. Sebagaimana disebutkan di
dalam hadits Hudzaifah al-Yamani radiyallahu anhu:
Aku bertanya :
“apakah setelah keburukan itu ada kebaikan”, beliau menjawab, “ya,
namun di dalamnya ada asap (dakhan)”. Aku bertanya lagi, “apa asapnya
itu”? Beliau menjawab, “adanya suatu kaum yang mengikuti sunnah selain
sunahku dan mengambil petunjuk selain petunjukku. Kamu dapat mengenali
mereka dan kamu akan mengingkari mereka”. (Shahih : HR Imam Bukhari no.
3338 dan Imam Muslim no. 1847)
Inilah hakikat Islam pada hari
ini, pangkal kesesatan mereka adalah mengubah ajaran agama dan syariat.
Adakah hal ini perlu didiamkan? Dan membiarkan seruan sebahagian orang,
“biarkanlah mereka, mereka pun solat dan menunaikan tuntutan yang lain”?
Ana melihat ini merupakan satu kesalahan kerana bertentangan dengan
al-Quran dan hadits. Padahal Allah memerintahkan supaya hamba-Nya
berpegang kepada agama-Nya dan mentaati Rasul-Nya, dan bukan selainnya.
Firman Allah
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah,”(QS. ali-Imran 3:103)
“Barangsiapa
taat kepada Allah dan Rasul-Nya, niscaya Allah memasukkannya kedalam
syurga yang mengalir didalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di
dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar.”(QS. an-Nisaa’ 4:13)
Dan
para ulama sendiri telah memperingatkan tentang hal ini, ana hanya
menukil dari mereka dan ana sampaikan para antum akan hakikat kebenaran
ini. Bahkan Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam telah menyatakan bahawa
hal ini akan terjadi dan beliau perintahkan supaya kita kembali kepada
agama dengan cara mentaati sunnahnya dan sunnah khulafa’ ar-Rasyidin.
Hadits dari Irbadh bin Sariyah radiyallahu anhu, Nabi bersabda :
“Sesungguhnya
sesiapa di antara kalian kelak yang hidup (berumur panjang), maka akan
melihat perselisihan yang banyak. Maka berpegang teguhlah dengan
sunnahku dan sunnah khulafa’ rasyidin yang mendapat petunjuk..”(Shahih :
HR Imam Abu Daud no. 4608, at-Tirmidzi no. 2676, Imam Ibnu Majah no.
44. Dan takhrij hadits ini telah dijelaskan oleh Syaikh Salim ‘Ied
al-Hilali di dalam kitabnya Limadza Ikhtartu Manhaji as-Salaf)
Cubalah
antum perhatikan kitab-kitab karangan mereka, Ushul I’tiqad Ahlu Sunnah
Wal Jamaah, Ushulus Sunnah. Akan jelas bagi antum bahawa mereka
memperingatkan kita supaya berpegang dengan manhaj Ahlu Sunnah wal
Jamaah. Amat sedikit sekali orang yang memperjuangkan aqidah yang sahih
di zaman ini. Bagaimana tidak, aqidah yang sahih saja tidak dikenal,
bagaimana ingin mendakwahkannya??
Jadi kembalilah kita kepada
agama berdasarkan kepada kefahaman yang benar. Pemahamannya para sahabat
dan 3 generasi terawal umat ini. Merekalah Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Maka
memahami agama dengan menggunakan manhaj mereka bermakna kita telah
berpegang teguh dengan sunnah nabi dan sunnah Khulafa’ ar-Rasyidin. Dan
inilah rekomendasi dari Nabi kepada kita umat akhir zaman dalam
mengeluarkan diri dari belengu perpecahan dan pertikaian, masing-masing
mengatakan merekalah yang benar, namun bertentangan dengan ajaran nabi
kepada para sahabatnya.
Nasihat kedua : Perbetulkan Ibadahmu
Majoriti
kaum muslimin pada hari ini tidak mengendahkan syarat-syarat diterima
sesuatu ibadah. Sedangkan mereka dijadikan tidak lain adalah untuk
tujuan ini, iaitu beribadah kepada Allah. Berdasarkan kepada firman
Allah ;
“(Tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan
diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada
sisi Tuhannya dan tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak
(pula) mereka bersedih hati.”(QS. al-Baqarah 2:112)
Para ulama
telah menerangkan tentang syarat-syarat diterimanya ibadah, beradasarkan
kepada dalil al-Quran dan Sunnah. Merujuk kepada ayat di atas sudah
cukup untuk menjelaskan syarat-syarat diterimanya sesuatu ibadah.
