Ujian dan Dugaan: Tanda Allah Sayang
Di dalam al-Quran, ujian dan dugaan disebut oleh Allah sebagai البلاء
(bala’) serta الفتنة (fitnah). Menurut kamus المحيط (al-Muhit),
kedua-duanya berkongsi maksud yang sama. [Al-Muhit, Kaherah, Mesir]
Menjalani liku-liku hidup sebagai seorang manusia, kita tidak akan
dapat lari daripada diuji oleh Allah Azza wa Jalla. Ujian yang mendatang
selalunya menjadikan diri kita lebih tegar dan kuat. Masakan tidak.
Ujian mengajar seseorang untuk jadi lebih lasak dalam menggalas setiap
bebanan kehidupan.
Menurut Ibn Manzur dalam Lisanu al-‘Arb, bala’ itu adalah ujian yang
terdiri daripada yang baik juga yang buruk. Seperti mana yang
diberitakan pada surah al-Anbiyaa’ iaitu;
ونبلوكم بالشر والخير فتنة وإلينا ترجعون
Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan
dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan
dikembalikan. [Al-Anbiyaa’: 35]
Al-Hafiz Ibn Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini
menyatakan bahawa Allah menguji hambanya dengan musibah pada satu waktu,
dan kemudian dengan nikmat pada waktu yang lain, untuk melihat siapa
yang bersyukur dan siapa yang kufur, siapa pula yang sabar, dan siapa
yang putus harap.
Dan al-Hafiz ada menukilkan kata-kata Ibnu ‘Abbas dalam menafsirkan
ayat ini, bahawa Allah menguji hambanya dengan kecelakaan dan
kesenangan, dengan kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan serta
kemiskinan, dengan perkara yang halal dan apa yang haram, dengan
ketaatan dan kemaksiatan, serta dengan hidayah dan kesesatan. [Tafsir
al-Quran al-‘Adzim, Ibn Katsir, Abu al-Fida’.]
Ujian yang berbeda untuk mengukur keimanan
Berdasarkan tafsiran Ibnu ‘Abbas tersebut, dapat kita ketahui bahawa
pada setiap orang, berbeza tahap ujian yang dikenakan ke atasnya. Ini
adalah selari dengan ayat pada surah al-Baqarah apabila Allah
menyatakan;
لا يكلف الله نفسا إلا وسعها
Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya. [Al-Baqarah: 286]
Dari ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan
kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu
ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan
penerimaan mereka terhadap ujian serta dugaan
Ujian yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan
seorang hamba. Ini telah dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3
surah al’-Ankabut;
أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون. ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka
akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak
diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji
orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang
demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang
benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan
orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut: 2-3]
Ganjaran menanti bagi yang diuji
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menyifatan bahawa ujian yang
diberikan kepada kaum manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada
mereka. Dan semakin besar dugaan yang diberikan oleh Allah kepada
manusia, menandakan besar juga pahala yang diperoleh. Ini sebagaimana
hadith yang datang dari Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah
Sallallahu ‘Alahi Wassalam bersabda;
إن عظم الجزاء مع عظم البلاء ، وإن الله تعالى إذا أحب قوما ابتلاهم ، فمن رضي فله الرضا ، ومن سخط فله السخط
Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang
menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka
akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha –
dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan
barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. [Riwayat
al-Tirmidzi, al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam Sahih dan
Dha’if Sunan al-Tirmidzi.]
Jelas bahawa ujian yang diberikan adalah untuk menguji keimanan
seorang manusia. Jika dia beriman, maka dia akan menerimanya dengan
keredhaan. Dan padanya rahmat Allah Azza wa Jalla serta keredhaan-Nya.
Namun bagi manusia yang lalai serta tidak meredhai ujian yang diberikan
ke atasnya. Maka dia sekadar mendapat kemurkaan daripada Allah.
Hadith di atas termasuk dalam bab Sabar (الصبر) oleh Imam al-Nawawi
dalam karya beliau dalam bidang hadith; iaitu Riyadh al-Salihin. Di sini
dapat dijelaskan bahawa, bagi orang-orang yang beriman dengan Allah
Subhanahu Wa Ta’ala adalah bersabar dengan segala dugaan serta mehnah
yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Jelas juga, daripada hadith tersebut bahawa semakin besar dugaan yang
diperoleh oleh seorang manusia, maka semakin besar ganjara pahala yang
akan dia dapati.
