Membuang Sifat Buruk Dalam Diri
Manusia ini dilahirkan bersih, tetapi kemudiannya dia sendiri yang mengotori dirinya dengan pelbagai dosa dan noda.
Kita
dilahirkan umpama cermin yang bersih di dunia ini dan di dalam dunia
yang tak sempurna ini kita tak dapat lari dari mengutip habuk-habuk yang
bertaburan. Dalam ertikata lain kita tak dapat lari dari melakukan dosa
dan noda. Kita tak dapat lari dari dugaan Allah Taala. Setiap manusia
pasti akan diduga.
Keadaannya
mungkin tak sama di syurga kerana saya percaya di situ langsung tiada
habuk dan kekotoran maka di situ cermin kita akan sentiasa bersih dan
berkilat. Tiada lagi dosa dan noda itu pasti. Saya yakin taklah ia
dinamakan syurga kalau ia kotor, berhabuk dan berdebu. Ye tak?
Dalam
hal ini apa yang penting ialah; kalau kita datang dalam keadaan bersih
semasa bayi, maka sebaiknya kita pastikan bila kita balik nanti (mati)
kita dalam keadaan yang bersih juga malah kalau boleh lebih baik dari
itu.
Saya
pernah menerangkan perihal sifat yang dicipta Allah ini. Ia adalah satu
kejadian dan ia sebenarnya dicipta Allah Taala. Nafsu, Mati, Sakit dan
sebagainya semuanya adalah dalam rangkuman kejadian ciptaan Allah Taala.
Apa akan jadi kalau Allah tidak mencipta kejadian BOSAN, MARAH,
TENSION, STRESS dan sebagainya? Pastinya tidak ada manusia di mukabumi
ini yang akan merasa semua ini. Tak ada yang akan merasa bosan, tension
dan sebagainya. Faham tak?
Apapun mari kita buat satu kajian mengenai sifat dan sikap yang dikurniakan Allah kepada setiap manusia ini.
SIFAT MAZMUMAH / SIFAT BURUK
|
SIFAT MAHMUDAH / SIFAT BAIK
|
Riak / Sombong / Takbur / Angkuh
|
Rendah hati / Rendah diri
|
Tamak / Kedekut
|
Pemurah
|
Pemarah
|
Tenang / Sabar
|
Iri Hati / Dengki
|
Redha
|
Malas
|
Rajin
|
Takut
|
Berani
|
Tiada Keyakinan Diri
|
Yakin
|
Pendendam
|
Pemaaf
|
Tidak bertanggungjawab
Pentingkan Diri
|
Bertanggungjawab
Bertoleransi
|
Berkira
|
Ikhlas
|
Menunjuk-nunjuk
|
Ikut akal
|
Bersepah
|
Tersusun
|
Ikut perasaan
|
Berdisiplin
|
Ganas
|
Lembut
|
Pembenci
|
Kasih sayang
|
Pengotor
|
Pembersih
|
Bersangka Buruk
|
Bersangka Baik
|
Penipu / Menabur Fitnah
|
Berkata Benar
|
Menekan
|
Membantu
|
Menyusahkan
|
Menyenangkan
|
Hipokrit
|
Benar
|
Pecah Amanah
|
Amanah dan bertanggung jawab
|
Cantik di luar buruk di dalam
|
Cantik di luar, cantik di dalam
|
Mengutamakan isteri lebih dari ibubapa
|
Mengutamakan ibubapa lebih dari pasangan
|
Ikut hukum manusia
|
Ikut hukum Allah
|
Ikut suka hati
|
Ikut sunnah Nabi
|
Taksub pada makhluk
|
Ketauhidan pada Allah
|
Mahu didengari, difahami, dihormati tetapi tak mahu mendengar. Memahami dan menghormati.
|
Bersikap terbuka, memahami dan menghormati.
Sedia mendengar.
|
Mengejar dunia, materialistik
|
Mengejar keredhaan Allah
|
Mencuri, Rasuah, Riba
|
Tidak mengambil yang bukan hak
|
Mencari Persengketaan
|
Mencari Perdamaian
|
Membazir
|
Penjimat
|
Maksiat
|
Ibadah
|
Berhubungan dengan orang-orang yang memiliki sifat-sifat mazmumah ini umpama perhubungan kalah menang atau win-lose dari
semua segi baik emosi, kewangan, fizikal dan mental tanpa mereka
sedari. Mereka ini selalu sahaja hendak menang, mengambil, meminta dan
menyusahkan namun hendak memberi jauh sekali. Mereka yang ada
sifat-sifat mazmumah ini sebenarnya merupakan energy suckers atau
“penyedut tenaga”. Mereka secara tak langsung akan menarik tenaga dan
selalunya akan menyebabkan mereka yang punya sikap mahmudah ini menjadi
tertekan dengan sikap mereka-mereka yang negatif ini.
