Jangan Kata Kamu Beriman Sebelum Kamu Diuji
DALAM sebuah hadis yang diriwayatkan
oleh Thabrani daripada Abu Umamah, Allah berfirman kepada malaikat-Nya
bermaksud : "Pergilah kepada hambaKu. Lalu timpalah bermacam-macam
ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya."
Hadis di atas menjelaskan bahawa
Allah SWT memerintahkan malaikatNya yang tidak pernah menderhaka dan tetap
melaksanakan apa yang Allah SWT perintahkan kepada mereka untuk melakukan
pelbagai ujian dan dugaan terhadap hamba-hambaNya. Dengan dugaan dan ujian ini,
diharapkan akan terkeluarlah suara hamba itu. Namun begitu, sekiranya tidak
terkeluar suara hamba itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sesuatu yang
tersembunyi dalam hati hambaNya. Sesungguhnya kehidupan ini tidak sunyi
daripada kesenangan dan kesusahan, kesukaan dan kedukaan yang silih berganti.
Oleh itu, barang sesiapa yang beranggapan kehidupan ini adalah kesenangan,
kemewahan semata-mata atau penuh dengan kesukaran dan kesusahan selama-lamanya,
itu adalah salah.
Melalui hadis di atas, Allah SWT mengingatkan
bahawa kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hambaNya dan ia adalah
sunnatullah. Oleh itu, kehidupan ini dipenuhi dengan ujian dan dugaan daripada
Allah. Ini kerana sesuatu yang tidak diuji, tidak akan kelihatan keasliannya.
Umpama manusia gagal untuk menentukan emas tulen dengan tiruan. Maka, untuk
menentukan emas itu tulen, maka perlulah dinilai ketulenannya. Demikianlah
halnya manusia, di mana mereka telah mengaku diri beriman, tentulah Allah SWT
akan menguji sejauh mana keimanan mereka terhadapNya. Dalam hal ini, Allah
telah berfirman: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan
mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS
Al-Ankabut:2-3).
Melalui ayat di atas, Sayyid Qutb
(1327-1386 Hijrah) menafsirkan sesungguhnya iman itu bukanlah hanya sebuah
kata-kata yang diucap, malah iman adalah suatu hakikat yang mempunyai tugasnya,
suatu amanah yang mempunyai beban tanggungjawabnya, suatu jihad yang memerlukan
kesabaran dan suatu perjuangan yang memerlukan ketabahan. Manusia tidak cukup
dengan hanya berkata: "Kami telah beriman..." Mereka tidak
dibiarkan membuat dakwaan seperti itu hingga terdedah kepada ujian dan
membuktikan kebenaran dakwaan mereka. Mereka juga perlu keluar daripada ujian
itu dengan hati bersih sebagaimana api menguji emas untuk memisahkan unsur
logam yang murah melekat padanya. Inilah makna asal kata-kata ujian dari segi
bahasa. Ia mempunyai tujuannya, bayangannya dan saranannya. Begitulah juga
ujian itu bertindak terhadap hati manusia.
Dalam ayat lain, Allah SWT
menerangkan secara jelas bahawa hubungan manusia dengan kehidupan adalah
hubungan ujian dan dugaan. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan
sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan,
agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal
perbuatannya." (QS Al-Kahfi:7-8). Ayat ini menjelaskan bahawa tujuan
Allah SWT mendatangkan pelbagai ujian ke atas hambaNya adalah untuk menilai
siapakah di antara hamba-hambaNya yang terbaik. Yang terbaik amalnya itulah
adalah orang terbaik di sisi Allah. Ujian yang Allah datangkan kepada hamba-Nya
tidak hanya berupa kesusahan, kesulitan dan kesakitan semata-mata. Malah,
manusia perlu berwaspada kerana ujian dan dugaan akan datang kepada mereka
dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Ini secara terang difirmankan
olehNya bermaksud: "Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan
kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (QS
al-Anbiya:35).
Sebenarnya ujian Allah SWT ke atas
hambaNya dengan nikmat harta kekayaan dan pelbagai kesenangan, pada hakikatnya
lebih berat daripada ujian dengan bencana, seksaan dan kesusahan. Ini kerana
berapa ramaikah orang yang memiliki kekayaan, tetapi hidupnya penuh dengan
kecelakaan kerana gagal mengguna atau menyalurkannya pada tempat sewajarnya.