Pertama, Ikhlas kepada Allah. Kedua, mengikuti petunjuk nabi.
Hal
ini telah dijelaskan para ulama antaranya Mufassirin yang hebat Ibnu
Katsir, ketika menafsirkan ayat 112 surah al-Baqarah, beliau berkata :
“Dan
berkata Sa’id bin Jabir : ayat bahkan barangsiapa yang menyerahkan
bermakna mengikhlaskan, kemudian ayat wajhahu diri bermakna agamanya,
dan ayat sedang ia berbuat kebajikan bermakna mengikut petunjuk (amalan)
Rasulullah. Kerana bagi setiap amalan hanya diterima dengan 2 syarat.
Pertama hendaklah dia mengikhlaskan (amalnya) kerana Allah semata-mata
dan yang kedua, benar dan menepati syariat. Apabila amal hanya disertai
dengan niat yang ikhlas namun tidak benar (menepati syariat), tetap
tidak diterima. Oleh kerana Rasulullah telah bersabda “Barangsiapa yang
beramal dengan suatu amal yang tidak kami perintahkan maka ia tertolak”,
riwayat Muslim dari hadits Aisyah Radiyallahu ‘anha.” (Tafsir Quranil
‘Azhim oleh Ibnu Katsir di dalam ayat 112 surah al-Baqarah)
Tentang
hal ini, ana meringkaskan dengan membuat perbandingan ibadah yang
diajarkan oleh nabi dan sebahagian ibadah yang dilaksanakan oleh
sebahagian kaum muslimin. Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam menyebutkan
bahawa “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” (Shahih : HR
Imam Bukhari no. 5549). Perhatikan beberapa hal di bawah
Pertama : Tatacara nabi bertakbir
“Baginda
mengangkat kedua tangannya dengan membuka jari-jemarinya lurus ke atas,
tidak merenggangkannya dan tidak pula mengenggamnya”. (Shahih : HR Imam
Abu Daud, Hakim no. 821, Imam Ibnu Khuzaimah no. 446, disahihkan oleh
Imam Hakim dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi)
Inilah petunjuk
nabi, bahawa ketika bertakbir, beliau mengangkat kedua tangannya dan
jari jemarinya lurus ke atas. Namun perlakuan sebahagian kaum muslimin,
sebaliknya. Tapak-tapak tangan mereka yang lurus ke atas mengadap ke
langit. Jelas-jelas ini satu kesalahan. Dan juga terlalu menggenggam dan
merenggang.
Apabila ditanyakan kepada mereka dari mana kamu
belajar, mereka menjawab kami belajar ketika di sekolah dahulu. Dan
apabila dijelaskan kepada mereka, mereka melenting dan kemudian membidas
dengan mengatakan, “apakah kamu menuduh kami salah selama ini?”. Ana
katakan jika antum benar, buktikan hujah dan dalil antum yang Nabi
mengajarkan sedemikian. Dan juga buktikan bahawa amal antum bakal
diterima oleh Allah?
Namun hakikatnya berlainan dengan keadaan
semasa, majoriti ulama mengatakan bahawa amal yang soleh yang diterima
itu adalah apabila ikhlas dan mengikut sunnah.
Kedua : Tatacara menggerakkan jari ketika tasyahhud
Dari Abdullah bin Zubair radiyallahu anhu,
“Biasa
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam apabila duduk pada dua
(rakaat) atau empat (rakaat) ia letakkan kedua tangannya atas kedua
lututnya, kemudian beliau berisyarat dengan jari (telunjuk)nya”. (Shahih
: HR Imam Nasa’ie, Imam Baihaqi)
“Biasa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi Wa Sallam apabila duduk pada duduk tasyahhud ia letak tangnnya
yang kanan di atas pahanya yang kanan, dan tangan kirinya di atas
pahanya yang kiri, lalu beliau berisyarat dengan jari telunjuknya, dan
pandangannya tidak melampaui isyaratnya.” (Hasan Shahih : HR Imam Ahmad
dan ini lafaznya, Imam Nasa’ie)
“Biasa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi Wa Sallam apabila duduk daam dua rakaat beliau hamparkan kaki
kirinya dan menegakkan kkai kanannya dan dia letakkan ibu jarinya di
jari tengah, dan beliau berisyarat dengan jari telunjuknya, dan dia
meletakkan telapak tangan kirinya di atas paha kirinya dan telapaknya
itu menutup lututnya.” (Shahih : HR Imam Muslim dan Imam Ibnu Hibban no.
