Sabar Dalam Ujian Penentu Kejayaan Dalam Kehidupan
“Allah itu tidak akan memberatkan kepada hamba dengan perkara yang
dia tidak mampu tanggung. Namun mengapa ada orang boleh murtad setelah
keluarganya meninggal dalam suatu tragedi kemalangan? Adakah Allah tidak
tahu bahawa dia tidak mampu? Selain itu, ramai diluar sana yang sampai
sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menerima takdir hidup. Bukankah
itu menunjukkan dia tidak mampu? Mengapa manusia perlu diuji?
Mengapa ada ujian dalam kehidupan?
Sebenarnya ujian merupakan lumrah dalam kehidupan. Jika kita
menghendaki sesuatu yang kita sukai perlu kita berusaha menggapainya.
Dalam pada itu, kesempitan, kesukaran dan berbagai rintangan perlu
ditempuhi untuk memenuhi cita-cita kita itu. Lebih-lebih lagi apabila
kita mengharap redha Allah yang tiada tandingan jika hendak dibandingkan
dengan apa jua bentuk kenikmatan. Namun, ujian di dunia sebenarnya
bersifat sementara dan hanya untuk menilai tahap kesabaran manusia.
Allah berfirman:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk
menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia
Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang
yang bertaubat)” ( Al-Mulk: 2)
Hakikat dalam ujian adalah menentukan darjat seseorang insan di sisi
Tuhan. Sama ada baik atau buruk semua terpulang kepada diri manusia itu
sendiri. Selain itu, jika kita teliti semula sejarah manusia-manusia
yang berjaya dalam hidupnya tidak pernah lekang kehidupan mereka
daripada menghadapi ujian.
Lihat dalam sejarah hidup baginda s.a.w, berapa kali baginda dicaci
maki? Berapa kali batang tubuh baginda disakiti? Berapa kali baginda
digelar itu dan ini? Bukankah baginda seorang nabi? Adakah kita lebih
mulia daripada baginda sehingga ujian yang datang melanda kita anggap
sebagai suatu penyeksaan? Sedangkan baginda menghabisi seluruh
kehidupannya dengan menyebarkan kebaikan walhal kita hidup dengan penuh
kepura-puraan.
Oleh itu, sedarlah wahai insan, kita diuji bukan bermakna Allah
menjauhkan kita dengan-Nya. Bahkan manusia yang teguh dan sabar dalam
menempuhi ujian ini hakikatnya dia lebih dekat dengan Allah s.w.t. Di
samping itu, apabila manusia diuji sebenarnya Allah sedang berbicara
dengannya kerana Allah mahu kebaikan tersemat dalam jiwa hamba. Sabda
Rasulullah s.a.w daripada Abu Hurairah r.a:
“Barangsiapa yang Allah kehendaki akan memperoleh kebaikan maka
Allah akan timpakan kepadanya musibah padanya baik yang mengenai
tubuhnya atau hartanya atau apa-apa yang menjadi kekasihnya”.( HR
Bukhari )
Ujian sekadar kemampuan insan
“Allah tidak membebani manusia melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah:286)
Begitu bunyi ayat Allah menggambarkan kepada manusia sebenarnya Dia
tidak memberatkan manusia dengan apa yang tidak mampu untuk dilakukan.
Namun, mengapa masih ada manusia seakan-akan tidak dapat menerima ujian
dari-Nya?
Maha suci Allah daripada tidak tahu tahap keupayaan manusia. Hakikat
sebenarnya, tahap keupayaan seseorang insan itu ditentukan oleh dirinya
sendiri. Sejauh mana dia ingin membawa diri jika ditimpa kesusahan atau
sekuat mana dia mampu mendepani segala permasalahan dalam kehidupan
semuanya bergantung pada kekentalan jiwa insan.
Merujuk kepada persoalan diatas tentang seseorang yang murtad atau
melakukan keburukan yang lain selepas diuji dengan kematian keluarga
akibat kemalangan saya suka untuk melontarkan beberapa idea. Jika kita
lihat semula, manusia secara pasti akan menemui mati. Justeru, bagi
mereka yang ditimpa musibah seperti ini tidak perlu lama bersedih hati.
Bukan bermaksud tidak perlu sedih atau mengenang akan kematian. Namun,
jangan menjadikan ia sebagai titik pengakhiran hidup kita atau titik
mula kita melakukan kerosakan kerana bagi mereka yang sedar bahawa
setiap insan juga akan turut ikut sama(mati) maka tidak wajar bagi
mereka bersedih dalam kadar yang lama apalagi murtad.
Allah menguji seseorang dengan kemampuannya. Disebalik itu, Dia
menyediakan balasan setimpal dengan ujian yang telah ditetapkan dengan
syarat perlu diterbit dalam jiwa manusia itu rasa redha dengan
ketentuan-Nya. Bagi kes seperti ini nabi s.a.w ada bersabda daripada Abu
Hurairah r.a:
“Tidak ada balasan bagi seseorang hambaku yang mu’min di sisiKu
di waktu aku mengambil kekasihnya dari ahli dunia, kemudian ia
mengharapkan keredhaan Allah melainkan orang itu memperoleh syurga.”(HR
Bukhari)
Proses peningkatan iman
Iman manusia meningkat dan menurun. Meningkat apabila dilimpahi
dengan ibadat, menurun apabila melakukan maksiat. Ujian dalam kehidupan
merupakan elemen yang Allah tetapkan untuk menilai tahap keimanan
seseorang sama ada tertingkat atau sebaliknya. Allah berfirman:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan
hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu
cubaan)?” (Al-Ankabut:2)
Begitu sebenarnya hakikat keimanan. Ia bukanlah angan-angan atau
mimpi. Tetapi ia adalah apa yang tersemat kukuh di dalam diri dan
terzahir dengan amalan yang menjadi bukti. Keberjayaan ujian pada setiap
manusia dinilai dengan tahap kesabarannya menempuhi segala cabaran
kerana orang-orang bersabar sesungguhnya Allah ada bersama-sama mereka.
