Sabar Dan Mendoakan Kebaikan
Kisah tentang seorang wali Allah yang tidak asing lagi dalam dunia
Islam, Sayyidi Ibrahim bin Adham radhiyallahu'anh. Kisah ini dipetik dan
diolah kembali daripada kitab "Kanzul Minan 'Ala Hikami Abi Madyan",
yakni sebuah kitab yang mensyarahkan Hikam Abi Madyan radhiyallahu'anh
yang telah disusun/ diterjemah oleh Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.
Pada suatu hari, Sayyidi Ibrahim bin Adham sedang berjalan-jalan di
pasar. Kemudian, beliau bertembung dengan seorang tentera. Mungkin
diakibatkan oleh salah faham, atau mungkin diakibatkan oleh sikap
tentera itu yang mahu menunjuk-nunjuk kuasanya, tentera tersebut telah
memukul kepala Ibrahim bin Adham beberapa kali. Pada ketika itu, tentera
itu tidak mengetahui bahawa yang dipukulnya itu adalah Ibrahim bin
Adham. Beliau langsung tidak membalas pukulan tersebut bahkan beliau
hanya bersabar dengan perbuatan tentera tersebut.
Setelah kejadian tersebut berlaku dan wali Allah itu pun berlalu,
maka sampailah pengetahuan kepada tentera tadi bahawa yang dipukulnya
tadi adalah Ibrahim bin Adham. Tentera tersebut dengan segera
mendapatkan Ibrahim bin Adham serta terus meminta maaf dengan
bersungguh-sungguh kepada beliau. Ibrahim bin Adham lantas menyatakan
kepada tentera itu :
"Semenjak daripada pukulan pertama engkau kepadaku, aku telah berdoa agar Allah mengampunkan dosa engkau."
Tentera itu agak kehairanan dengan doa Sayyidi Ibrahim bin Adham
tersebut, kerana perbuatan biadabnya terhadap Ibrahim bin Adham dibalasi
dengan kemaafan daripada Ibrahim bin Adham. Tentera itu lantas bertanya
kepada Ibrahim bin Adham :
"Kenapa memaafkanku wahai tuan?"
Lantas dijawab oleh Sayyidi Ibrahim bin Adham :
"Masakan tidak. Disebabkan pukulan daripada engkau dan aku bersabar
dengannya, maka aku akan dimasukkan ke dalam syurga. Maka seharusnyalah
aku berterima kasih kepada engkau. Justeru itu aku balasi dengan doa
semoga Allah mengampuni kesilapan engkau."
Semenjak daripada saat itu, tentera itu terus beradab dengan Sayyidi Ibrahim bin Adham dan menjadi anak murid beliau.
Begitulah contoh akhlak dan sikap seorang wali Allah, seorang yang mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT.
Seharusnya kita sebagai orang Islam berusaha untuk mencontohi akhlak
mulia seperti contoh yang ditunjukkan oleh para solihin terdahulu.
Wallahu'alam.
0 komentar:
Posting Komentar