Taubat Sekali, Esok Dosa Lagi
"Assalamualaikum.. Maaf, saya ingin bertanya tentang dosa ber'couple'
pada anta. Kawan baik saya kini berada di alam percintaan. Dia selalu
melakukan perbuatan yang tidak elok dengan kekasihnya contohnya berpeluk
dan banyaklah lagi perbuatan-perbuatan lain yang boleh dikategorikan
sebagai maksiat. Walaubagaimanapun, dia memberitahu saya bahawa dia
tidak pernah meninggalkan solat dan sentiasa bertaubat kerana dia
sedar akan kesalahan-kesalahan yang dilakukannya. Saya keliru, adakah
taubatnya tetap diterima Allah kerana sejurus selepas dia bertaubat dia
akan melakukan maksiat semula, kemudian dia bertaubat lagi dan
berterusan melakukan dosa yang sama?"
Saya diajukan persoalan tersebut oleh seorang sahabat yang benar-benar
mengambil berat kepada rakannya. Alhamdulillah, sahabat saya
ini inginkan kepastian kerana dia sayang akan rakan karibnya. Sudah
pasti dia tidak mau rakan karibnya terus bergelumang dengan dosa. Saya terpanggil untuk menjawab permasalahan ini. Berhenti daripada
perbuatan dosa bukan semudah mencuci debu di jendela. Lebih-lebih lagi
dosa yang sudah sebati dalam kehidupan kita. Dosa yang apabila dibuat,
langsung tidak rasa gentar kepada Allah. Dosa yang direlakan atas
bisikan syaitan yang mengatakan tidak mengapa, Allah Maha Pengampun. Itulah dosa yang telah sebati dengan kehidupan. Belum lagi dosa-dosa
lain yang kita lakukan tanpa sedar, dan dosa-dosa yang tidak ternampak
dari pandangan mata kita Alangkah banyaknya dosa kita pada Allah. Iblis
yang baru sekali ingkar kepada Allah pun telah Allah campakkan ke bumi
dan telah Allah janjikan Api neraka untuknya selamanya. Apatah lagi kita
manusia yang berkali-kali mengulangi dosa. Astaghfirullahalazim..
Setujukah kalian sekiranya saya ibaratkan hidup ini sebagai sebuah
gelas kosong? Gelas yang lutsinar, kosong tidak berisi dan setiap
pandangan manusia bisa tembus melalui kaca gelas tersebut. Itulah kita
ketika dilahirkan. Suci daripada segala kotoran dan kejahatan. Matlamat
kita jelas untuk menjadi hamba kepada Allah yang esa. Kita tidak
dicemari titis-titis hitam kehidupan. Maka kita lahir dalam keadaan yang
sangat mulia disisi Allah. Berbalik pada realiti, cuba anda perhatikan gelas yang kosong itu.
Dan bayangkan itu waktu kehidupan seharian kita. Kita mempunyai 24 jam
sehari bukan? Dan dalam 24 jam inilah, kebaikan dan keburukan akan
berlumba-lumba untuk mengisi ruang gelas yang kosong tadi. Bermula
dengan kebaikan yang dikurniakan dalam diri, menjadi tanggungjawab kita
untuk menentukan samada gelas itu akan terus suci atau dicemari.
Sekarang coba pula anda tuangkan air kosong atau air zamzam atau air
mineral kedalam gelas tersebut? Warnanya masih lagi jernih! Suci dan
masih lagi dapat ditembusi oleh pandangan mata. Inilah yang diibaratkan
sebagai jiwa dan kehidupan yang dipenuhi amal kebaikan. Insya-Allah hati
kita masih lagi jernih dengan iman tetapi tiada manusia yang tidak
melakukan kesilapan selain Nabi Muhammad S.A.W. Sekarang, cuba anda
tenung air tersebut dengan lebih dekat lagi. Anda akan terlihat
debu-debu halus berenang di dalam air yang suci itu. Itulah dosa orang
yang beriman. Halus, sangat sedikit sehigga dilihat dengan dekat pun
belum tentu akan terperasan akan kehadirannya. Dari pandangan mata
kasar, dia tetap suci dan jernih penuh dengan kebaikan yang dilakukan.
Coba ambil sebuah gelas kosong lagi. Asalnya dia juga sama, suci,
lutsinar pada pandangan mata. Tuangkan air kopi atau coke didalamnya
perlahan-lahan. Sedikit sebanyak kesucian tadi hilang bukan? Anda akan
dapat melihat sebuah gelas yang dipenuhi titis-titis hitam pekat yang
menghalang pandangan mata anda untuk menembusi gelas tersebut. Inilah,
yang diibaratkan sebagai kehidupan dan hati yang kotor. Hati yang penuh
likat dengan dosa. Daripada keadaan suci bersih, kehidupan itu menjadi
sedikit gelap dan kemudian lebih gelap dan berterusan gelap selamanya.
Jika dicuci dengan air dan sabun barulah cawan itu akan kembali
suci. Air dan sabun itulah yang diibaratkan sebagai taubat.
Justeru, kita wajiblah memenuhkan ruang kehidupan kita dengan
amal kebaikan. Bukan bertaubat berkali-kali dan kemudian melakukan
kembali dosa tersebut. Perbuatan itu umpama mempermainkan Allah S.W.T.
Mempermainkan sifat Allah yang Maha Pengampun. Akhirnya, bukan sahaja
dosa melakukan maksiat tetapi dosa mempermainkan Allah juga kita
perolehi. Bayangkan kemungkaran Allah S.W.T terhadap hamba-Nya yang
tidak langsung takut dan cinta pada-Nya? .
Bertaubat dan berdoa sebenarnya hanya merupakan salah satu cabang usaha. Ada orang menyangka, untuk berhenti daripada melakukan dosa,
dia hanya perlu sekadar berdoa dan melaksanakan solat taubat.
Sesungguhnya dia silap!. Usah menoktahkan usaha hanya sekadar berdoa dan
solat taubat. Anda perlu melakukan lebih daripada itu. Kerana apa? Kerana syaitan tidak pernah sesaat pun berhenti daripada
menyesatkan manusia. Dan ketahuilah, syaitan itu musuh kamu yang nyata!
Meskipun syaitan mengalir dalam pembuluh darah manusia, ingatlah,
Allah itu lebih dekat daripada urat leher kita. Allah sentiasa ada
bersama kita. Dia ada untuk melindungi hamba-hamba-Nya daripada godaan
syaitan. Dan jika kena pada cara kita, Insya-Allah kita berjaya
menangkis godaan-godaan syaitan tersebut. Hamba Allah yang manakah yang akan bebas daripada godaan syaitan?
Hanya hamba-hamba Allah yang ikhlas sahaja yang akan dilindungi daripada
godaan syaitan. Maka, sama-samalah latih diri untuk ikhlas dalam
melakukan sesuatu perkara yang baik. Semua perkara yang kita lakukan
harus bermatlamatkan Allah. Demi mencapai Redha-Nya dan rahmat-Nya.
Akhirnya, selain doa dan solat taubat, isilah dan sibukkanlah
kehidupan anda dengan sebanyak-banyaknya amalan kebaikan. Jauhkan diri
anda daripada pintu-pintu dan amalan-amalan kejahatan yang berpotensi
untuk membawa anda ke arah kejahatan yang lebih dasyat.
Wallahualam.
0 komentar:
Posting Komentar