1934 dan inilah lafaznya)
Beberapa perkara yang ana ingin
sampaikan di sini, pertama tentang tempat letaknya ibu jari. Di dalam
hadits ini diterangkan bahawa ibu jari diletakkan pada jari tengah.
Dalam
sebahagian riwayat “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam
melingkarkan ibu jari dan jari tengahnya” sebagaimana yang disebutkan
oleh Imam Ibnu Majah no. 912. Ini bermakna tempatnya ibu jari adalah bertemu dengan jari tengah dan membentuk lingkaran. Kedua
kedudukan mata, petunjuk dari Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam adalah
kedudukan mata itu pada jari telunjuk. Ketiga jari telunjuk
diisyaratkan saat mulai duduk tasyahhud dan bukannya pada lafaz Allah di
dalam tahiyyat lalu digerakkan ketika itu. Ini jelas merupakan satu
kekeliruan yang lahir dari kurangnya ilmu dalam melaksanakan ibadah
solat pada Allah.
Di sini ana tidak membawa pendapat yang rajih
mengenai apakah perlu digerakkan jari dari mulai duduk atau sekadar
mengisyaratkannya saja walaupun ana memilih untuk menggerak-gerakkan.
Jika
ingin dinilai dari setiap 13 rukun solat, pasti akan panjang risalah
ini. Namun ana hanya bataskan hanya pada 2 persoalan ini, sekadar ingin
membuka mata saudara-saudaraku mengenai hakikat petunjuk Nabi dalam
beribadah kepada Allah. Dan membezakan amalan seharian kita dengan
petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam, apakah kita selama ini
berlajar berdasarkan ilmu pengetahuan atau sekadar ikut-ikutan,
berdasarkan dalil atau kata-kata ustaz. Dan begitulah seterusnya.
Di
dalam Islam, Allah menuntut pada hamba-Nya supaya mengikuti petunjuk
nabi-Nya dan kemudian beramal berdasarkan kepada hujah dan dalil. Imam
Bukhari meletakkan satu bab yang khusus di dalam kitabnya yang agung
Shahih Bukhari, iaitu bab al-Ilmu Qablu al-Qaul Wa ‘amal (Ilmu dituntut
sebelum berkata dan beramal). Lihatlah kaum muslimin saat ini, adakah
mereka beramal dengan ilmu atau sebaliknya?
Cukuplah ana
membawakan ayat al-Quran ini untuk kita sama-sama muhasabah diri kita,
andai kata kita seorang yang mencintai Allah dan rasul-Nya, maka
selayaknya kita melaksanakan perintah ini, firman Allah :
“Katakanlah:
"Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad),
niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. ali-Imran 3:31)
Mengikut
petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam merupakan jalan keselamatan
dan inilah jalannya para sahabat, sedangkan meninggalkan petunjuknya
merupakan jalan menuju kecelakaan dan menuduh bahawa Nabi telah berlaku
khianat terhadap risalah.
Allahu a’lam
Maraji’ (Rujukan)
1) Mengapa Memilih Manhaj Salaf Syaikh Salim ‘Ied Al-Hilali
2) Solatlah Kamu Sebagaimana Kamu Melihat Aku Solat, Ust Rasul Dahri
3) Wuduk Dan Solat Menurut Mazhab Syafi’ie, Ust Abu Ruwais
4) Kitab Tauhid, Syaikh Shalih Fauzan
5) Syarah Arbai’in Nawawiyah, Ibnu Daqiqil ‘Ied
6) Hadits-Haidts Beserta Syarah Dan Kitab Tafsir, Software Maktabah Syamila
7) Al-Masaail, Ust Abdul Hakim Amir Abdat
1) Mengapa Memilih Manhaj Salaf Syaikh Salim ‘Ied Al-Hilali
2) Solatlah Kamu Sebagaimana Kamu Melihat Aku Solat, Ust Rasul Dahri
3) Wuduk Dan Solat Menurut Mazhab Syafi’ie, Ust Abu Ruwais
4) Kitab Tauhid, Syaikh Shalih Fauzan
5) Syarah Arbai’in Nawawiyah, Ibnu Daqiqil ‘Ied
6) Hadits-Haidts Beserta Syarah Dan Kitab Tafsir, Software Maktabah Syamila
7) Al-Masaail, Ust Abdul Hakim Amir Abdat
0 komentar:
Posting Komentar