Kondisi Sabar
Sabar boleh dibahagikan kepada beberapa kondisi dalam kehidupan manusia antaranya:
1.Sabar dalam ketaatan
Dalam melakukan perkara kebaikan, kesabaran amat diperlukan. Hal ini
kerana dala jiwa manusia sentiasa ada musuh yang menghasut untuk membuat
kejahatan. Di tambah pula dengan realiti hidup manusia sekarang ini di
mana orang yang melakukan sesuatu kebaikan dianggap sebagai sesuatu yang
ganjil. Justeru, dalam melakukan kebaikan tidak dapat tidak perlu
seiring dengan kesabaran.
2.Sabar dalam ujian
Seperti yang saya sebutkan tentang persoalan yang diajukan kepada
saya di atas juga dalam apa bentuk ujian dalam kehidupan manusia, sabar
amatlah dituntut kerana tanpa kesabaran manusia akan hilang arah. Mula
dia menyalahkan Allah atas segala musibah. Jadi, kesabaran dalam situasi
ini amat penting supaya manusia sekurang-kurangnya bersangka baik
dengan Allah atas segala masalah.
3.Sabar dalam kemaksiatan
Sabar ini bukanlah bermaksud apabila kita ingin membuat keburukan
perlu ada kesabaran. Namun, ia adalah sejauh mana kita dapat menahan
diri kita untuk tidak melakukan maksiat berkenaan. Tambahan pula, dalam
perkara yang melibatkan kemaksiatan, banyak faktor-faktor yang melorong
manusia kea rah berkenaan. Natijahnya, kesabaran dalam kemaksiatan
adalah suatu tuntutan.
Sabar dalam perhubungan
1.Kekeluargaan
Lumrah dalam keluarga kadang-kadang bertikam lidah sesama saudara
sedarah. Namun, sillaturahim antara keluarga perkara yang wajib dijaga.
Dewasa kini, manusia terlalu mudah memutuskan persaudaraan hanya kerana
perwarisan harta, dengki yang tak semena-mena dan pelbagai perkara remeh
yang lain. Justeru, bertolak ansur dan berbaik sangka amaln mulia yang
boleh mengelakkan perkara ini terus berpanjangan.
2.Percintaan
Sabar dalam percintaan bukan bermakna menanti penuh sabar tanpa ada
usaha untuk mencarinya. Sememangnya jodoh telah tertulis, namun usaha
daripada pihak manusia juga satu keperluan. Tetapi ramai yang salah
sangka hingga menganggap cinta sesama manusia adalah segala-galanya
hingga sanggup dihabiskan masa dengan novel-novel dan perkara menjurus
kearah itu yang tidak membuahkan faedah. Tambahan lagi, sabar dalam
bercinta juga adalah kita menahan nafsu untuk melakukan perkara yang
ditegah sebelum akad yang sah disamping berusaha bersedia dari sudut
mental dan fizikal sebelum seseorang bernikah.
3.Rumah tangga
Saya bukan orang yang layak bercakap soal ini kerana masih belum
berumah tangga. Namun, asam garam dalam berumah tangga, kadang-kadang
ada pandangan berbeza. Adapun kesabaran perlu menjadi tonggak utama
dalam banyak perkara kerana kesan perselisihan yang berpanjangan bukan
sahaja pada pasangan namun lebih buruk tertempias kepada anak-anak. Maka
akan berlakulah perkara yang tidak diingini akibat protes daripada
anak-anak yang mengharapkan perhatian dan kasih-sayang daripada ibu bapa
namun apa yang diterima adalah sebaliknya.
4.Persahabatan
Dalam persahabatan, kesabaran amat penting kerana sahabat atas dasar
keimanan lebih berharga nilainya daripada persaudaraan sedarah. Justeru,
ulama’ meletakkan garis panduan pada manusia dalam menilai kesabaran
dalam persahabatan iaitu bersangka baik atau berlapang dada sebagai
selemah-lemah perkara dan mendahulukan sahabat dalam apa jua urusan
sebagai tertinggi nilainya.
Kesimpulan
Kesabaran dalam ujian itu adalah satu perkara yang sukar kerana ia
melibatkan pelbagai bentuk pengorbanan. Adapun mereka yang berusaha
mencapainya dengan bacaan tentang sejarah orang-orang yang sabar dan
ganjaran bagi mereka serta bersyukur dengan kenikmatan yang diberikan
pasti akan memperoleh kejayaan kalau bukan di dunia pasti di akhirat
sana. Teliti hadis baginda s.a.w ini sebagai pemangkin semangat dalam
diri kita untuk sama-sama tanamkan sifat sabar dalam jiwa:
“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah
hati, sedih, disakiti orang lain dan derita sehingga sebatang duri
menikamnya kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosanya”. (HR
Bukhari)
0 komentar:
Posting Komentar