Dalam ayat ke-214 surah al-Baqarah, ada dinyatakan bahawa orang yang
diuji itu akan mendapat pertolongan daripada Allah serta akan diganjari
dengan syurga;
أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأساء والضراء وزلزلوا حتى يقول الرسول والذين آمنوا معه متى نصر الله ألا إن نصر الله قريب
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu
akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)
seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum
kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan
serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh),
sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada
bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah
sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan
berpegang teguh kepada agama Allah). [Al-Baqarah: 214]
Bentuk-bentuk ujian yang diberikan
Di dalam al-Quran, ada disebutkan ujian-ujian yang diberikan oleh Allah kepada kaum manusia hambanya. Antaranya adalah;
1. Dugaan yang diberikan kepada kaum Nabi Musa dan Harun adalah
dengan anak lembu, yang mana mereka jadikan sembahan. (al-A’raf: 148,
Thohaa: 90)
2. Unta betina sebagai ujian buat kaum Tsamud (al-Qamar: 27)
3. Bangunan-bangunan tinggi (yang mewah) buat kaum ‘Ad (al-Fajr: 7-8)
4. Dugaan yang diberikan ke atas pemilik kebun-kebun dari kalangan kaum Musyrik dengan kebakaran. (al-Qalam: 17)
5. Ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa serta buah-buahan. (al-Baqarah: 155)
6. Anak-anak serta harta benda sebagai dugaan. (al-Taghabun: 15)
7. Jihad sebagai ujian bagi orang yang beriman (al-‘Ankabut: 6)
8. Nikmat duniawi sebagai ujian buat para manusia. (al-Zumar: 49)
9. Kekayaan dan kemiskinan sebagai ujian. (al-Fajr: 15-16)
10. Kehidupan serta kematian sebagai ujian. (al-Mulk: 2)
2. Unta betina sebagai ujian buat kaum Tsamud (al-Qamar: 27)
3. Bangunan-bangunan tinggi (yang mewah) buat kaum ‘Ad (al-Fajr: 7-8)
4. Dugaan yang diberikan ke atas pemilik kebun-kebun dari kalangan kaum Musyrik dengan kebakaran. (al-Qalam: 17)
5. Ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa serta buah-buahan. (al-Baqarah: 155)
6. Anak-anak serta harta benda sebagai dugaan. (al-Taghabun: 15)
7. Jihad sebagai ujian bagi orang yang beriman (al-‘Ankabut: 6)
8. Nikmat duniawi sebagai ujian buat para manusia. (al-Zumar: 49)
9. Kekayaan dan kemiskinan sebagai ujian. (al-Fajr: 15-16)
10. Kehidupan serta kematian sebagai ujian. (al-Mulk: 2)
Nabi Allah juga diuji
Para Nabi juga diuji. Dan ujian yang dikenakan kepada para Nabi
adalah lebih berat berbanding manusia biasa. Hal ini adalah seperti yang
dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam;
إن أشد الناس بلاء الانبياء ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم
“Sesungguhnya, manusia yang menerima
ujian yang paling berat adalah para Nabi, kemudian orang yang mengikuti
mereka, kemudian orang yang mengikuti mereka, dan kemudian orang yang
mengikuti mereka.” [al-Silsilah al-Sahihah, al-Albani]
1. Nabi Adam diuji dengan pohon yang terdapat dalam Syurga Allah. (al-Baqarah: 34)
2. Nabi Nuh menghadapi ujian dari anak yang tidak mahu taat kepada Allah. (Huud: 11)
3. Nabi Soleh menerima ujian melalui kaum Tsamud. (al-A’raf:73)
4. Nabi Ibrahim adalah antara Rasul Allah yang menerima banyak ujian, antaranya, penyembelihan anaknya Ismail. (as-Saffat: 102)
5. Nabi Luth diuji dengan kaumnya, (al-A’raf: 80)
6. Nabi Yusuf diuji dengan wanita (Yusuf: 23)
7. Nabi Musa diuji dengan Fira’un yang angkuh. (Thoha: 59-60)
8. Nabi Sulaiman diuji dengan kerajaan yang besar dan mewah. (Sad: 35)
9. Nabi Isa diuji dengan pengikut-pengikutnya. (al-Ma’idah: 112-113)
10. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga Rasul yang dikenakan dengan banyak, antaranya diuji dengan bapa saudaranya, Abu Talib. (al-Qasas: 56)
2. Nabi Nuh menghadapi ujian dari anak yang tidak mahu taat kepada Allah. (Huud: 11)
3. Nabi Soleh menerima ujian melalui kaum Tsamud. (al-A’raf:73)
4. Nabi Ibrahim adalah antara Rasul Allah yang menerima banyak ujian, antaranya, penyembelihan anaknya Ismail. (as-Saffat: 102)
5. Nabi Luth diuji dengan kaumnya, (al-A’raf: 80)
6. Nabi Yusuf diuji dengan wanita (Yusuf: 23)
7. Nabi Musa diuji dengan Fira’un yang angkuh. (Thoha: 59-60)
8. Nabi Sulaiman diuji dengan kerajaan yang besar dan mewah. (Sad: 35)
9. Nabi Isa diuji dengan pengikut-pengikutnya. (al-Ma’idah: 112-113)
10. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga Rasul yang dikenakan dengan banyak, antaranya diuji dengan bapa saudaranya, Abu Talib. (al-Qasas: 56)
Bala’ dalam konteks semasa
Mehnah dan tribulasi dalam konteks kehidupan hari ini dapat dilihat
di sekeliling kita. Bahawa setiap orang akan diuji dan tiada yang akan
terlepas daripada ujian Allah. Perkara yang ringan pada seorang, adalah
berat pada satu orang yang lain pula. Dan cara kita berinteraksi dengan
dugaan yang mendatang adalah manifestasi keimanan kita kepada Allah.
