IBADAH SANG KAPITALIS!
Tentu ada yang salah di mana-mana, jika ada orang yang rajin solat
tetapi masih gemar mengumpat. Orang yang berpuasa tetapi masih tega
menghina. Atau orang yang banyak berzikir dan berwirid tetapi sangat
bakhil dan kedekut. Mengapa amal ibadah itu tidak membuahkan akhlak yang
baik? Padahal ibadah itu umpama ‘pohon’ yang menghasilkan ‘buah’
akhlak.
Seorang lelaki bertemu seorang ahli sufi terkenal, Bisyr bin Harits
untuk mengucapkan selamat berpisah kerana dia hendak mengerjakan ibadah
haji buat kali kedua. Dia berkata, “Aku berniat pergi haji. Adakah
sesuatu yang hendak engkau sampaikan kepada ku untuk aku lakukan?”
“Berapa banyak uang yang kau siapkan untuk bekalan?” tanya Bisyr.
“Dua ribu dirham.”
“Apa tujuan engkau mengerjakan haji kali ini? Apakah kerana zuhud
terhadap dunia atau untuk melepaskan kerinduan kepada Baitullah atau
untuk mencari keredaan Allah?”
“Demi mencari keredaan Allah,” jawab lelaki itu tegas.
“Sekiranya engkau dapat meraih keredaan Allah, sedangkan engkau tetap
tinggal di rumah mu dengan menginfakkan dua ribu dirham itu, apakah
engkau bersedia untuk melakukannya?” tanya Bisyr.
“Ya.”
“Kalau begitu pergilah dan infakkan uang dua ribu dirham itu untuk
menolong sepuluh golongan manusia; seorang yang terbeban oleh hutangnya,
lalu engkau bayar hutangnya; seorang miskin, lalu engkau baiki tahap
hidupnya; seorang mempunyai keluarga yang ramai anak; seorang penjaga
anak yatim , lalu kau gembira anak yatim yang diasuhnya…”
Bisyr menyambung lagi, “Sekiranya hati engkau cukup kuat untuk
memberi wang itu kepada seorang sahaja di kalangan mereka, maka
berikanlah! Sesungguhnya, perbuatan engkau memberi kegembiraan di hati
orang Muslim dengan menolongnya menghadapi penderitaan, membantunya
keluar dari kesusahannya dan menolong orang yang lemah, adalah jauh
lebih utama daripada ibadah haji seratus kali (setelah haji pertama yang
diwajibkan seumur hidup.)”
Biyr bin Harits menambah lagi, “sekarang engkau pergilah dan
infakkanlah wang dua ribu dirham itu sepertimana yang aku cadangkan.
Atau jika tidak, luahkan sahaja isi hati mu sekarang…”
Lelaki itu termenung sebentar lalu berkata, “Wahai Abu Nashr (
gelaran Bisyru Al Harit), niat untuk ku mengerjakan haji lebih kuat
dalam hati daripada semua amalan yang kau ucapkan itu!”
Mendengar jawapan itu, Bisyr tersenyum dan berkata, “Memang, apabila
harta diperoleh melalui perniagaan yang kotor atau syubhat, maka hati
akan tertarik untuk memenuhi keinginan hawa nafsu dengan menampakkan dan
menonjolkan amal-amal soleh (agar diketahui oleh orang ramai). Padahal
Allah telah bersumpah demi dirinya sendiri, bahawa Dia tidak akan
menerima selain amalan orang-orang yang bertakwa.”
Subhanallah, pengajaran daripada kisah ini sangat relevan sehingga
kini. Kita lihat betapa ramai ahli ibadah tertipu dengan ‘menyembah’
kesenangan dan kepentingan dirinya atas nama agama. Mereka meminggirkan
amalan yang menyuburkan kasih sayang sesama manusia kononnya untuk
berbakti kepada Allah. Padahal kesan amal ibadah itu ialah akhlak dan
akhlak itu terserlah melalui sifat kasih sayang kepada manusia lain.
