Duhai Jiwa Yang Berdosa, Tidakkah Kau Merasa Allah Itu Sentiasa Ada Melihat Kita?
Dalam menjalani kehidupan dalam era zaman serba moden ini, bukan
suatu perkara yang mudah terutama bagi jiwa-jiwa pemuda mengharungi
perjalanan seharian dengan bisa mengorbankan rasa selesa dengan apa yang
ada untuk selain dari kepentingan peribadi. Gadjet-gadjet canggih,
dunia alam maya tanpa sempadan banyak merosakkan masyarakat kita jika
tidak dikawal selia dengan baik dengan proses pendidikan yang
berpaksikan nilai-nilai murni Islam.
Namun, tiada guna menyalahkan media. Tiada guna salahkan masyarakat
sekitarnya jika tiada rasa ketumbukan dari dalam diri untuk berusaha
mengatasinya. Jika mampu atasi sukar pula untuk mengekalkan momentum
kebaikan dalam diri hingga berjaya pulang nanti bertemu Allah dalam
keadaan diredhai-Nya. Justeru, apakah masih ada cara untuk jiwa ini
diperbaiki seterusnya membelah arus untuk terus kekal di atas jalan
Ilahi?
Tadabbur ayat al-Quran untuk tahu saranan Allah kepada insan
Allah s.w.t banyak memberi peringatan dan saranan-Nya dalam al-Quran
supaya manusia tidak terhanyut dari petunjuk-Nya. Bahkan Dia sentiasa
ada, dan kekal ada sampai bila-bila untuk manusia bergantung pengharapan
hatta menyukai mereka yang sering meminta pertolongan pada-Nya dalam
apa jua keadaan yang mana berlainan sifatnya dengan manusia. Oleh itu,
apabila keberadaan Allah itu kita rasai dekat dengan jiwa kita, maka
kita akan berasa malu untuk ingkar suruhan-Nya.
Allah s.w.t. berfirman:
وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا
هُوَ ۚ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ۚ وَمَا تَسْقُطُ مِن
وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا
رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ ﴿٥٩﴾
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala
yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja
dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut dan tidak gugur
sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir
bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering,
melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang
terang nyata. [Al-An’am:59]
Merasai Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat
1) Hanya Allah yang benar-benar mengetahui segala yang ghaib
وَعِندَهُ
Dalam ayat ini, perkataan ini digunakan yang mana terdapat dua rahsia
dari sudut posisinya dalam ayat dan juga perkataan yang menjadi
pilihan.
Berkenaan dengan posisi perkataan ini, dalam ilmu balaghah al-Quran
apabila sesuatu perkataan itu didahulukan ia akan membawa maksud
tambahan sama ada pengkhususan atau penegasan. Dalam ayat ini, perkataan
tersebut mengandungi kedua-duanya sekali dengan membawa maksud bahawa
hanyasanya Allahlah yang mengetahui segala yang ghaib bahkan benar-benar
mengetahui.
Melihat dari sudut perkataan ini dipilih amat menarik. Menurut ilmu
tajwid apabila huruf nun (ن) bertemu dengan huruf dal (د), maka hukum
bacaannya adalah ikhfa’ yang membawa maksud sembunyi dalam bahasa
Melayu. Berkaitan dengan ayat tersebut, begitu sinonim lafaz ini
digunakan kerana bukan sahaja dari sudut posisinya yang strategic tetapi
pemilihan perkataan yang menggambarkan bahawa segala yang ghaib itu
dalam pengetahuan Allah sahaja (tersembunyi) dari manusia.
Berdasarkan ayat ini Imam Al-Bukhari menyebutkan ada lima kunci ghaib disisi-Nya:
Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari
kiamat[1]. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan (rezeki)[2], dan yang
mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu
yang mengandung)[3]. Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa
yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat)[4]; dan tiada
seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati[5].
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.
[Luqman:34]
Kelima-lima perkara ini tidak akan pernah sampai kepada pengetahuan
manusia secara pasti kecuali terlihat padanya tanda-tanda akan berlaku
perkara tersebut.