Kekayaan yang dimiliki akan diuji oleh Allah. Ini jelas diterangkan dalam sabda
Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi bermaksud: "Sesungguhnya
bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta kekayaan."
Demikian juga dengan orang yang
diuji dengan pangkat dan kekuasaan, hinggakan mereka menyangka mereka telah
berkuasa sepenuhnya dan memiliki segala-galanya. Hal ini diperingatkan Allah
dalam firman-Nya bermaksud: "Ketahuilah! Sesungguhnya manusia
benar-benar melampaui batas ketika menganggap dirinya serba cukup. Sesungguhnya
hanya kepada Tuhanmu tempat kembali." (QS Al-Alaq:6-8) Ayat ini
menegur sikap manusia yang angkuh dan sombong yang menganggap mereka memiliki
segala-galanya dan boleh melakukan apa saja selepas mendapat kekuasaan dan
pangkat dalam masyarakat. Pada hal, apa yang dimiliki hanya sedikit daripada
kurniaan Allah SWT kepada para hambaNya. Rasulullah SAW bimbang kepada umatnya
yang diulit kemewahan yang melupakan Allah. Ini kerana kehancuran umat
terdahulu adalah kerana kemewahan. Sabda Rasulullah SAW: "Demi Allah,
bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu, akan tetapi aku khuatir
sekiranya kemewahan dunia yang kamu dapat sebagaimana yang telah diberikan
kepada orang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang dalam kemewahan itu hingga
binasa, sebagaimana bergelumang dan binasanya umat terdahulu." (HR
Bukhari)
Ujian berat bagi kaum lelaki ialah
ujian terhadap wanita. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:
"Sepeninggalanku tiadalah yang ujian yang lebih berbahaya kepada kaum
lelaki kecuali godaan kaum wanita." (HR Bukhari) Ujian yang
menyebabkan manusia mudah tergelincir pula ialah mengenai akidah dan agama. Ini
kerana, ramai orang yang mengaku dirinya Muslim, beriman tetapi setelah diuji
Allah akan iman dan agamanya dengan pelbagai cubaan, ternyata ramai antara
mereka yang lemah dan tergelincir daripada landasan yang benar. Perkara itu
dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: "Dan antara manusia ada yang
berkata: "Kami beriman kepada Allah." Tetapi apabila mendapat
gangguan dan rintangan dalam melaksanakan perintah Allah, dia menganggap
gangguan itu seakan-akan seksaan daripada Allah. Dan jika datang pertolongan
daripada Allah, mereka pasti akan berkata: "Sesungguhnya kami berserta
dengan kamu (kaum mukmin)." Sesungguhnya bukankah Allah lebih mengetahui
apa yang ada dalam dada manusia? Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang yang
beriman dan benar-benar mengetahui orang yang munafik." (QS
Al-Ankabut:10-11).
Oleh itu, sekiranya diuji Allah,
hendaklah kita bersabar kerana dengan bersabar kita akan mendapat ganjarannya
iaitu dihapuskan dosanya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Ujian
yang tiada henti-hentinya menimpa kaum mukmin baik lelaki atau wanita yang
mengenai diri, harta dan anak-anaknya, tetapi dia bersabar, dia akan menemui
Allah dalam keadaan tidak berdosa." (HR At-Tirmidzi)
Daripada huraian atas dapat
disimpulkan, ujian yang Allah SWT turunkan ke atas hambaNya mempunyai pelbagai
bentuk. Ada ujian yang menimpa tubuh, anak, harta kekayaan, pengaruh,
kekuasaan, pangkat, akidah dan sebagainya sama ada dalam bentuk kesenangan
mahupun kesusahan. Tujuan Allah memberi ujian itu untuk melihat siapakah orang
yang benar-benar beriman denganNya, untuk menghapuskan dosa hambaNya serta
menguji kesabaran hambaNya supaya benar-benar menjadi seorang Mukmin
berkualiti.
by.jiwaragaminda
by.jiwaragaminda
0 komentar:
Posting Komentar