Akhlak Pemimpin
Akhlak yang perlu ada bagi setiap pemimpin
1. Dia mestilah seorang yang mengharapkan
‘Akhirat’ dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Mempunyai hati yang
bersih, jauh daripada penyakit jiwa yang meruntuhkan amal dan usahanya.
2. Dia mempunyai akal yang kuat, berhikmah,
cendekiawan, bijaksana, berpengalaman, berpandangan tajam, pembacaan
yang luas, mampu mengetahui pelbagai perkara dari segenap sudut, pantas
memahaminya dan cepat menggunakannya sebaik mungkin.
3. Berakhlak dengan sifat al-hilm.
4. Berani, bermaruah dan tidak melulu. Asal
keberanian ialah ketetapan dan ketahanan hati, taat kepada Allah, tidak
ada wahn (cintakan dunia dan takut mati), berani berterus terang dalam
menyatakan yang haq, pandai menyimpan rahsia, sanggup mengakui
kesilapan, insaf terhadap diri dan mampu mengawal kemarahan.
5. Bersikap as-siddiq dalam perkataan dan perbuatan.
6. Tawadhu’ – tidak membanggakan diri kepada manusia. Hatinya tunduk dan patuh pada al-haq.
7. Memaafkan dan ihsan terhadap perbuatan keji
orang lain terhadap kita. Para pemimpin biasanya terdedah kepada
pelbagai mauqif dan beraneka ragam manusia. Selalunya gangguan dan
serangan ditujukan kepada jamaah melalui diri pemimpin. Jadi, wajiblah
pemimpin menghiasi dirinya dengan sifat pemaaf, menahan kemarahan dan
ihsan asalkan tidak membawa kepada kerendahan, kehinaan ataupun
kerosakan yang menimpa maslahat syariat.
8. Menepati janji dan memenuhi sumpah setia.
Akhlak ini melahirkan thiqqah dalam suasana amal, ketenteraman,
tolong-menolong dan membawa hasil. Ketiadaan akhlak ini akan melahirkan
syak wasangka, keraguan dan ketidakpercayaan orang lain dalam
melaksanakan sesuatu urusan dan akan membawa kepada tergendalanya amal
dan usaha. Akhirnya sebarang natijah tidak akan tercapai dalam urusan
dakwah. Oleh itu dalam ‘Rukun Bai’ah’ perkara inilah yang terpenting
sekali untuk disempurnakan oleh pemimpin dan anggota jamaah kerana ia
adalah bai’ah bersama Allah. Memungkiri mana-mana Rukun Bai’ah adalah
memungkiri bai’ah itu sendiri. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya
mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan (kekuasaan Allah di atas
tangan mereka. Maka barangsiapa yang melanggarnya, janji itu akan
menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa yang menepati janjinya kepada
Allah, maka Allah akan memberinya pahala yang besar.”
9. Kesabaran. Jalan dakwah adalah panjang,
sukar, dipenuhi dengan perkara yang berlawanan dengan kehendak hawa
nafsu, penuh dengan onak, racun, rintangan, bencana dan ujian. Usaha
dakwah yang didokong oleh Jamaah dan Harakah Islam adalah perkara yang
besar dan berat, memerlukan usaha yang bukan sedikit. Semua ini
memerlukan kesabaran yang amat tinggi.
10. Bersifat dengan al-iffah (suci hati jiwa dan
amal) dan al-karam (pemurah dan tidak bakhil). Dengan sifat ini pemimpin
tidak berminat dengan harta benda yang melemahkan kemahuan dan tidak
sesuai dengan usaha serta jihad besar dalam menentang musuh-musuh Allah.
Pemimpin mestilah menjadi qudwah melalui sifat pemurah dan mengutamakan
kepentingan orang lain daripada kepentingan sendiri.
11. Adil dan insaf (terutama terhadap diri
sendiri). Sifat ini amat penting kepada pemimpin dan mas’ul dalam amal
jamaie kerana setiap individu akan merasa tenteram terhadap haknya dan
menginsafinya.
12. Bersifat wara’ dan zuhud. Ini dapat menjauhi
syubhat, meninggalkan perkara yang mengandungi dosa kerana takut
terjebak ke dalamnya. Dia sentiasa bermuhasabah dalam segala hal dan
setiap waktu.
13. Tidak mengungkit dan memperkatakan kebaikan
diri sendiri. Jangan mengharapkan pujian dan sanjungan manusia dan tidak
memuji diri sendiri atas segala usaha yang dilaksanakan dalam
berdakwah.
14. Memelihara perkara yang dimuliakan oleh Allah
(Hurumatillah). Setiap mas’ul dalam jamaah mesti menjadi pengawal dan
penjaga yang sentiasa sedar, berwaspada dan dipercayai dalam memelihara
‘Hurumatillah’ dan segenap ajaran Islam supaya tidak timbul pencabulan
hak atau perbuatan melampaui batas. Firman Allah yang bermaksud: “Dan
barangsiapa mengagung-agungkan apa yang terhormat disisi Allah, maka itu
adalah lebih baik baginya disisi Allah.”
15. Kesejahteraan hati, tidak menghiraukan
umpatan dan adu domba di antara manusia. Perkara ini jika dilayan akan
memberi ruang yang luas untuk dimasuki syaitan, memarakkan kebencian dan
permusuhan. Akhirnya melahirkan perpecahan dan keributan dalam jamaah.
16. Keazaman yang kuat dan tawakkal yang tinggi
kepada Allah. Pemimpin terdedah kepada pelbagai biah, peristiwa dan
bebanan yang mempunyai natijah yang penting dan besar. Pemimpin dituntut
menghadapi semuanya dengan azam, kekuatan, hikmah, tanpa kelemahan,
keraguan dan menyerah kalah. Sentiasa berbaik sangka dengan Allah kerana
dialah yang Maha Berkuasa di atas setiap perkara.
0 komentar:
Posting Komentar