Manusia tidak pernah mengetahui bilakah hari kiamat itu akan berlaku
yang membawa maksud kita tidak pernah tahu pengakhiran kita lebih-lebih
lagi orang lain itu bagaimana. Begitu juga waktu dan keadaan kita
dimatikan. Justeru, amatlah tidak adil bahkan ia boleh boleh
dikategorikan sebagai zalim jika seseorang itu mudah menghukum seseorang
berdasarkan apa yang dibuatnya pada masa kini kerana sifat hati manusia
boleh berubah-ubah. Boleh jadi hari ini kita baik tetapi tidak esok dan
sebaliknya.
Dari sudut pandang lain, kita sebenarnya tidak boleh menabur persepsi
terhadap pihak lain selagi tidak wujud bukti yang jelas akan perbuatan
mereka kerana tidak mengetahui perkara yang tersembunyi. Sebagai contoh
mengangkat isu perkauman kerana beranggapan ia mempunyai agenda
tertentu. Tidak dinafikan semua golongan, bangsa, agama mempunyai buah
fikir tertentu untuk digerakkan. Namun, sebagai manusia kita hanya
menghukum seseorang berdasarkan zahirnya dan apa yang telah berlaku
kerana hakikatnya pengetahuan kita terbatas.
Selain itu, manusia terlindung dari mengetahui rezeki dan segala
kebaikan dan keburukan yang akan dikurniakan. Justeru, teruskan berusaha
dan jangan sekali-kali berputus asa kerana kita tidak tahu rezeki yang
bakal kita terima datang bila dan dari arah mana. Tambahan kadang-kadang
bagi pihak kita selalu ingin memilih jalan pintas untuk mendapat rezeki
atau kebaikan. Salah. Hakikatnya kebaikan dan rezeki itu didatangi
dengan usaha bukan mendatangi dengan berdiam diri semata.
2) Tiada tempat persembunyian dari pengetahuan-Nya.
Allah s.w.t menyebutkan bahawasanya Dia mengetahui setiap apa yang
ada di daratan dan di lautan yang merangkumi keseluruh pelosok dunia
dibawah pengetahuan-Nya. Segala apa yang kita buat akan dirakamkan
seterusnya akan ditayangkan semula dihadapan kita kelak. Adakah kita
sanggup melihat timbangan dosa kita diberatkan dengan salah laku kita di
atas dunia sedangkan kita perlukan jisim pahala untuk kita ke syurga?
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, setiap perkataan yang
didahulukan semestinya ada rahsianya. Begitu juga dengan ayat ini. Allah
menyebutkan bahawa Dia mengetahui di daratan dahulu kemudian di lautan.
Jika kita teliti ia sebenarnya menunjukkan kelemahan manusia iaitu
Allah mengetahui segala apa yang manusia terbiasa nampak iaitu segala
yang ada di daratan di tambah lagi dalam lautan yang mana manusia amat
terbatas untuk ketahui dengan mata kasar tanpa bantuan teknologi. Maha
Kuasanya Allah.
3) Tiada suatu perkara terlepas dari genggaman-Nya
Gugurnya daun yang amat ringan bahkan tidak mengeluarkan bunyi pun
ketika ia jatuh menyembah bumi diketahui oleh Allah inikan pula
amalan-amalan manusia. Sebab itu, dosa itu lebih berat jika dilakukan
terang-terangan kerana ia bukan sekadar salah kepada zat dosa tersebut
tetapi ia suatu bentuk kesombongan dalam diri manusia seakan-akan tiada
pihak yang lebih berkuasa yang bisa membalas perbuatannya.
Oleh yang demikian, era globalisasi ini yang mana kita tahu mudah
tersebarnya fitnah saya mengajak untuk sama-sama kita cuba koreksi diri
dengan meletakkan diri kita seolah berhadapan dengan-Nya dan Dia melihat
segala perbuatan kita. Bertanya pada diri kita:
- Sewaktu kita berfacebook dimanakah kita meletakkan Allah (sebagai pemerhati) dalam post-post kita?
- Sewaktu kita beryoutoube, adakah kita merasai Allah mengetahui apa yang kita lihat?
- Sewaktu kita berchatting di twitter, viber, whatsapp, adakahkita tidak dihitung semula di akhirat sana?
