Kamis, 25 Juli 2013

Iman = Kesabaran Dan Kesyukuran

Sabar Senjata Mulia Hadapi Ujian

Tabah terhadap segala dugaan, syukuri nikmat lambang ketinggian iman umat IMAN terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian dinamakan kesabaran dan satu bahagian lagi dinamakan kesyukuran. Kedua-duanya adalah sifat Allah dan di antara dua nama-Nya yang mulia kerana Allah sendiri menamakan diriNya dengan Sabbur dan Syakur.


Jika seseorang itu jahil daripada memahami erti kesabaran dan kesyukuran, samalah dengan tidak memahami erti kedua bahagian iman itu sendiri. Dengan demikian, samalah ia lupa kepada sifat Allah sedangkan untuk mendekatkan diri kepada Allah tidak tercapai melainkan dengan iman.


Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (Surah al-Nahl, ayat 96)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahala mereka tanpa batas." (Surah al-Zumar, ayat 10)


Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sabar itu separuh iman." (Hadis Riwayat Abu Na'im daripada Ibn Mas'ud)


Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Dalam kesabaran terhadap perkara yang tidak disukai itu banyak kebaikannya." (Hadis Riwayat al-Tirmizi daripada Ibn Abbas)


Perkataan sabar disebut enam belas bentuk dalam al-Quran, iaitu perintah supaya bersabar (merujuk ayat 35 surah al-Baqarah, surah al-Imran (ayat 200), sementara larangan daripada bersikap sebaliknya pada ayat 35, surah al-Ahqaf dan surah al-Anfal, ayat 15.


Allah memuji orang yang sabar (surah Ali-Imran, ayat 17 dan al-Baqarah, ayat 177) sementara Allah kasih kepada orang yang sabar melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 146.


Kesabaran lain yang dijelaskan dalam al-Quran ialah Allah bersama orang yang sabar, kebaikan bagi mereka yang sabar, balasan amal yang paling baik, berita gembira kepada orang sabar, jaminan kemenangan bagi orang yang sabar dan balasan Allah tanpa batas kepada orang yang sabar.


Selain itu, orang yang sabar adalah mereka yang kuat semangat dan azam, amalan salih yang besar balasannya adalah sabar, orang yang sabar mereka yang mengambil manfaat daripada ayat Allah, Ibrahim, kejayaan yang diingini dicapai oleh orang yang sabar, orang sabar boleh menjadi pemimpin dan mempunyai kedudukan tinggi dalam tingkatan iman dan Islam, seterusnya takwa dan tawakal.


Sabar terbahagi kepada tiga bentuk iaitu sabar dalam mentaati Allah, sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan sabar menghadapi ujian Allah. Patut diingat bahawa mengadu dan merayu kepada Allah tidak menafikan sifat sabar.


Ini seperti mana berlaku kepada Nabi Ya'kub ketika baginda berkata: "Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku," (Surah Yusuf, ayat 86).


Adapun yang menafikan sifat sabar adalah merungut terhadap Allah, manakala bersabar terhadap ujian Allah seperti menghadapi bencana alam seumpama banjir besar, gempa bumi, sakit dan lain sebagainya, mangsa perlu menghadapinya dengan mengharapkan balasan sebaiknya daripada Allah.


Mangsa juga perlu mengharapkan penyelesaiannya daripada Allah dan ketiga menganggap ringan ujian itu dengan cara mengingati segala nikmat yang dikurniakan Allah selama ini. Dengan demikian akan terasa bahawa ujian itu bagaikan setitik air daripada luasnya laut.


Tanpa senjata sabar dalam perjalanan hidup ini, kehidupan seseorang tidak akan tenang dan damai kerana jalan hidup tidak selalunya mendatar, ada kalanya mendaki dan kadang-kadang jatuh.



(Penulis ialah pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.)




0 komentar:

Posting Komentar

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Press Release Distribution