Kata
orang tua-tua kalau tak boleh menyenangkan jangan menyusahkan. Orang
yang punya sifat yang baik adalah orang yang akan sentiasa mencari jalan
untuk menyenangkan orang lain. Anak yang baik akan menyenangkan
ibubapanya, kawan yang baik akan menyenangkan kawannya yang lain, isteri
yang baik akan menyenangkan suaminya dan bagitu jugalah sebaliknya.
Kebaikan akan membawa “tenaga” atau aura yang baik dan seterusnya
mengukuhkan perhubungan silaturrahim dengan kasih sayang.
Prinsip
ini lebih diutamakan bila kita berhadapan dengan orang “sakit” baik
sakit akalnya, fizikalnya mahupun rohaninya. Orang yang sakit ini umpama
kereta yang rosak atau kereta yang kemalangan. Maka ia haruslah
dihantar ke bengkel untuk diperbaiki. Kalau sakit fizikal kita ke
hospital dan di hospital para doktor dan jururawat selalunya akan
menjaga pesakit sebaik mungkin. Kalau sakit mental maka kita bertemu
dengan kaunselor dan pakar sakit mental dan kalau sakit rohani hendaklah
kita dekatkan diri dengan Tuhan. Bagaimanakah agaknya perasaan orang
yang sakit ke hospital tetapi dilayan dengan buruk?
Begitupun
ada di antara mereka yang menjalankan kehidupan ini tanpa kesedaran dan
selalu menyusahkan. Contohnya mereka suka mencarut mengeluarkan aura
negatif, bagaimanakah perasaan sekiranya anda pula dicarut? Negatif
bertemu negatif maka mewujudkan kenegatifan yang lebih besar dan mungkin
membawa kepada perselisihan dan pergaduhan. Anda kaki seks, bagaimana
pula kalau adik perempuan atau ibu anda diperlakukan dengan cara yang
sama?
Sifat,
sikap dan amalan yang mazmumah / buruk ini sebenarnya akan membawa
kerosakan kepada diri sendiri dan orang yang dikelilingnya.
Sifat
marah contohnya digunakan tanpa kawalan. Pantang orang lain buat silap
pasti orang itu bakal menjadi mangsa. Kita boleh marah selama 8 jam
tanpa henti. Kemarahan itu akan terbuku menjadi dendam bila ia tak
dikeluarkan jadi jalan untuk mengeluarkannya akan dicari dengan apa cara
sekalipun. Kalau tak dapat orang, dinding, pintu dan segala harta benda
akan menjadi mangsa kemarahannya.
Keadaan
ini akan menyebabkan kita menjadi liabiliti atau membawa kesusahan
kepada diri, keluarga dan masyarakat. Seterusnya kita akan dibenci,
dihina, dipulaukan dan dipinggirkan keluarga, masyarakat lebih teruk
lagi kalau kita dibenci dan dihina Allah Taala. Inilah yang ditakuti.
Perbandingan
mudah yang saya buat dalam artikel dua orang tua Ali dan Abu boleh
dijadikan iktibar. Ali seorang yang disayangi dan dikasihi keluarga dan
anak-anaknya. Sering mengingati mati dan membuat amalan persediaan
dengan solat, haji dan umrah dan Abu pula yang dihina dan dipinggirkan
keluarga dan hidup dalam keadaan melarat, hina dan dina dengan
amalan-amalan buruk bersifat maksiat.
Bagi
mereka yang sedar dan punya ilmu yang mencukupi maka mereka akan
menjadi insan yang rendah hati dan mengikut hukum hakam yang telah
ditentukan Allah. Kemarahan contohnya akan hanya digunakan di tempat
yang perlu, ke tempat yang sepatutnya atau ke tempat yang hak.
Kemarahannya terkawal, dikawal oleh akal. Lebih baik lagi bila kemarahan
itu dapat dilenyapkan dalam hati sekaligus digantikan dengan kesabaran.
