Sabar ujian tingkatkan keimanan
Sabar berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud mengawal.
Secara istilahnya pula sabar didefinisikan sebagai mengawal diri
daripada melakukan sesuatu perkara. Contoh sifat sabar adalah ketikamana
seseorang itu mengawal dirinya daripada melakukan sesuatu perkara yang
diharamkan oleh Allah swt.
Antara contoh mereka yang tinggi kesabarannya adalah para rasul yang
digelar sebagai Ulul Azmi. Mereka ialah Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi
Mus, Nabi Isa dan Nabi Muhammad ‘alahimussolaatu wassalam. Dalam al-Quran, Allah swt telah berfirman :
“Bersabarlah kamu sepertimana bersabarnya rasul-rasul Ulul Azmi (sebelum kamu).”(Surah al-Ahqaf:35).
Para Rasul Ulul Azmi ini adalah mereka yang gigih mengajak manusia
untuk taat memperhambakan diri kepada Allah swt dan meninggalkan segala
bentuk syirik atau sekutu kepada Allah swt. Bukan sekadar itu sahaja,
malah mereka adalah golongan yang tinggi kesabaran ketikamana dakwah
mereka ditentang oleh kaum manusia yang tidak beriman kepada Allah swt.
Lihatlah sahaja kesabaran Nabi Nuh as yang
berdakwah selama 950 tahun semata-mata untuk mengajak manusia beriman
kepada Allah swt, namun tidak ramai yang beriman dengan risalah beliau
termasuklah anak dan isteri beliau sendiri. Firman Allah swt:
“Sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya selama 950 tahun kemudia Kami timpakan kaumnya dengan taufan dalam keadaan mereka melakukan kezaliman”(Surah al-’Ankabut:14).
Sesungguhnya Allah swt akan menguji keimanan para hambaNya dengan
melihat setinggi manakah kesabaran mereka ketika ditimpa musibah.
Musibah adalah segala bentuk ujian berat yang menimpa kehidupan kita.
Dalam al-Quran Allah swt telah berfirman: “Adakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan untuk berkata kami beriman sedangkan mereka masih belum diuji (oleh Allah swt)?
“(Surah al-’Ankabut:2). Di sinilah perlunya kekuatan sifat sabar dalam
jiwa kita. Jika kita mampu bersabar dengan setiap ujian dan kesedihan
yang Allah swt berikan mana sudah tentu kita merupakan hamba yang lebih
beriman dan juga hampir kepadaNya.
Manusia yang diberikan ujian oleh Allah swt bolehlah diketegorikan
kepada empat golongan sepertimana yang telah dijelaskan oleh Syeikh
Muhammad bin Salih al-Uthaimin rhm.
Golongan Pertama:
Mereka yang tidak mempu menerima ujian. Golongan ini merupakan golongan yang terlalu nipis sifat kesabaran di dalam jiwa mereka. Maka mereka akan membenci setiap ketentuan dan ujian yang mereka hadapi. Kebencian ini akan lahir daripada hati mereka dengan menolak qada’ dan qadar yang telah Allah tetapkan dalam hidup mereka.
Hati kecil mereka akan berkata, “kenapakah kejamnya Tuhan kepada
diriku?” Malah tindakan benci ini akan lahir dengan kata-kata kesat
terhadap ketentuan Allah swt ke atas diri mereka. Kemungkinan juga sifat
benci ini akan hadir dalam bentuk tindakan dengan mencederakan anggota
tubuh badan malah mungkin menyebabkan seseorang itu membunuh diri.
Inilah golongan yang terlampau lemah jiwa dan iman mereka ketika ditimpa
sesuatu ujian.
Golongan Kedua:
Mereka yang sabar dengan ketentuan Allah swt. Golongan ini akan sentiasa berbaik sangka dengan Allah swt. Segala ujian sama ada dalam bentuk kesakitan mahupun kesedihan itu akan ditempuhnya dengan tabah dan dia yakin segala itu ada hikmah dan kebaikan untuk diri dan kehidupannya di muka bumi Allah swt. Ketikamana ditimpa ujian maka dia akan meletakkan tangannya di atas dada lalu berkata “Hasbiyallahu wa ni’mal wakil” iaitu cukuplah Allah itu bagiku dan dialah sebaik-baik pengatur urusan.
Golongan Ketiga:
Mereka yang redha dengan setiap ujian. Ketikama seseorang itu dipukul gelora dalam kehidupannya dia akan menerima ketentuan tersebut dengan rasa redha. Baginya setiap ketentuan Allah swt itu adalah baik baginya. Inilah ciri-ciri mereka yang tinggi keimanan ketikamana ditimpa musibah dalam kehidupan. Malah Nabi saw mengkategorikan mereka ini sebagai golongan yang luar biasa.
Sabda Nabi saw: “Amat luar biasa urusan kehidupan seseorang mukmin
itu. Segala perkara yang ditempuhi dianggap segalanya baik baginya.
Perkara ini tidak akan dirasai melainkan oleh seseorang yang beriman.
Apabila dia diberikan kesenangan maka dia akan bersyukur kerana dia
yakin perkara tersebut adalah baik baginya. Malah apabila dia ditimpa
musibah maka dia akan bersabar kerana perkara itu juga adalah baik
baginya”. (Hadith riwayat Imam Muslim).
