Sunnah Dalam Bersahabat
Kita
sering diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan. Rakan yang
baik akan membawa kebaikan, sebaliknya yang jahat membawa kemudaratan.
Persahabatan Nabi Muhammad S.A.W dengan Saidina Abu Bakar adalah ikatan
persaudaraan yang perlu dicontohi umat Islam.
Mereka sama-sama terbabit dalam perniagaan sehingga menjadi sahabat
karib. Kedua-duanya mempunyai akhlak mulia, sama haluan dalam perjuangan
sehingga terjalin kasih sayang dan kemesraan.
Persahabatan Rasulullah S.A.W dengan Abu Bakar adalah contoh terbaik
umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Ia sewajarnya dijadikan
panduan bagi umat Islam memilih kawan yang baik. Keutamaan Abu Bakar di
mata Rasulullah dijelmakan menerusi sabda Baginda bermaksud: "Jika
ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan umat sekaliannya, nescaya
akan berat lagi keimanan Abu Bakar." [Hadis riwayat al-Baihaqi]
Rasulullah S.A.W juga meluahkan isi hatinya kepada Abu Bakar seperti dinaqalkan dalam buku susunan Syed Ahmad Semait, Sepuluh Yang Dijaminkan Masuk Syurga, katanya:
"Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah
membenarkanku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku
ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika
orang lain mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika
hatiku sedang dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa pun,
biar apa pun sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai
apa yang dibuat olehmu."
Allah S.W.T memilih Abu Bakar sebagai teman karib Rasulullah S.A.W
dalam mendokong usaha dakwah amat bertepatan sekali. Mencari kawan yang
baik dan mampu membimbing ke arah kebaikan. Rasulullah S.A.W bersabda
yang bermaksud: "Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu
diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa
kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat
membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun
peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya
yang busuk." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah S.A.W juga telah menggariskan beberapa perkara bagi
memilih teman atau kawan yang baik, antaranya : Hendaklah bersahabat
dengan orang yang bertakwa dan beriman.
Sabda Baginda bermaksud:
"Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa." [Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi]
1) Hindari daripada berkawan dengan yang buruk perangai dan akhlaknya
Ibn Asakir menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya."
Sabda Baginda lagi : "Seseorang itu berada atas cara hidup
kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang
didampinginya." [Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud]
2) Menegur kesilapan kawan di atas perkara yang benar
Ubaidah Ibn As-Samit berkata: "Rasulullah S.A.W mengikat janji
dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah dan senang, yang
disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu dari tuannya kecuali ada
bukti kekufurannya. Begitu juga, kami hendaklah berkata benar di mana
saja kami berada tanpa takut akan penghinaan daripada seseorang yang
suka menghina, semata-mata kerana Allah." [Hadis riwayat Muslim]
3) Membantu kawan ketika kesempitan
Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Seorang
Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya
dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas
hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu
kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada
kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban)
saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Begitulah antara saranan-saranan Rasulullah S.A.W kepada
kita untuk memilih rakan yang benar-benar ikhlas dan baik untuk
dijadikan teman. Sesungguhnya manusia sering lupa dan justeru itu punyai
rakan yang baik serta sering mengingatkan kita kepada kebaikan dan
mencegah kita daripada melakukan kemungkaran adalah merupaakan satu
bonus untuk kita agar kita dapat menjadi insan yang benar-benar
bertakwa.
0 komentar:
Posting Komentar