Analogi
yang boleh diambil bila memiliki sifat dan sikap buruk atau mazmumah
ini ialah ia seakan membela seekor binatang buas di hati. Semasa ia
kecil kita mungkin akan dapat menjaganya dengan baik dan ia bersifat
pasif dan nampaknya seperti tak akan menyebabkan sebarang kerosakan.
Namun kalau kita terus memberinya makan dan segala keperluannya maka ia
akan membesar dan terus membesar di hati. Ia akan menjadi lebih aktif
dan masalahnya ialah satu hari ia mungkin sudah dewasa dan dapat
menguasai hati hingga ia tak dapat dibendung lagi.
Keadaannya
samalah seperti seorang budak yang didedahkan dengan kelucahan melalui
video-video lucah yang ditontonnya. Semakin lama ia menjadi seakan
makanan ruji harian yang diperlukan saban hari. Semakin lama semakin
galak. Lama kelamaan nafsu tak dapat dibendung lagi maka mereka mula
mencari jalan untuk melakukan hubungan seks. Maka terjadilah kes budak
remaja yang merogol budak sekolah, bapa yang merogol anak, kes sumbang
mahram, meliwat, mencabul kehormatan, salahlaku seksual, meraba dan
sebagainya.
Lebih
teruk lagi kesan sampingan yang yang terjadi dari sifat buruk ini iaitu
lahirnya anak luar nikah, buang bayi yang tidak berdosa, lari dari
rumah, cubaan bunuh diri dan bunuh diri itu sendiri, mengalami gangguan
mental, menghidap penyakit AIDS, masalah dalam rahim dan penyakit
seksual yang lainnya yang menjadi bebanan kepada keluarga, masyarakat
dan negara.
Dalam
Islam kita sebenarnya mesti sentiasa berada di tempat yang terang. Kita
cuma ada satu jalan iaitu jalan yang benar, jalan yang bersih, jalan
yang terang. Semua kekotoran hati itu mesti dibuang dan dijauhkan dengan
redha.
Mungkin
ada yang berkata apakah gunanya kita dikurniakan dengan sifat marah
andaikata kita tak boleh menggunakannya. Ada juga yang berkata apa guna
kurniaan airmata kalau kita tak boleh menangis.
Dalam
hal penggunaan sifat ini, sifat ini boleh digunakan tetapi ia
sebenarnya tertakluk kepada hukum. Ada wajib marah, sunat marah, harus
marah, makruh marah dan haram marah. Contohnya kita wajib marah kalau
Allah, Nabi dan ugama Islam dipersendakan. Kita juga perlu
mempertahankan yang hak, menjaga isteri, adik perempuan anak-anak dan
sebagainya. Namun demikian perlukah kita marah kepada benda yang remeh
temeh dan bodoh? Marah kerana hari hujan, marah kerana apa yang kia nak
tak dapat, marah kerana ada kereta memotong di depan kita dan
sebagainya? Itu marah tak bertempat sebenarnya kerana dalam hal ini kita
seharusnya bersabar.
Sedarilah
semua sifat dan sikap ini sebenarnya punya hukum hakam di dalamnya dan
tak boleh digunakan sewenang-wenangnya mengikkut perasaan, mengikut
nafsu. Namun saya tahu ia sukar sebagai sebagai seorang manusia. Sukar
untuk menjadi seorang yang pemaaf, penyabar, pemurah dan sebagainya
tetapi kita hendaklah mencuba hingga kita sampai ke tahap yang tertinggi
dalam hal ini sepertimana yang diajarkan oleh Rasullullah SAW. Ia ada
tahap-tahapnya dan tahap yang tertinggi yang hendak kita capai ialah
tahap Rasullullah SAW sebagai penanda arasnya.
Semua
sifat kebaikan ini sebenarnya termasuk dalam aspek akhlak yang
disarankan oleh Rasullullah SAW. Amanah, pemurah, bertoleransi, menjaga
keluarga, mendidik anak, membuang benda yang menghalang perjalanan,
tidak mengambil yang bukan hak, menjauhkan yang haram, tidak
bermuka-muka, bercakap benar dan sebagainya. Semua ini berada di tempat
yang terang dan jelas dan sesungguhnya mereka yang mengamalkan sifat
yang kabur dan gelap sebenarnya mempunyai masalah diHATInya.
Namun
demikian tak dapat disangkal semua sifat yang baik dalam rangkuman
akhlak yang baik ini adalah kurniaan Allah kepada sesiapa juga yang
dikehendakiNya namun demikian saya harap dengan pengisian yang sebegini
sedikit sebanyak ia akan membuka hati dan minda anda untuk memahaminya
dan manalah tahu kalau-kalau ia akan membawa kepada kesedaran untuk kita
sama-sama memperbaiki diri dalam hal sifat dan sikap ini.