Tegasnya, kasih sesama manusia itu adalah kesan kasih kepada Allah.
Firman Allah:
” Sesungguhnya orang-orang beriman dan beramal soleh
kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa
kasih sayang.” Maryam: 96
Ada orang yang riyak dengan rumah besar dan kereta mewahnya, tetapi
ironinya ada juga orang riyak dengan amal ibadahnya. Cuba lihat betapa
ramai orang yang pergi mengerjakan haji dan umrah sehingga berkali-kali.
Setiap kali pulang ke Tanah Air, dia mula bercerita tentang tangisannya
ketika mengucup Hajarul Aswad, hatinya yang tersentuh ketika berdoa
penuh khusyuk di Pancur Emas, atau rasa sayu dan sedih ketika tafakur
di makam Rasulullah SAW. Itulah yang jadi bahan ceritanya sekembali
dari Makkah.
Seiring perkembangan teknologi terkini, segala apa yang telah
dilaluinya akan jadi entri baru di muka buku (FB). Terpampanglah
gambarnya dengan pelbagai aksi syahdu di makam Ibrahim, di sisi Kaabah
dan pelbagai lagi tempat suci… Sepatutnya, apabila berada di rumah
Allah, yang kita besarkan adalah Allah, bukan diri kita yang berada di
rumah Allah itu. Jika kita merintih, merintihlah dengan suara yang
didengar oleh Allah, bukan yang kita tuliskan untuk tatapan orang lain.
Lebih malang lagi apabila dalam realitinya ada juga individu yang
telah berkali-kali mengerjakan umrah atau haji ini tega membiarkan
saudara mara, anak yatim, orang miskin, janda terbiar, bahkan sahabat
terdekatnya dalam keadaan yang melarat. Contohnya, ada majikan memburu
pahala mengucup ‘hajarul aswad’ sedangkan dia punya peluang merebut
pahala yang lebih besar dengan membela nasib pekerjanya yang sedang
hidup serba kekurangan. Atau orang kaya yang mengejar pahala berganda
dengan bersolat di Masjid al Haram dan Nabawi, sedangkan jirannya
meronta-ronta kelaparan. Ini ibadah Sang Kapitalis!
Para abid yang tertipu ini hanya membina ‘ritual’ agama tetapi bukan
roh atau ‘spiritual’ agama. Nilai amal itu bukan terletak kepada
soal-soal lahiriah (walaupun itu juga dituntut) tetapi terletak pada
tujuan dan roh amal ini. Allah telah mengingatkan betapa perlunya kita
menyantuni orang-orang yang melarat dalam masyarakat kerana itu tanda
iman dan amal soleh. Firman Allah:”Tahukah kamu orang yang mendustakan
agama? Yakni mereka yang mengherdik anak-anak yatim, dan tidak
menganjurkan memberi makan orang-orang miskin.”
Sering diungkapkan oleh orang yang bijaksana, “Kita perlu akrab
dengan manusia untuk mengetahui masalahnya dan kita perlu akrab dengan
Allah untuk membantu manusia menyelesaikan masalah tersebut.” Ertinya,
hubungan dengan Allah (‘habluminallah’) dan hubungan sesama manusia (‘habluminannas’)
itu sangat erat keterkaitannya. Seseorang tidak akan dapat menjalinkan
hubungan baik dengan Allah sekiranya tidak menjalinkan hubungan baik
sesama manusia.
Sesungguhnya keredaan Allah bukan sahaja ada di masjid atau surau
tetapi di rumah anak-anak yatim, rumah orang miskin, rumah sakit, dan
rumah kebajikan orang-orang tua. Jika kita bijak menilai keutamaan,
banyak yang kita boleh buat untuk mendapat kecintaan Allah dengan
berbuat baik sesama manusia!
0 komentar:
Posting Komentar