Rabu, 10 Juli 2013

Harapan Selepas Ramadan

Matlamat Selepas Ramadan

Setiap orang beriman yang telah melaksanakan ibadah puasa fardu Ramadan akan mengharapkan ibadahnya diterima ALLAH swt. Bagaimanakah dapat dipastikan bahawa ibadah puasa selama sebulan itu diterima? Ibadah puasa yang diterima adalah ibadah puasa yang berjaya dan menjadi ibadah yang mabrur. Sementara ibadah puasa yang gagal adalah ibadah puasa yang tertolak dan menjadi ibadah yang mardud.


Tujuan Ibadah Puasa Ramadan.

Ada 2 tujuan ibadah puasa fardu Ramadan iaitu :

 
  • Tunaikan ibadah yang difardukan ALLAH swt.
  • Memperbaiki rohani, hati, akhlak dan iman.

Tujuan utama berpuasa fardu Ramadan adalah semata-mata kerana ALLAH swt. Ia adalah satu perintah yang telah termaktub di dalam kitab suci al-Qur'an. Setiap orang beriman akan patuh kepada perintah ALLAH swt dengan tanpa rasa ragu-ragu.


Tujuan kedua berpuasa adalah untuk kebersihan rohani kita. Semasa berpuasa kita dilatih untuk bersabar dalam menghadapi rasa lapar dan dahaga. Sifat sabar adalah sifat terpuji yang letaknya di hati. Dengan adanya rasa sabar, kita dapat mengurangkan sifat-sifat buruk yang lain seperti marah, benci dan dendam. Sifat sabar akan mendatangkan juga sifat reda, syukur, tawaduk dan belas kasihan sesama insan.


Hati yang telah dapat diisi dengan sifat-sifat terpuji akan mempengaruhi akhlak untuk menjadi lebih baik. Orang Islam yang sedang berpuasa akan bersikap sopan-santun, hormat-menghormati dan tidak akan mengeluarkan kata-kata selain yang baik-baik sahaja.


Dengan hati yang bersih dan akhlak yang baik akan meningkatkan rasa takwa kepada ALLAH swt. Inilah peningkatan iman ke darjat yang lebih tinggi dari yang sebelumnya. Dan inilah kejayaan Ramadan yang menjadi matlamat setiap orang yang beriman.


Maka itu di akhir Ramadan dan di awal Syawal akan disebut-sebut ucapan "Minal Aidil Wal Faizin Wal Makbulin." Faizin membawa erti kejayaan. Kejayaan yang membawa kepada kemakbulan ibadah iaitu ibadah yang diterima. Bagaimanakah untuk mencapai wal faizin?


Cara untuk mencapai wal faizin ialah dengan 2 perkara ini :

  • Iman
  • Istiqamah

Iman ertinya keyakinan dan kepercayaan terhadap yang Maha Esa. Jika iman ada di dalam hati, melaksanakan segala perintah-NYA adalah satu nikmat yang mengembirakan dan merasa sedih dan rindu apabila tidak berdaya melaksankannya. 


Dan apabila telah ada rasa kemanisan iman, perlaksaan ibadah akan menjadi sesuatu yang berterusan dan tetap iaitu beristiqamah. Walaupun ibadah yang berat akan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh kerana telah dapat merasa keseronakan ibadah itu.


Dengan kata lain, untuk mencapai wal faizin selepas Ramadan, mestilah ada kesan istiqamah pada perlaksaan ibadah seharian kita. Segala ibadah dan amalan yang banyak dilaksanakan dalam Ramadan akan berterusan juga di luar Ramadan. Jika ini dapat dilakukan maka ibadah puasa kita kemungkinan besar telah mencapai wal faizin yang diharapkan.


Tanda-Tanda Puasa Ramadan Yang Berjaya. 


Di akhir Ramadan adalah baik untuk kita membuat penilaian dan memeriksa samada ibadah puasa kita itu telah berjaya mencapai matlamatnya yang sebenar. Antara tanda-tanda puasa yang berjaya adalah :
  • Terasa sedih di akhir Ramadan kerana terasa kehilangannya dan rasa takut tidak akan dapat bertemu lagi dengannya.
  • Hati merasa cenderung kepada perkara keibadatan dan menolak perkara maksiat dan yang sia-sia.
  • Rasa ada peningkatan iman dan perubahan dalam akhlak kepada yang lebih baik.
  • Kurang rasa marah dan senang untuk memberi maaf.
  • Meneruskan amalan yang sunat selepas Ramadan.
  • Banyak bertaubat dan berhijrah ke jalan ALLAH swt.

Ini adalah sebahagian sahaja tanda-tanda puasa yang berjaya. Jika tiada tanda-tanda itu dapat dirasakan setelah selesai Ramadan, kemungkinan ia disebabkan oleh kurang kesempurnaan dalam pelaksaan ibadah puasa tersebut. Seperti tidak menjaga pandangan mata, tidak menjaga lidah dan tidak menjaga pendengaran. Haruslah diingatkan bahawa berpuasa bukan sekadar tidak makan dan tidak minum sahaja tetapi juga menjaga pancaindera dari melakukan perkara-perkara yang dilarang dan mendatangkan dosa.


Harapan selepas Ramadan :



1) Dibolehkan kita untuk bersujud syukur di akhir Ramdan sebagai tanda syukur dan gembira dapat hidup di dalam Ramadan. Setelah itu berdoalah semoga kita dapat bertemu Ramadan lagi dalam keadaan yang lebih baik.

2) Mohon kepada ALLAH swt supaya diampunkan segala kesilapan dan kekurangan dalam kita menjalani ibadah puasa.

3) Mohon semoga ibadah puasa kita dapat penerimaan dan pengabulan yang baik oleh ALLAH swt.

4) Berdoa untuk menyimpan segala amalan Ramadan kepada ALLAH swt untuk hari yang dihajatkan iaitu Hari Kiamat. 


by. kalam-insani

0 komentar:

Posting Komentar

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Press Release Distribution