Kelebihan Membaca Al-Quran dan Berzikir
Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w,
”Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila
terkena air, seorang sahabat bertanya, “bagaimana menghapuskan karat
tersebut’? Jawab Nabi s.a.w., banyakkan menyebut mati dan membaca
al-Quran.
Rumah yang jika dibaca di dalamnya
al-Quran, akan dikunjungi para Malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa
kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan
dan ada pun rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran dikunjungi para
syaitan dan dijauhi para Malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah
tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.
Suatu
riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Muslim, mengatakan pernah Rasulullah
s.a.w berlalu seraya melihat satu halaqah (perkumpulan) para sahabat,
lalu baginda berujar: Apakah gerangan kamu berkumpul di sini? Jawab
mereka: “Kami duduk berzikir kepada Allah Azzawajalla yang telah memberi
petunjuk dengan Agama Islam, dan telah bermurah hati atas kami dengan
hidayatnya. Ujar baginda: “Demi Allah, benarkah itu yang menyebabkan
kamu berkumpul itu? Jawab mereka: “Demi Allah, kami tidak berkumpul di
sini melainkan atas tujuan itu semata-mata.” Ujar baginda pula:
“Sebenarnya aku tidak meminta kamu bersumpah kerana aku masih meragukan
kebenaran kamu, tetapi Jibril a.s. telah mendatangiku dan memberitahuku,
bahawasanya Allah Ta’ala memuji-muji kamu di hadapan para Malaikat.”
Dalam
satu riwayat lain dikeluarkan oleh al-Hakim, bahawa Rasulullah s.a.w.
mendapati suatu kelompok orang sedang berzikir kepada Allah Ta’ala, maka
ujar baginda: “Apa yang kamu bicarakan, sesungguhnya aku lihat rahmat
Allah sedang menghujani kamu, dan aku pun ingin menyertai kamu
sekalian.”
Pernah satu ketika seorang sahabat
Rasulullah saw, Ibnu Masud didatangi oleh seorang lelaki yang raut
wajahnya murung (berduka). Lalu lelaki itu berkata: "Wahai Ibnu Mas'ud,
berikanlah kepadaku satu nasihat yang dapatku jadikan sebagai penawar
untuk hatiku yang gelisah ini. Sejak akhir-akhir ini, perasaanku tidak
begitu tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga selalu kusut.
Aku tidak selera hendak makan, tidurku pun tidak lena."
Mendengar
itu Ibnu Mas'ud terus berkata: "Sekiranya itulah penyakit yang menimpa
jiwamu, maka hendaklah kamu bawa hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu ,
tempat orang membaca al Quran sama ada kamu membacanya atau kamu
mendengarnya. Kedua, majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada
Allah dan ketiga, carilah tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat
beribadat kepada Allah SWT dengan khusyuk dan tulus ikhlas."
Sebenarnya
segala-galanya berbalik pada hati kita ini. Sebab itu kita perlu banyak
berdoa agar hati kita sentiasa dekat dengan Allah SWT. Hanya dengan doa
barulah kita boleh khusyuk dan cubalah amalkan doa ini yang mafhumnya:
"Ya Allah Ya Tuhanku , sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada
hati yang tidak khusyuk, dan doa yang tidak didengari, dan daripada
nafsu yang tidak puas serta ilmu yang tidak bermanfaat. Aku berlindung
dengan-Mu daripada empat perkara itu."
Selain
pahala dan rahmat Allah yang kita perolehi dari membaca al-Quran dan
berzikir kepada Allah Ta’ala, kita juga akan menambah ilmu pengetahuan
agama, menguatkan iman, menempa ketenteraman, menghapuskan dari hati
segala perkara yang merungsingkannya. Ini adalah mujarab bagi orang yang
biasa membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah Ta’ala, kerana
al-Quran dan zikrullah itu menjadi jampi dan penawar bagi semua penyakit
hati dan ketidak-tenteraman jiwa dan fikiran.
0 komentar:
Posting Komentar