Jadilah Rekan Yang Baik
Dalam hidup ini kita pasti akan memerlukan teman atau dipanggil
sebagai rakan. Merekalah yang akan menjadi teman semasa kita masih hidup
di dunia ini. Rakan yang baik akan sentiasa membimbing kita ke arah
kebaikan.
Dalam kita berkawan
biarlah ikhlas dan bukannya bersebab. Kita hendaklah sentiasa berusaha
untuk melakukan kebaikan kepada rakan kita tanpa mengharapkan apa-apa
balasan kembali darinya. Biarlah Allah S.W.T yang membalas kebaikan yang
kita lakukan.
Adab dalam berkawan memang perlu sentiasa dijaga
supaya hubungan persabahatan yang dibina akan berkekalan sampai
bila-bila. Kita akan dapat mengenali siapa rakan-rakan yang benar-benar
ikhlas berkawan dengan diri kita di waktu susah dan juga senang.
Kawan
yang ramai sememangnya boleh dicari. Itu memang benar. Dimana-mana
sahaja tempat kita boleh berkenalan dengan orang lain. Rakan-rakan
sekampung, rakan sekolah, rakan universiti, rakan tempat kerja dan
banyak lagi rakan-rakan lain yang boleh kita jumpa dimana-mana. Pepatah
ada mengatakan berkawan biar seribu, bercinta biar satu.
Kehidupan
kita dan rakan-rakan kita adalah saling memerlukan antara satu sama
lain. Rakan-rakan boleh menjadi tempat untuk kita berkongsi masalah.
Rakan yang terbaik akan menjadi pendengar yang baik dan akan cuba
membantu menyelesaikan masalah yang kita hadapi.
Kita juga boleh
meminta pandangan dari rakan-rakan kita terhadap perkara yang kita tidak
tahu. Hargailah pandangan yang diberikan oleh rakan kita walaupun
adakalanya kita tidak bersetuju.
“Waktu
kita dalam keadaan senang, rakan-rakan akan mengenali kita. Waktu kita
dalam kesusahan, kita akan mengenali siapa rakan-rakan kita.”
Masa
senang adalah masa yang paling disukai oleh sesiapa sahaja. Pada waktu
senang ramai rakan-rakan akan bersama dengan kita. Mereka akan berasa
seronok dapat berkawan dengan kita. Kita juga akan berasa seronok
mempunyai rakan-rakan yang ramai. Semua orang akan rasa gembira apabila
berada pada waktu senang.
Tetapi langit tidak selalu cerah. Kita
akan diuji oleh Allah S.W.T dengan kesusahan. Pada waktu susah tidak
ramai orang yang dapat membantu diri kita. Pada waktu ini juga kita akan
dapat menilai siapakah yang benar-benar ikhlas berkawan dengan diri
kita. Ramai rakan-rakan akan lari meninggalkan diri kita kerana
kesusahan yang kita alami.
Jika masih ada rakan-rakan yang setia
bersama dengan kita itulah rakan-rakan yang benar ikhlas dan hubungan
persahabatan yang dibina. Mereka akan cuba membantu kita mengikut
kemampuan diri mereka. Bersyukurlah kita jika mempunyai rakan-rakan yang
setia bersama dengan kita di waktu susah.
Hargailah rakan-rakan
yang masih ada bersama dengan diri kita. Jika kita tidak pandai untuk
menghargai rakan-rakan kita, sudah tentu mereka akan pergi meninggalkan
kita. Berbuat baiklah kepada rakan-rakan kita mengikut kemampuan diri
kita. Sentiasa mengambil berat kepada diri mereka.
Contoh hubungan
persahabatan terbaik yang perlu kita contohi adalah sahabat-sahabat
seperjuangan Rasulullah S.A.W seperti Abu Bakar As-Siddiq Umar Al
Khattab, Usman Bin Affan, Ali Bin Abi Talib dan sahabat-sahabat nabi
yang lain.
Mereka bersahabat kerana Allah S.W.T dan berjuang
bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W untuk menegakkan agama Islam. Tidak
kira di waktu susah atau pun senang mereka akan tetap berjuang bersama
dengan Rasulullah S.A.W. Itulah contoh sahabat terbaik yang perlu kita
contohi.
Semoga hubungan persahabatan yang kita jalinkan bersama
dengan rakan-rakan kita akan sentiasa diberkati oleh Allah S.W.T.
Berdoalah untuk kesejahteraan rakan-rakan kita. Jika ada diantara
rakan-rakan kita yang melakukan kesalahan maka masing-masing perlu
mengingatkan antara satu sama lain.
0 komentar:
Posting Komentar