Ujian Itu Rahasia Allah SWT.
Bismillahirahmanirahim..
Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian
atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu
berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada
masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi
sebabnya adalah sama.
Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai
rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak
uji sejauh mana keimanan kita.
Dan kerana sesuatu ujian itulah
yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah
putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh
dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.
Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt
kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita
terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada
siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya
dan rendahnya iman kita.
Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita.
Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah
ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat
kita saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama
bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.
Bukankah,Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya.
Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian
itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan
kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.
Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi
percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai
hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti
Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku
ada hikmahnya.
Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan
penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui
rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan
ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa
kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir
biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan
pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah
sentiasa bersamamu.
Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah,
Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri
kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada
Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar
rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.
Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh
alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita
berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri
mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas
dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu
ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan
cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan
tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.
Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi
kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita.
Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup
berseorangan.
Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan
datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung
bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya.
Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan
ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!
0 komentar:
Posting Komentar