Andai
Rasullullah SAW masih hidup ketika ini dan andai Baginda ada bersama
kita di depan mata apakah yang akan kita katakan padanya andai kita
berbohong, berburuk sangka, makan rasuah, mengambil yang bukan hak dan
sebagainya? Apakah alasan kita? Bukankah Nabi SAW akan bersedih
melihatkan keadaan umatnya yang begitu buruk akhlaknya?
Kemudian
saya percaya sifat ini ada rankingnya yang tersendiri. Sifat redha pada
saya adalah antara yang paling tinggi rankingnya kerana ia termasuk
dalam rangkuman Rukun Iman dalam Rukun Percaya kepada Qada’ dan Qadar.
Jadi setiap manusia yang berugama Islam mesti mempunyai sifat redha ini.
Redha dengan setiap ketentuan yang telah Allah tentukan sepanjang
kehidupan ini. Sifat Sabar, Ikhlas, Rendah Hati, Yakin, Takwa, Tawakal,
Ehsan juga sering diulangtayang menunjukkan bahawasanya ia merupakan
sifat yang popular dan ada rankingnya yang tinggi.
Dalam
hal ini kadangkala kita bertemu dengan orang yang baik dalam kebanyakan
sifat dan amalannya namun demikian terdapat kebocoran-kebocoran yang
tertentu yang perlu diperbaiki. Seperti contoh di atas, kebocorannya
kerana mereka ego dan mengutamakan isteri daripada ibubapa. Dalam kes
lain ada yang kaki seks sahaja. Mereka mencari jalan untuk melempiaskan
nafsu tetapi mereka tidak berjudi, tidak makan makanan yang haram,
pemurah dan sebagainya. Mereka punya satu kelemahan ini. Kekadang pula
saya bertemu dengan mereka-mereka yang baik dan akhlaknya mulia tetapi
dalam diam mereka kaki porno dan tak dapat meninggalkan video-video
lucah. Mereka punya rahsia yang tersendiri yang tersembunyi. Bagaimana
dengan anda?
Apapun
perhatikanlah kelemahan ini, muhasabah diri dan berjuanglah untuk
memperbaiki dan membersihkanya kerana pada saya ini yang terbaik. Oh Ya!
Saya sendiri pun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.
Analogi
atau tamsilannya mudah, kekotoran kalau dibiarkan akan mendatangkan
kuman, kuman pula akan membawa penyakit, penyakit pula boleh menjadi
wabak. Jadi hati yang kotor akan berpenyakit dan penyakit itu pula akan
menular umpama kanser yang mana lama kelamaan akan menggelapkan hati
lantas menyebabkan pintunya tertutup dan mungkin kemungkinan hati itu
mati. Tak cukup dengan itu ia umpama wabak yang boleh tersebar kepada orang lain di luar sana. Faham tak?
Saya
juga percaya Syurga merupakan tempat yang bersih, suci dan murni maka
sebarang kekotoran baik dari segi sifat dan sikap, amalan dan sebagainya
pasti tak akan dapat diterima. Inginkah anda kembali bertemu dengan
Allah Taala di akhirat kelak dengan kekotoran-kekotoran di hati? Lagipun
ingatlah kebersihan adalah sebahagian dari Iman dan kebersihan itu
hakikatnya bukan hanya terletak kepada kebersihan luaran semata-mata.
Mungkin kekotoran hati ini boleh digunakan di mukabumi memandangkan alam
ini memang banyak kekotoran.
Oleh
yang demikian, bersihkanlah hati dengan sebersih-bersihnya, kebersihan
hati akan dicerminkan dengan amalan luaran yang baik dan kalau kita
bertemu dengan mereka yang terdapat kehitaman pada dirinya dan ini
jelas kelihatan dengan amalan kemungkaran yang dilakukannya maka
janganlah kita mengeji mereka sebaliknya berusahakan untuk membersihkan
kotoran itu. Dengan harapan usaha kita itu diberkati Allah lantas
disampaikan hidayah di hati insan yang gelap hatinya itu dan digantikan
dengan cahaya yang terang benderang.
Janganlah menambah kejijikan kepada perkara yang jijik tetapi berusahalah untuk membersihkan kejijikan tersebut.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya
segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas
kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta. Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
0 komentar:
Posting Komentar