Cara Mengatasi Tekanan Perasaan
Tips mudah yang boleh diamalkan untuk mengatasi tekanan dengan bijak :
1. Bawa-bawalah bertenang
Bila kita menyarankan seseorang supaya
bertenang apabila dia marah, sedih dan sebagainya, pernahkah kita
terfikir untuk mengajak atau mengajar cara-cara untuk memenangkan diri?
Apa yang selalu saya praktikkan bila saya mahu bertenang menenangkan
diri sendiri, saya akan tarik nafas dalam-dalam sekitar 7-9
saat, dan lepaskan perlahan-lahan juga sekitar 7-9 saat. Bagi yang
beragama Islam, anda digalakkan beristighfar semasa melepaskan nafas,
sebutkan “astagfirullah hal ‘aziim al-lazi laa ila ha illa huwal hayyul
qayyum wa atuubu ilaik” dan tumpukan fikiran yang anda sedang memohon
ampun daripada Allah. Insya Allah, biasanya jika diulang sebanyak 7
kali, anda akan kembali tenang.
2. Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika
membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang
susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar
misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum
mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.
3. Membaca al-Quran, zikir dan selawat
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah
bagi sesiapa yang membaca al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang
sesuai bagi kita untuk membaca al-Quran ialah selepas solat lima waktu
dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu,
jadikanlah al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.
Sesungguhnya ayat Al-Quran adalah penenang jiwa yang paling mujarab.
Anda juga boleh meluaskan pembacaan anda
kepada buku-buku ilmiah yang lain seperti buku-buku berkaitan agama,
motivasi dan sebagainya untuk menghilangkan kesepian atau kesedihan.
Ramai orang rekomen baca buku “Jangan Bersedih".
Anda juga boleh mengurangkan tekanan
perasaan dengan berzikir dan berselawat agar hati sentiasa tenang dan
tidak gusar. Kita perlu yakin bahawa walau bagaimana hebat tekanan yang
kita alami, pertolongan Allah SWT tetap ada kerana selepas kesempitan
pasti ada kelegaan dan selepas kepayahan pasti ada kesenangan.
4. Cintai diri sendiri
“Cintailah diri kamu sendiri sebelum
kamu mencintai diri orang lain.” Jelas daripada maksud sepotong hadis
ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri
terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih
pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang
dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan
penuh dengan senyuman.
5. Banyakkan solat sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi
Allah, kita dituntut membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari.
Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat dhuha, solat sunat
hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih, solat sunat tahajud dan
sebagainya adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
6. Selalu berdoa kepada Allah SWT
Allah telah berpesan iaitu jangan
menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita dituntut berdoa hanya
kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu
mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum
waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah,
Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas.
Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang
bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita
perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada
Allah yang Esa.
7. Bersangka baik dengan Allah SWT
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan
terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu
adalah ujian daripada Allah bertujuan menguji keimanan kita sebagai
hamba-Nya. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan
janganlah menyalahkan takdir-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita.
Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian
itu.
8. Mengurus masa dengan baik
Usahlah bersikap tamak untuk
menghabiskan semua kerja dalam satu masa. Cuba patuhi waktu pejabat dan
jangan terselalu membuat kerja lebih masa kerana setiap kita ada hak-hak
yang perlu kita tunaikan. Belajarlah cara kemahiran pengurusan diri dan
masa, seperti menetapkan keutamaan.
9. Berhubung dengan keluarga, rakan-rakan dan jangan bersendirian
Syaitan selalunya menyerang manusia yang suka bersendirian. Satu hadis daripada Usamah bin Syuraik menyatakan bahawa beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tangan Allah berserta jemaah. Maka apabila bersendirian seseorang itu daripada jemaah, syaitan-syaitan akan menyambarnya, seumpama serigala menyambar kambing daripada kumpulannya.” Sesungguhnya serigala hanya membaham kambing yang memencilkan dirinya dari kumpulan yang besar. Itu perumpamaan dari Baginda SAW mengenai peranan syaitan ke atas manusia. Jadi, ke mana sahaja seseorang itu pergi, dia harus mencari tiga perkara iaitu jamaah, orang ramai dan masjid.
Syaitan selalunya menyerang manusia yang suka bersendirian. Satu hadis daripada Usamah bin Syuraik menyatakan bahawa beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tangan Allah berserta jemaah. Maka apabila bersendirian seseorang itu daripada jemaah, syaitan-syaitan akan menyambarnya, seumpama serigala menyambar kambing daripada kumpulannya.” Sesungguhnya serigala hanya membaham kambing yang memencilkan dirinya dari kumpulan yang besar. Itu perumpamaan dari Baginda SAW mengenai peranan syaitan ke atas manusia. Jadi, ke mana sahaja seseorang itu pergi, dia harus mencari tiga perkara iaitu jamaah, orang ramai dan masjid.
Berbicaralah dengan mereka yang boleh
anda dipercayai atau hubungi sesiapa sahaja yang anda kenali. Cuba
luahkan ekspresi tanpa limitasi, tidak kira sama ada waktu sedih mahupun
gembira, kongsikan perasaan anda dengan ahli keluarga atau rakan-rakan
yang anda rasa selesa dengannya. Bergaullah dengan orang-orang yang
bukan dalam kemurungan.
10. Lakukan aktiviti luar rumah atau aktiviti fizikal
Orang ramai selalu berkata bahawa badan
yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu
belajar atau bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan
aktiviti-aktiviti fizikal yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti
bersukan atau berenang. Jangan duduk diam dan berkurung dalam bilik
sambil melayan lagu-lagu sedih yang menyayatkan jiwa hati, ini hanya
menambahkan sebak di dada.