Inilah contoh sifat redha yang perlu adalah dalam jiwa kita ketika menerima ujian daripada Allah swt.
Golongan Keempat:
Mereka yang bersyukur di atas ujian yang diberikan oleh Allah swt. Inilah sifat paling mulia pada seseorang hamba ketikamana menerima ujian dan dugaan kehidupan daripadaNya. Ketika mana dia telah bersabar dan redha, lantas akan hadir suatu rasa yang cukup indah iaitu bersyukur di atas ujian-ujian tersebut. Kerana apa dia perlu bersyukur? Kerana dengan ujian kesakitan dan kesedihan itulah yang menyebabkan dia lebih kuat iman dan terasa lebih hampir kepada Allah swt. Segala kesakitan zahir dan batin itu seakan hilang bila rasa cinta kepada Allah swt dan syukur kepadaNya itu hadir di dalam jiwanya.
Inilah sunnah Nabi saw ketika menerima ujian yang ditempuhinya.
Baginda saw akan bersyukur lantas mengucapkan : “Segala pujian bagi
Allah swt di atas setiap keadaan”.(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan
dinilai sahih oleh al-Albaniy).
Dalam situasi apakah kita perlu bersabar?
Pertama:
Bersabar dalam melakukan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah swt. Segala kewajipan yang telah disuruh oleh Allah swt sewajibnya kita laksanakan dengan cara yang terbaik. Untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan ini perlulah disertakan dengan sifat kesabaran. Contohnya kita sabar dalam menunaikan solat fardhu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menunaikan zakat setelah tiba tempohnya, menunaikan ibadah haji di Baitullah dan lain-lain lagi.
Firman Allah swt: “Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan ganjaran (oleh Allah swt) tanpa ada batasannya” (Surah al-Zumar:10).
Kedua:
Bersabar dalam menahan diri daripada melakukan kemaksiatan. Untuk menahan diri daripada melakukam maksiat kepada Allah swt juga memerlukan kesabaran yang tinggi. Contohnya seseorang wanita itu tidak mendedahkan aurat kepada lelaki yang bukan mahramnya kerana dia tahu perkara tersebut adalah berdosa di sisi agama.
Begitulah juga para pemuda mahupun pemudi yang menahan nafsu syahwat
mereka dengan penuh rasa sabar kerana mahu mengelakkan diri daripada
terjerumus ke dalam dosa zina. Sesungguhnya naluri manusia kadang-kadang
ingin melakukan perkara-perkara yang telah Allah swt haramkan
kepadanya. Namun dengan rasa keimanan yang tinggi kepada Allah maka
lahirlah sifat sabar yang lantas mengawal dirinya daripada berbuat dosa.
Sabda Nabi saw:” Sesungguhnya Syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara perkara-perkara yang tidak disukai manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara-perkara yang memuaskan syahwat” (Riwayat Imam al-Tirmizi).
Syeikh al-Mubarakfuri dalam mensyarahkan hadith ini dalam kitab
beliau iaitu Tuhfah al-Ahwazi menerangkan bahawa untuk memasuki syurga
seseorang hamba itu perlu melalui ujian-ujian dalam melakukan kewajipan
dengan penuh rasa taat dan inilah yang digambarkan oleh Nabi saw sebagai
perkara-perkara yang secara nalurinya tidak digemari oleh manusia.
Namun neraka pula dipagari oleh nafsu syahwat yang secara nalurinya
manusia suka akan perkara-perkara tersebut.
Ketiga:
Bersabar di atas ketentuan dan ujian daripada Allah swt. Apabila kita menyebut mengenai ujian maka akan tergambar dalam kotak pemahaman kita bahawa ujian itu adalah kesakitan, kesusahan dan kesedihan. Ujian itu juga dianggap khusus kepada mereka yang hidup dalam kemiskinan. Namun perlulah kita tahu bahawa kekayaan dan pemberian zuriat juga merupakan ujian daripada Allah swt.
Firman Allah swt: “Sesungguhnya harta benda dan anak-anak kamu
merupakan ujian dan pada Allah jualah pahala yang besar”.(Surah
al-Taghabun:15). Bagaimanakah harta benda dan anak pinak mampu menjadi
ujian? Ujian harta benda datang ketika mana hadirnya sifat bakhil dalam
jiwa manusia manakala ujian anak-anak pula datang ketikamana mereka jauh
daripada syariat Islam.
Oleh itu seseorang itu perlulah ada sifat sabar yang tinggi dalam
menguruskan hartanya di jalan Allah swt dan juga sabar dalam mendidik
anak-anaknya untuk mengenal Islam. Untuk menjadi hamba Allah swt yang
beriman perlulah kita menyemai sifat sabar di dalam jiwa-jiwa kita.
Kesabaran yang disemai ini akan menjadi motivasi di dalam jiwa. Oleh itu
tidak akan ada istilah pasrah dan kecewa bagi sesiapa yang sentiasa
tabah dan sabar dalam setiap ujian kehidupan yang dilaluinya.
0 komentar:
Posting Komentar