- Sewaktu kita berlebihan menonton movie dan bermain game kita, tidakkah kita akan ditanya tentang masa yang tersia-sia?
Sedangkan sekecil-kecil perkara gugurnya daun pun dalam ruangan
pengetahuan Allah, adakah kita boleh yakin kita mempunyai jawapan
positif bagi soalan yang diutarakan untuk membantu kita menggapai
syurga-Nya?
Ini adalah suatu masalah yang kronik dewasa ini. Meninggalkan unsur
ketuhanan hanya dicadar sembahyang. Usai solat, maka ia tidak memberi
implakasi pada kerja-kerja harian. Tidak ketika belajar. Tidak ketika
berjalan bersiar-siar dan sebagainya. Sebab itu ibadat yang dilaksanakan
yang tidak memberi kesan pada jiwa adalah ibadat yang dilakukan atas
dasar adat bukan taat.
4) Biar terang atau bercahaya, Allah tahu semuanya.
Manusia normal hanya mempunyai lima pancaindera yang amat terbatas
penggunaannya. Kita hanya bisa gapai yang pancaindera kita mampu sahaja.
Terbatas. Sebab itu, jangan manusia menyangka dia boleh terlepas dengan
menipu manusia lain dalam keadaan mereka tidak tahu atau terbatas
pancaindera disebabkan tempat yang gelap tidak bercahaya untuk mengakses
sesuatu maklumat. Mungkin hanya di dunia. Tetapi sungguh manusia itu
pelupa bahawa ada balasan akhirat di sana kerana Allah s.w.t bersih dari
tidak mengetahui segala sesuatu biar apapun jua keadaan
persekitarannya.
5) Tiada diskriminasi dalam perkara yang diadili.
Antara sifat Allah itu adalah adil bahkan Dialah pemilik mutlak bagi
segala keadilan. Tidak kira manusia itu dari sudut jenis, bangsa,
jantina, agama semuanya tidak terlepas dari menjadi ‘pelakon’ bagi watak
yang dipilih oleh manusia itu sendiri yang seterusnya akan diadili
kesemuanya.
Biarpun dia seorang pemimpin sebuah negara atau sekadar rakyat
jelata. Biarpun dia majikan tertinggi atau seorang pekerja makan gaji.
Biarpun dia seorang ulama’ terbilang atau golongan professional
cemerlang. Tiada suatu kumpulan bahkan perseorangan yang akan terlepas
dari dihitung segala amalan.
Kesimpulan
Fitrah normal manusia yang dipandukan keimanan inginkan kebaikan.
Namun, sifat-sifat asas yang wujud dalam jiwa manusia itu sungguh
bertentangan dengan watak yang baik. Justeru, manusia itu perlu
memperbaiki dan melakukan perubahan untuk memastikan dia selamat hingga
ke akhir perjalanan menuju tuhan.
Setelah menemui laluan kebaikan, maka perlu pula manusia istiqamah
kerana hakikat hati manusia boleh berbolak-balik. Demikian, merasai
bahawa sebenarnya Allah itu Maha Mengetahui setiap perkara yang kita
lakukan merupakan salah satu langkah utama untuk manusia terus tetap
dijalan-Nya kerana tidakkah kita berasa malu dengan usia kita yang
teramat singkat ini, kita kembali kepada Allah dalam keadaan yang Allah
tidak redha?
Akhir sekali, saya nukilkan persoalan yang pernah ditanyakan oleh
Hasan Basri tentang apakah rahsia kezuhudannya di atas dunia. Beliau
menjawab:
1)Aku tahu rezeki aku telah ditentukan dan tidak akan diambil oleh orang lain sebab itu aku tenang berusaha.
2) Aku tahu amalan au tidak akan dikerjakan oleh orang lain sebab itu aku sibuk untuk perbanyakkan amalan aku
3) Aku tahu Allah sentiasa melihat kepada aku, sebab itu aku malu Allah melihatku dalam keadaan maksiat
4) Aku tahu mati itu adalah pasti, sebab itu aku berusaha beramal untuk bekalan hari nanti.
------------------------
* zuhud bukan mesti berktrampilan kurang baik tetapi tidak meletakkan dunia di dalam hati kita.
0 komentar:
Posting Komentar