Lakukan apa saja akitiviti kecergasan,
bersukan dapat menghasilkan hormon yang mampu melegakan tekanan
perasaan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan
masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan
bertambah erat dan kukuh, Insya Allah.
11. Aktiviti bersama alam
Sentiasa memelihara hubungan dengan
alam. Anugerah alam ciptaan Allah SWT berupaya menenangkan, menyemai
iman dan penawar bagi manusia. Aktiviti berkebun, menanam dan menjaga
pokok bunga bukan sahaja menyihatkan malah membantu memupuk diri
memelihara alam. Anda juga menikmati ‘bird watching’, ‘nature walk’,
berjalan di tepi pantai sambil mengutip cengkerang untuk hiasan akuarium
atau apa saja berkaitan dengan aktiviti alam semulajadi yang cukup
mendamaikan bersama-sama ahli keluarga. Cuba gunakan keseluruhan deria
untuk merasai kehadiran Allah SWT.
12. Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan
tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja.
Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet
dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan
kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah
jantung, darah tinggi, kencing manis.
Jaga makan dan tidur berlebihan. Sayangi
badan anda, jangan mendera badan anda dengan tidur yang tidak mencukupi
atau makan makanan yang tidak berkhasiat.
13. Jangan malu untuk ketawa
Bilakah kali terakhir anda memegang
majalah Gila-Gila atau Gelihati? Anda boleh cubalah baca komik atau
menonton cerita-cerita yang kelakar yang mampu membuat anda ketawa atau
tersenyum.
14. Menangis dengan sepuas hati
Jika anda jenis yang ‘tidak boleh’
gelak-ketawa sebab ‘terputus wayar’, maka cubalah menangis
sepuas-puasnya. Ia mampu membuang jauh-jauh perasaan yang gundah gelana.
Tekanan yang dihadapi sekiranya
melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita
dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas.
Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan
diri merana. “Luaran lain hati lain” ada sesetengah individu apabila
mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan
permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, mereka akan sentiasa gembira
bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang
Maha Mengetahui. Maka dengan itulah, menangis dilihat sebagai salah satu
cara kita dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi.
15. Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang
dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita
tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang
disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh
melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah
yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan
diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.
16. Fokus kepada warna yang menenangkan
Kajian membuktikan bahawa warna memberi
kesan kepada perasaan kita. Warna merah terang, oren dan kuning
memberikan kita tenaga. Kombinasi warna merah dan kuning menyebabkan
darah kita berkitar dan menaikkan suhu badan. Biru dan hijau memberi
kesan menyejukkan dan menenangkan. Anda pasti boleh mengenalpasti warna
dengan cara anda sendiri untuk mengubah perasaan yang anda mahukan.
17. Cuba hidu aroma yang menenangkan
Minyak pati aromaterapi lavender amat
terkenal dengan aroma menenangkan. Anda boleh cuba hangatkan pati
aromaterapi lavender atau dapatkan saja bau-bauan yang di gemari.
18. Hindari bunyi bising
Bunyi boleh memberi kesan kepada
perasaan kita. Kita dilahirkan dengan perasaan yang tidak selesa kepada
bunyi bising. Kebisingan juga boleh memberi tekanan dalam diri. Ia juga
boleh menaikkan tekanan darah, mempercepatkan degupan jantung dan
memberi kesan psikologi yang lain. Walau bagaimanapun bukan semua bunyi
memberi kesan buruk. Muzik contohnya boleh memberi kesan yang baik
kepada perasaan dan kesihatan diri kita.
Menurut kajian dari Avram Goldstein,
muzik boleh menyebabkan otak mengeluarkan sejenis bahan penenang yang
dinamakan endorfin. Muzik juga boleh menimbulkan pelbagai variasi
perasaan. Justeru, jika anda rasa tertekan, dengarlah lagu-lagu
kegemaran anda. Semoga ia dapat membantu mengurangkan tekanan yang
dihadapi.
19. Hadkan pengambilan ubat-ubatan
Ada sesetengah ubat-ubatan yang kita
ambil mampu menyumbangkan mood swing yang kurang baik seperti kemurungan
dan emosi tidak terkawal. Jika ia tidak perlu, anda boleh cuba elakkan
pengambilan ubat-ubatan sebegini seboleh mungkin. Simpan ubatan di
tempat yang susah sukar dicapai sekiranya anda berniat untuk
mengambilnya dalam dos yang berlebihan. Jangan mengambil pil tidur tanpa
preskripsi doktor.
20. Katakan tidak pada alkohol dan dadah
Elakkan dari mengambil alkohol dan
dadah-dadah lain yang boleh mengakibatkan hilang pertimbangan anda.
Mengambil sesuatu yang mengkhayalkan tidak akan membantu untuk
menghilangkan tekanan sebaliknya akan membuatkan anda menjadi ketagih dengannya.
21. Dapatkan sokongan sosial atau rujuk pakar
Cuba dapatkan bantuan kaunseling melalui ruangan kaunseling, NGO berkaitan atau boleh juga melalui telefon seperti talian ‘Befrienders’ dan lain-lain. Sekiranya semua gagal, dapatkan bantuan pakar untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya.
Cuba dapatkan bantuan kaunseling melalui ruangan kaunseling, NGO berkaitan atau boleh juga melalui telefon seperti talian ‘Befrienders’ dan lain-lain. Sekiranya semua gagal, dapatkan bantuan pakar untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya.
0 komentar:
Posting Komentar