Pada kaca mata orang yang miskin, ujian buatnya adalah dengan
kemiskinan. Namun buat orang yang kaya pula, kekayaannya menjadi ujian
buat dirinya.
Manusia juga diuji dengan anak-anak. Ada orang yang mendapat anak
yang cacat, menjadi dugaan kepada mereka. Ada orang yang mendapat anak
yang tenggelam dalam jenayah. Juga menjadi ujian buat dirinya. Ada orang
pula mendapat anak yang baik serta bijak. Namun itu juga boleh jadi
dugaan buat dirinya.
Lain orang, lain kesusahan yang tertanggung.
Ada orang yang diberikan dengan kesakitan. Sebagai satu peringatan
samada dia ingat serta beriman kepada Allah atau tidak. Ada orang pula
diuji dengan kesihatan, yang mana jika dia lalai sewaktu sihatnya. Maka
itu akan jadi liabiliti padanya. Ada orang diuji dengan kehidupan. Ada
orang diuji dengan kematian yang terdekat.
Pendek kata, setiap orang akan, telah, atau mungkin sedang diuji.
Namun dengan cara yang berbeza, dengan perasaan yang berlainan. Inilah
kebijaksanaan Allah Azza wa Jalla yang menjadikan sesuatu pada takaran
yang tersendiri.
Sabar sebagai pelampung bagi orang yang beriman
Orang yang beriman, telah diperingatkan oleh Allah Azza wa Jalla
supaya bersabar dalam menghadapi masalah. Telah datang petunjuk buat
orang beriman apabila diuji;
يا أيها الذين آمنوا اصبروا وصابروا ورابطوا واتقوا الله لعلكم تفلحون
Hai orang-orang yang beriman! Bersabarlah
kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersedia dan bertakwalah
kepada Allah, supaya kamu beruntung. [Ali Imran: 200]
Menurut al-Baghawi, al-Qurtubi menafsirkan arahan supaya bersabar itu
adalah merujuk kepada; bersabar di atas ketaatan kepada Allah.
Kesabaran mesti dijana dengan ketaatan sebagai dasar untuk
mengelakkan goyah iman serta berputus asa. Bahkan, kerana ketaatan
jugalah, manusia akan menjadi redha atas ujian yang berlaku.
Sabar itu juga adalah sunnah para Nabi dan Rasul. Ini jelas sebagaimana dikhabarkan oleh Allah;
وإسماعيل وإدريس وذا الكفل كل من الصابرين
Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta ZulKifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar. [Al-Anbiya’: 85]
Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam menyatakan bahawa Allah menyukai
orang yang bersabar. Ini adalah sebagaimana yang datang di dalam hadith
yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas;
قال رسول الله صلى الله عليه و سلم للأشج أشج عبدالقيس إن فيك خصلتين يحبهما الله الحلم والأناة
Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam
berkata kepada al-A-syaj Abdul Qays; “Sesungguhnya pada dirimu terdapat
dua perkara yang dicintai oleh Allah, iaitu kesabaran serta lemah
lembut.” [Riwayat Muslim]
Kaedah Bersabar
Rasulullah melalui satu hadith mengisyaratkan bersabar itu perlulah pada awal kejadian atau pada kejadian yang pertama.
الصبر عند الصدمة الأولى
Bersabar itu adalah pada pukulan yang pertama. [Riwayat Muslim]
Jika dilihat pada sudut logik akal, manusia ini diukur pada peringkat
yang awal. Peringkat pertama adalah yang paling penting dalam
menghadapi sesuatu hal. Seandainya dia tidak mampu bertahan pada ujian
yang awal. Nescaya, pada yang seterusnya dia mungkin saja rebah. Jadi,
di sini, bilamana dikenakan ujian, maka penting sekali untuk kita
membina ketahanan diri. Bukan atas faktor ‘alah bisa tegal biasa’, akan
tetapi, apabila seorang manusia sudah mempunyai pengalaman pada yang
awal tentu sekali dia sudah mula bersedia dan menjadi lebih rasional
dalam menghadapi ujian lain yang sama takaran dengannya. (http://www.life-verses.protajdid.com)
0 komentar:
Posting Komentar