Bahaya Cinta Nafsu
CINTA itu adalah anugerah daripada Allah kepada semua makhluk
ciptaannya. Allah menciptakan segala sesuatu itu secara
berpasangan-pasangan (lihat Surah Ar-rum ayat 21) yaitu lelaki dengan
perempuan dengan tujuan agar mereka saling mengisi kekurangan dan
kelebihan di antara mereka yang pada akhirnya akan tumbuh cinta dalam
hati mereka.
Cinta dapat membawa keberkatan jika kita boleh mengarahkannya ke
jalan yang diredai oleh Allah s.w.t, tetapi cinta juga boleh membawa
kepada petaka, malah menjerumuskan kita ke lembah kemaksiatan dan jauh
daripada norma Islam.
Bercinta janganlah mengiku nafsu semata, tetapi ia perlu berasas
kepada agama dan batas Islam. Cinta nafsu adalah cinta yang tidak
mengikuti aturan Islam. Ia bebas berbuat apa saja.
Ada beberapa kerosakan akibat cinta nafsu ini.
Pertama, lupa
mengingati Allah kerana mereka lebih sibuk mengingati makhluk-Nya yakni
orang yang dicintainya.
Contohnya jika dia lebih kuat mengingati Allah, insya-Allah
mengingati makhluk pasti terkendali. Tapi jika lebih kuat mengingat
makhluk-Nya maka mengingati Allah akan dikalahkan.
Kedua, melupakan agama. Tiada orang yang paling mensia-siakan agama dan dunia melebihi orang yang sedang dirundung cinta nafsu.
Ia mensia-siakan maslahat agamanya kerana hatinya lalai untuk beribadah kepada Allah s.w.t.
Ketiga, mengundang bahaya. Bahaya dunia dan akhirat lebih cepat
menimpa kepada orang yang dirundung cinta nafsu melebihi kecepatan api
membakar kayu kering.
Ketika hati berdekatan dengan orang yang dicintainya secara buta itu,
ia akan menjauh dari Allah s.w.t. Jika hati jauh daripada Allah, semua
jenis bahaya mengancam dari segenap sudut kerana syaitan sudah menguasai
dirinya.
Jika syaitan sudah menguasai diri, mereka berada dalam keadaan bahaya.
Cukuplah dengan fakta masalah perzinaan dan penularan penyakit
seksual berlaku dalam dunia hari ini. Begitu juga dengan gejala buang
bayi yang tidak berdosa amat menggerunkan.
Keempat, syaitan akan menguasai. Jika kekuatan syaitan menguasai
seseorang, ia akan merosakkan akalnya dan memberikan rasa was-was.
Akal kadang-kadang sudah tidak terkendali ibarat seperti
meletakkannya di kepala lutut. Padahal yang paling berharga bagi manusia
adalah akalnya yang membezakannya manusia dan haiwan.
Jadi jangan hairan jika ramai yang terjerumus melakukan maksiat
kerana fikiran mereka menjadi singkat. Apa yang sentiasa mereka fikirkan
adalah hawa nafsunya iaitu mahu sedap dan seronok saja.
Kelima, kurang kepekaan. Cinta nafsu akan merosak indera atau
mengurangi kepekaannya. Apabila diri penuh dengan dosa maka hati akan
rosak. Jika hati sudah rosak maka organ lain, seperti mata, lisan,
telinga juga turut rosak.
Ertinya, ia akan melihat yang buruk pada diri orang yang dicintainya secara nafsu itu sebagai sebuah kebaikan atau sebaliknya.
Imam Ahmad menyebut: “Cintamu kepada sesuatu membutakanmu dan membuatmu tuli.”
Ibnu Abbas pernah mendengar berita ada seorang lelaki yang sangat kurus sehingga yang tinggal hanya kulit dan tulang.
Ibnu Abbas berkata, “Kenapa ia? “Ia terkena jatuh cinta, isyq (cinta buta),” jawab seseorang.
Kemudian Ibnu Abbas berdoa dan berlindung kepada Allah s.w.t
sepanjang hari daripada penyakit isyq. Kita perlu berfikir secara lebih
dewasa dalam apa jua tindakan akan kita akan lakukan. Jangan main-main
dalam menangani masalah serius itu.
Jangan sampai terbius oleh gemerlap kehidupan yang menawarkan
kenikmatan sementara. Jika kita belum mampu untuk berkahwin maka
janganlah berkahwin lagi kerana perkahwinan bukan urusan main-main.
Kita mesti rela untuk membuang fikiran murahan mengenai pertunangan
adalah segala-galanya. Sebab, bercinta adalah salah satu bahagian
ekspresi cinta nafsu.
Wahai remaja, mulai sekarang tumbuhkan dahulu kecintaan kita kepada
ilmu agama sehingga kita memahaminya serta mengamalkannya dalam
kehidupan kita seharian. Semoga pula kita tidak tergoda dengan cinta
nafsu semata.
0 komentar:
Posting Komentar