Andai Dirimu Dikritik Orang
Wahai hamba Allah yang tidak sempurna, andai dirimu dikritik atau dikata orang:
- Usah defensif jika dikritik, bukankah itu ruang penambahbaikanmu
yang selalunya kamu tidak sedari dan terlepas pandang? Tanpa kritikan
mereka, mana mungkin kamu dapat menambahbaik sisi dirimu itu? Tahanlah
perasaan ketika dikritik, cubalah beri senyuman walaupun hambar.
Anggaplah kritikan sebagai ubat yang pahit namun menjadi penawar untuk
menyembuhkan dirimu.
- Usah dikuasai ego jika diberi pendapat itu ini walau mungkin kamu
sendiri telah sedia faham dan arif tentang pendapat itu, bukankah itu
'buah tangan' mereka untuk memantapkan idea dan pandanganmu? Dengarlah
dengan hati yang terbuka dan raikanlah pendapat itu dengan senyuman yang
manis. Walau setinggi manapun pangkatmu, sebanyak manapun ilmu mu, kamu
pasti tidak akan tahu dan faham 1001 macam perkara di dalam hidup ini.
Maka, dengarlah pendapat mereka.
- Usah tegar jika dinasihati, bukankah itu 'tanda kasih dan sayang'
mereka yang prihatin dan mengambil berat tentang nasib mu? Mereka tidak
akan datang meluangkan masa semata-mata untuk menasihatimu jika mereka
tidak ambil peduli pada kamu. Walau mungkin nasihat-nasihat itu datang
dari orang yang kau anggap 'lebih layak menasihati dirinya sendiri',
namun, janganlah melihat kepada penasihat itu, ambil lah butiran hikmah
nasihat itu.
- Usah membenci jika dibenci, bukankah membenci itu merosakkan hati dan riak wajahmu sendiri? Bencilah hanya pada kebatilan dan kejahatan dan bukan pada sesama manusia. Sama seperti kamu, fitrah setiap manusia walau siapapun mereka adalah kebaikan, namun nafsu dan syaitan telah menjerumuskan mereka ke arah yang tidak baik. Ada kalanya, untuk memperbaiki diri, perlu kau tanya musuhmu siapa kamu kerana mereka sentiasa nampak silapmu.
Wahai diri yang hina,
- Andai marah menguasai hatimu, usah dibakar hangus rasa itu dengan
panas emosimu, namun gunakan emosi itu sebagai satu lonjakan motivasi
untuk terus maju ke hadapan.
- Andai pernah kau lakukan kesalahan dan kesilapan, jangan toleh ke belakang untuk merasa gagal dan kecewa. Pandanglah jauh ke hadapan untuk memperbetulkan keadaan dan merasa bahagia. Jangan ambil peduli dengan pandangan sinis manusia apabila kau berusaha untuk berubah membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul kerana pada akhirnya ianya bukanlah antara kamu dan mereka, tetapi antara kamu dan Tuhan kamu.
Wahai diri yang disayangi,
- Ingatlah bahawa hari semalam adalah sejarah, hari esok belum pasti kau ketemu, tetapi pada hari inilah kau masih ada masa, ruang dan peluang untuk bertindak. Maka jangan bertangguh dan bertindaklah sekarang!
0 komentar:
Posting Komentar